SYARIKAT HINDIA BARAT BELANDA | Syarikat Hindia Barat Belanda ditubuhkan oleh ahli perniagaan Belanda dan dipiagamkan oleh kerajaan Belanda pada tahun 1621. Syarikat ini diberikan hak istimewa untuk berniaga dan menakluki kawasan di Amerika Utara, Hindia Barat dan Afrika untuk selama 24 tahun. Tanah jajahan New Netherland termasuk sebahagian negeri-negeri yang kini dikenali sebagai New York, New Jersey, Delaware, dan Connecticut. Tanah jajahan ini ditubuhkan oleh Syarikat Hindia Barat Belanda dan beribu pejabat di New Amsterdam (kini New York City). Lihat juga New Netherland. | UMUM | |
SYEIKH BURHANUDDIN ULAKAN | SYEIKH BURHANUDDIN ULAKAN ( ? - 1690), ulama Indonesia. Beliau berasal dari Minangkabau. Nama beliau semasa kecil ialah Si Pono. Ayahnya bernama Pampak. Beliau suka mengikut ayahnya berniaga di pekan Batang Bengkawas. Pada tahun 1559, beliau mengikut ayahnya yang masih beragama Buddha berpindah ke Sintuk. Kemudian, mereka berpindah pula ke Ulakan. Syeikh Burhanuddin meneruskan perjalanan ke Aceh dan berguru dengan Syeikh Abdul Rauf Singkel. Beliau berguru selama 13 tahun dan ada pendapat lain mengatakan beliau berguru dengan Syeikh Abdul Rauf selama 30 tahun. Rakan seperguruannya yang lain ialah Syeikh Tajul Khalwati (Bugis) dan Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (Terengganu).
| SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SYED MUHD. ZAIN AL-KUDSI | SYED MUHD. ZAIN AL-KUDSI ( ? – 1829), penasihat diraja dan utusan kerajaan Lingga-Riau. Beliau lahir di Palembang, Sumatera. Nama lainnya ialah Tengku Syed dan Engku Syed Kuning, tetapi beliau lebih dikenali sebagai Engku Syed. Ayahnya Abdul Rahman al-Kudsi, berketurunan Arab, manakala ibunya ialah hamba Siam. Beliau berada di Riau-Lingga apabila dihantar oleh ayahnya untuk berniaga. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
CIK SITI WAN KEMBANG | CIK SITI WAN KEMBANG (1580-1677), pemerintah negeri bernama ‘Negeri Serendah Sekebun Bunga Cerang Tagayong’ dengan gelaran Seri Maharaja Puteri. Mengikut sejarah tempatan, Cik Siti Wan Kembang ialah puteri kepada Raja Ahmad, Yang Dipertua Kelantan dengan isterinya yang bernama Cik Banun, anak bongsu kepada Nara Diraja, seorang pembesar Kelantan. Semasa Cik Siti Wan Kembang berusia lebih kurang empat tahun, Raja Ahmad mangkat. Baginda digantikan oleh Raja Hussin dari Johor dengan gelaran Sultan Hussin. Raja Hussin ialah satu-satunya putera kepada Raja Umar, iaitu Sultan Johor yang bergelar Sultan ‘Ala Jalla Abdul Jalil II yang memerintah Johor dari tahun 1570 hingga tahun 1597. Sultan Hussin memerintah Kelantan selama 26 tahun, dari tahun 1584 hingga tahun 1610. Cik Siti Wan Kembang yang masih kecil itu diasuh oleh Sultan Hussin sebagai puteri angkat baginda. Apabila Sultan Hussin mangkat pada tahun 1610, Cik Siti Wan Kembang, ketika itu berusia lebih kurang 30 tahun, ditabal sebagai Raja Pemerintah Kelantan. Cik Siti Wan Kembang dikatakan bersemayam di Gunung Besar yang kemudian dinamai Gunung Cintawangsa yang sekarang ini terletak di sempadan Kelantan-Terengganu. Baginda tidak bersuami. Di bawah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang negeri Kelantan bertambah maju dan terkenal sehingga ramailah pedagang termasuk yang datang dari luar negeri seperti dari negeri China, India dan Arab berniaga di Kelantan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |