Setinggan ialah orang yang tinggal di atas sebidang tanah tetapi tidak mempunyai hak milik atau apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa dia memiliki tanah berkenaan. Dalam sesetengah kes, seseorang setinggan boleh membuat tuntutan yang sah terhadap tanah tertentu sekiranya tidak ada orang lain yang mempunyai tuntutan yang sah di sisi undang-undang terhadap tanah yang sama. Pada beberapa zaman tertentu dalam sejarah, para peneroka telah menjelajah ke kawasan yang belum diduduki dan kemudiannya menuntut hak milik terhadap tanah tersebut. Di Australia dan di Amerika Syarikat, ramai setinggan menduduki tanah yang belum lagi disukat ataupun diukur dan yang belum pernah mempunyai sebarang hak milik. Mereka mendirikan rumah dan membersihkan tanah berkenaan. Dengan berbuat demikian, mereka percaya bahawa mereka telah beroleh hak untuk membeli tanah berkenaan pada harga yang minimum apabila kerajaan menjualnya. |