Surah Yasin ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah ke-36 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 83 ayat. Surah ini dinamakan Yasin kerana Allah S.W.T. telah memulakan surah yang mulia ini dengan huruf tersebut. Permulaan dengan dua huruf ini juga menjadi tanda kemukjizatan al-Qur’an al-Karim. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda ketika menyatakan kelebihan surah ini di dalam hadithnya yang bermaksud: “Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai hati dan hati al-Qur’an itu ialah surah Yasin . Oleh itu, aku suka sekiranya ia berada dalam hati tiap-tiap insan di kalangan umatku.” |