SAUDI PERTAMA, KERAJAAN | Saudi Pertama, Kerajaan bermula pada tahun 1157 H. bersamaan 1744 M. dan berakhir pada tahun 1233 H. bersamaan 1818 M. hasil daripada termeterainya perjanjian damai dengan Ibrahim Basya. Keluarga Sa‘ud dinasabkan kepada datuk mereka, iaitu Sa‘ud ibn Muhammad ibn Muqrin ibn Murkhan ibn Ibrahim ibn Musa ibn Rabi‘ah ibn Mani ibn Rabi‘ah al-Muridiy, iaitu Nasab yang diyakini benar. Nasab mereka terhenti kepada Bakar ibn Wa’il dari Kabilah Adnan yang tulen. | UMUM | |
SENTIMETER | Sentimeter ialah ukuran panjang dalam sistem pengukuran metrik. Simbol untuk sentimeter ialah cm . Satu sentimeter bersamaan satu per seratus meter. Satu sentimeter bersamaan dengan 0.3937 inci. Untuk mengubah sentimeter kepada inci, darabkan dengan 0.3937. Lihat juga Sistem metrik. | UMUM | |
TEOREM PYTHAGORAS | Teorem Pythagoras , dalam geometri, menyatakan bahawa dalam segi tiga bersudut tegak, kuasa dua hipotenus adalah bersamaan dengan jumlah kuasa dua bagi dua sisi yang lain. Segi tiga bersudut tegak mempunyai satu sudut yang bersamaan dengan 90 ° . Hipotenus ialah sisi yang bertentangan dengan sudut tegak. Formula teorem Pythagoras ditulis sebagai: c²= a² + b ² | UMUM | |
DARJAH | Darjah ialah nama bagi pelbagai unit kecil ukuran. Dalam geometri dan peta, darjah ialah unit ukuran bagi sudut dan arka bulatan. Sudut 1 darjah (1° ) bersamaan 1 /90 sudut tegak. Arka 1° bersamaan dengan 1 /360 bulatan penuh. Oleh sebab garisan lintang (latitud) dan garisan bujur (longitud) ialah bulatan, maka ia dikira dalam unit darjah. Darjah dalam geometri dibahagikan kepada 60 unit yang dikenali sebagai minit. Satu minit pula dibahagikan kepada 60 saat. Dalam sesetengah cabang matematik seperti trigonometri, sudut diukur dalam unit yang dikenali sebagai radian. | UMUM | |
MINIM | Minim ialah unit sukatan cecair paling kecil dalam sistem sukatan apotekari. Ahli farmasi pernah menggunakan sistem ini, tetapi kini mereka menyukat banyak preskripsi dalam unit metrik. Satu minim bersamaan 0.0616 mililiter, atau sentimeter padu. Dalam sistem apotekari, satu minim bersamaan satu titik, dan 60 titik bersamaan satu dram cecair. Perkataan minim berasal daripada perkataan Latin minimus, yang bermakna paling kecil. | UMUM | |
PERANG JAMAL | Perang Jamal berlaku pada tahun 36 H. bersamaan dengan 656 M., disebabkan oleh fitnah yang berlaku di antara dua golongan orang Islam selepas pembunuhan Khalifah Uthman ibn ‘Affan. Golongan pertama di bawah pimpinan ‘Ali ibn Abu Talib dan golongan kedua di bawah pimpinan Umm al-Mu’minin ‘Aisyah, Talha ibn ‘Ubaydillah dan al-Zubayr ibn al-‘Awwam. Antara sebab berlakunya perang ini kerana Sayidina ‘Ali memecat semua gabenor pada zaman Sayidina Uthman r.a. sejurus selepas pelantikannya sebagai khalifah. | UMUM | |
MURABITUN, KERAJAAN | Murabitun, Kerajaan merupakan satu daripada kerajaan Islam yang muncul dalam lingkungan masa di antara tahun 448 hingga 541 H. bersamaan tahun 1056 hingga 1147 M., di sebelah barat laut benua Afrika. Beberapa kabilah iaitu Sanhajah, Lamtunah, Masufah dan Jadalah al- Barbariyyah telah bersatu pada abad ketiga Hijrah. bersamaan abad kesembilan Masihi. Antara tujuan penyatuan ini adalah untuk berusaha menyusun urusan perdagangan antara kafilah-kafilah yang melalui padang pasir – iaitu di antara bahagian utara terletaknya wilayah Walata dengan bahagian selatan terletaknya kerajaan Ghana. Namun, penyatuan ini tidak dapat bertahan lama, malah ia menjadi lemah dan seterusnya runtuh. Ghana telah mengambil peluang di sebalik keruntuhan ini dan menjadi semakin berpengaruh. Seterusnya, Ghana berjaya menguasai beberapa bahagian di padang pasir yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang Barbar dan Arab. | UMUM | |
PERANG KARBALA | Perang Karbala berlaku pada 10 Muharam 61 H. bersamaan dengan bulan Oktober 680 M. Peperangan ini berlaku antara tentera gabenor Kufah dari pihak kerajaan Bani Umaiyyah dengan Husayn ibn ‘Ali ibn Abu Talib bersama-sama golongan yang menyokongnya dan kaum keluarganya berhampiran bandar Kufah, Iraq. Antara sebab berlakunya peperangan ini adalah kerana Husayn ibn Ali menolak pelantikan Yazid ibn Muawiyah sebagai khalifah dan bersetuju datang ke Iraq untuk melaksanakan tuntutan pengikutnya di sana. Al-Husayn ibn Ali datang ke Iraq bersama-sama dengan 80 orang ahli keluarga dan penyokong setianya untuk bertemu dengan tentera Ubaydullah ibn Ziyad, gabenor Yazid di Kufah. Yazid tidak mahu menerima kedatangan al- Husayn ibn Ali melainkan untuk berperang. Oleh itu, berlakulah pertempuran yang menyebabkan al-Husayn syahid bersama-sama dengan pengikutnya kecuali seorang perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Zayn al- Abidin ibn al-Husayn. | UMUM | |
PERANG HITTIN | Perang Hittin berlaku pada akhir bulan Rabiulawal tahun 583 H., bersamaan bulan Julai 1187 antara kaum Muslimin yang dipimpin oleh Salahuddin al-Ayubbi dengan tentera Salib di daerah Syam yang kini terletak dalam kawasan takluk Israel, iaitu di sebelah barat tasik Tabariyah. | UMUM | |
SHILLING | Shilling ialah duit syiling dalam sistem mata wang British. Shilling ialah bersamaan dengan 12 pence, dan 1/20 daripada satu paun sterling. Shilling telah digantikan pada tahun 1971 dengan duit syiling yang mempunyai nilai yang sama dengan sekeping duit syiling lima pence yang baru. Bagaimanapun, shilling masih lagi menjadi unit kewangan di beberapa negara di Afrika. | UMUM | |