PERJANJIAN DAMAI | Perjanjian damai ialah satu perjanjian antara dua atau lebih negara yang bersetuju untuk membincangkan perselisihan secara damai dan bukan bertujuan menyerang antara satu dengan lain. Antara Perang Dunia I (1914–1918) dan Perang Dunia II (1939–1945), banyak negara telah menandatangani perjanjian damai kerana tidak ada kuasa antarabangsa yang cukup kuat untuk mengelakkan peperangan. | UMUM | |
EMPEDOCLES | Empedocles (495? SM–435? SM) ialah ahli falsafah Yunani awal. Dia bersetuju dengan pendapat Parmenides, iaitu ahli falsafah Yunani yang berpengaruh, bahawa sesuatu yang wujud itu tetap kekal dan tidak berubah. | UMUM | |
TAWARAN RAYUAN | Tawaran rayuan ialah amalan yang dilakukan oleh defenden dalam kes jenayah dengan bersetuju untuk mengaku bersalah daripada menjalani perbicaraan. Dalam sesetengah kes, pihak berkuasa pendakwa berjanji untuk menggugurkan satu atau lebih tuduhan ataupun meringankan tuduhan yang berat sebagai ganti untuk pengakuan bersalah. Sebagai alternatif lain, pendakwa berjanji akan mencadangkan bahawa tertuduh akan mendapat hukuman yang ringan daripada hukuman yang lazim jika dia mengaku bersalah. Di Amerika Syarikat, lebih kurang 90 peratus daripada defenden mengaku bersalah dan kebanyakannya hasil daripada tawaran rayuan. | UMUM | |
PERANG ANGLO-ZULU | Perang Anglo-Zulu berlaku di Afrika Selatan pada tahun 1879. Kebanyakan ahli sejarah bersetuju bahawa United Kingdom (UK), yang juga dikenali sebagai Britain, memulakan peperangan itu untuk menamatkan kemerdekaan orang Zulu (lihat Zulu ). Lord Carnarvon, setiausaha tanah jajahan British, ingin memusnahkan kuasa Zulu supaya UK boleh menggabungkan negeri-negeri Afrika Selatan yang terpisah-pisah itu ke dalam persekutuan yang kuat. | UMUM | |
RETAINER | Retainer ialah satu perjanjian yang formal antara seorang peguam dengan klien yang peguam itu bersetuju untuk mengambil kes klien itu. Perjanjian seperti ini dikenali sebagai retainer khas . | UMUM | |
KESATUAN KASTAM | Kesatuan kastam ialah gabungan dua atau lebih negara yang bersetuju untuk menghapuskan cukai duti, kuota dan halangan-halangan lain dalam perdagangan antara satu sama lain. | UMUM | |
PERKONGSIAN | Perkongsian ialah satu pertubuhan yang dibentuk oleh dua orang atau lebih untuk menjalankan sesuatu perniagaan. Mereka biasanya bersetuju secara bertulis ataupun secara lisan untuk menjadi rakan kongsi. Walau bagaimanapun, seseorang yang menjalankan perniagaan bersama-sama dan berkongsi keuntungannya, biasanya dianggap sebagai rakan kongsi, walaupun mereka tidak bermaksud begitu. | UMUM | |
PERIKATAN | Perikatan menggabungkan dua atau lebih negara dalam pertahanan bagi menentang ancaman musuh atau musuh bersama. Ahli dalam sesuatu perikatan bersetuju bekerjasama sekiranya berlaku peperangan atau menghalang musuh daripada menyerang. Satu perikatan selalu menghasilkan sebuah perikatan yang lain untuk mengimbangi kuasa perikatan yang pertama. | UMUM | |
PIAWAI EMAS | Piawai emas ialah penggunaan emas sebagai piawai nilai wang sesebuah negara. Sesebuah negara menjadi pengguna piawai emas apabila menerima tukaran wang asing yang ditawarkan dengan emas dan bersetuju untuk membeli dan menjual emas pada harga yang tetap. Kelebihan menggunakan piawai emas ialah mengawal inflasi, mengawal perbelanjaan kerajaan, dan menstabilkan kadar tukaran wang asing di kalangan negara yang menggunakannya. Kelemahannya pula ialah menghalang penyelarasan yang perlu ke atas bekalan mata wang tempatan dan kadar tukaran antarabangsa. | UMUM | |
MOGOK | Mogok ialah tindakan berhenti kerja oleh sekumpulan pekerja. Kesemua atau sebilangan pekerja sesebuah syarikat mungkin terlibat. Pekerja menggunakan mogok sebagai senjata tawar-menawar. Mereka berharap mogok atau ancaman untuk mogok akan memujuk syarikat agar bersetuju dengan tuntutan mereka untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi, keadaan kerja yang lebih baik, atau faedah-faedah lain. | UMUM | |