Seward, William Henry (1801–1872), berkhidmat sebagai setiausaha negara Amerika Syarikat semasa Perang Saudara Amerika (1861– 1865). Dia ialah pemimpin Republikan yang terkemuka di negara itu pada tahun 1860, tetapi tewas di tangan Abraham Lincoln dalam penamaan calon parti. Seward bertungkus-lumus untuk pemilihan Lincoln dan diterima dalam Kabinet Lincoln sebagai Setiausaha Negara. Oleh sebab kemampuan Seward mengendalikan hal-ehwal luar negara, negara-negara Eropah tidak memberi sebarang bantuan kepada Negeri-Negeri Gabungan. Seward telah dicederakan oleh orang yang bersubahat dengan John Wilkes Booth pada malam Lincoln dibunuh. Dia mengambil masa yang lama untuk sembuh dan meneruskan tugasnya sebagai Setiausaha Negara di bawah Presiden Andrew Johnson. |