SIFAR | Sifar, dalam matematik ialah nama bagi digit 0, kadangkala dikenali sebagai kosong. Ia digunakan untuk menyatakan ketiadaan sebarang kuantiti. Sifar diperlukan dalam sistem angka bertempat, iaitu sistem yang kita dan kebanyakan orang gunakan pada hari ini. Dalam sistem bertempat, kedudukan, atau tempat sesuatu angka menentukan nilai angka itu. Bagi angka 246, digit 2 bernilai dua ratus (ratus), digit 4 bernilai empat puluh (puluh), dan 6 pula bernilai enam unit (sa). Angka itu melambangkan nombor 246. Untuk menulis nombor 206, kita perlukan suatu simbol untuk menyatakan ketiadaan puluh. Angka 0 di sini memenuhi fungsi itu. Sifar apabila ditambah kepada atau ditolak daripada sesuatu nombor memberi nombor itu semula. Suatu nombor didarab dengan sifar menghasilkan nilai sifar. Pembahagian dengan sifar tidak dapat ditakrifkan. Sifar ialah nombor genap.
| UMUM | Konsep |
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA | UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA, universiti kebangsaan pertama dalam sejarah pendidikan negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Universiti ini ditubuhkan pada 18 Mei 1970 bertempat di bangunan bekas Maktab Perguruan Persekutuan Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Seramai 190 orang pelajar telah diambil memulakan pengajian tahun pertama dengan 73 orang tenaga pengajar. Dr. Rashdan Baba dari Kolej Pertanian Serdang (Malaya) telah dilantik sebagai Naib Canselor pertama universiti ini. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENGAJIAN MELAYU | PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENGAJIAN MELAYU, persidangan yang menilai serta mengkaji kedudukan dan perkembangan semasa dalam berbagai-bagai-bagai aspek bidang pengajian Melayu. Persidangan ini berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos 1989 bertempat di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Persidangan yang bertemakan “Melayu: Persoalan Warisan dan Kini”, menyatakan pentingnya kepekaan terhadap kesinambungan perkembangan dunia Melayu dari dahulu hingga kini. | BAHASA | Peristiwa |
PENA | PENA, persatuan penulis. Nama penuh PENA ialah Persatuan Penulis Nasional Malaysia. Persatuan ini ditubuhkan pada 12 Februari 1961, bertempat di Dewan Kuliah A, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. | SASTERA | Kegiatan |
PERTUBUHAN HARTA INTELEKTUAL SEDUNIA | Pertubuhan Harta Intelektual Sedunia (World Intellectual Property Organization (WIPO) ialah agensi antarabangsa yang berusaha melindungi hak undang-undang dalam karya kesenian dan kesusasteraan, penciptaan, cap dagang, dan penciptaan asli yang lain. Hak seperti itu dikenali sebagai harta intelektual . Pertubuhan ini mempromosi perjanjian antarabangsa tentang hak cipta, paten, cap dagang, dan penciptaan asli yang lain. Ia juga menyediakan maklumat teknologi dan bantuan lain kepada negara-negara membangun. Pertubuhan ini, dikenali sebagai WIPO, iaitu agensi khas Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu. WIPO mempunyai bilangan keahlian lebih daripada 110 negara. Ibu pejabatnya bertempat di Geneva, Switzerland. | UMUM | |
MADRASAH AL-IQBAL | MADRASAH AL-IQBAL, sekolah rendah agama di Singapura dan kemudian berpindah ke Riau-Lingga. Madrasah ini dibuka pada bulan Disember 1907 bersamaan 1 Muharam 1326, bertempat di No. 107, Seligi Road, Singapura. Penaungnya ialah Raja Ali Ahmad dari Lingga. Dalam tempoh ini, madrasah dijadikan sebagai pusat untuk memajukan pendidikan oleh golongan Kaum Muda. Madrasah al-Iqbal telah dipilih sebagai pusat kegiatan pendidikan yang pertama. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |