PIRAMID | Piramid dalam geometri, ialah bongkah dengan muka sisi berbentuk tiga segi yang bertemu pada satu titik atau punca sepunya. Tapak piramid dikenali sebagai poligon , iaitu permukaan datar yang disempadani oleh tiga atau lebih sisi. Jumlah muka mana-mana piramid bergantung pada jumlah segi di atas tapak. Titik terjauh dari tapak – tempat semua muka bertemu – dikenali sebagai puncak piramid. | UMUM | |
PESISIR LAUT | Pesisir laut ialah tempat di mana daratan dan laut bertemu. Ia merupakan kawasan yang sentiasa berubah. Apabila air pasang, kebanyakan pesisir laut menjadi sebahagian lautan. Ketika air surut, laut surut dan kawasan yang sama menjadi sebahagian daratan semula. Tetapi selain persekitaran yang sentiasa berubah ini, pesisir laut menampung pelbagai jenis hidupan. Kebanyakan organisma ini tidak hidup di kawasan lain kecuali di sepanjang pinggir lautan. | UMUM | |
OKTAGON | Oktagon ialah rajah satah bersisi lapan. Ia merupakan sejenis poligon. Bahagian sisi oktagon bertemu di titik yang dikenali sebagai puncak membentuk lapan sudut dalam. Jumlah sudut dalam sesuatu oktagon sentiasa membentuk 1080 ° C. Sejenis oktagon yang dikenali sebagai oktagon sekata mempunyai sisi dan sudut yang sama. Luas oktagon sekata bersamaan separuh hasil perimeter dan apothem , jarak dari tengah-tengah poligon sekata hingga titik tengah salah satu sisinya. | UMUM | |
SEGI TIGA | Segi tiga dalam geometri satah ialah rajah tertutup yang mempunyai tiga sisi. Sisinya bertemu pada tiga titik yang dinamakan bucu , dan setiap bucu membentuk sudut dengan dua daripada sisinya. Jumlah tiga sudut segi tiga ialah 180º. Segi tiga ialah sejenis poligon (lihat Poligon ). | UMUM | |
KONGRES BENUA | Kongres Benua ialah persidangan para perwakilan Koloni Amerika yang bertemu buat kali pertamanya di Philadelphia, Pennsylvania, pada 5 September 1774. | UMUM | |
PHNOM PENH | Phnom Penh ialah ibu negara Kemboja. Ia terletak di bahagian selatan tengah negara itu di mana Tasik Tonle Sap dan Sungai Bassac bertemu dengan Sungai Mekong. Untuk lokasi Phnom Penh, lihat Kemboja (peta). Phnom Penh berfungsi sebagai pusat perdagangan dan industri Kemboja. Ia mempunyai kilang penyulingan, kilang padi dan kilang tekstil. | UMUM | |
PERSIDANGAN LOCARNO | Persidangan Locarno, menghasilkan Pakatan Keselamatan Rhineland dan enam perjanjian lain. Pada bulan Oktober 1925, perwakilan daripada tujuh buah negara Eropah bertemu di Locarno, Switzerland untuk membincangkan rancangan mengekalkan keamanan di Eropah. Belgium, Czechoslovakia, Perancis, Jerman, Britain, Itali dan Poland menghantar wakil ke persidangan tersebut. Masalah yang paling penting dalam persidangan ini adalah untuk mencari penyelesaian antara Perancis dengan Jerman. Selepas Perang Dunia I, pertama kali persidangan itu menerima Jerman sebagai sebuah negara sahabat. Apabila persidangan ini tamat pada 16 Oktober 1925, para perwakilan bersetuju menandatangani tujuh perjanjian. | UMUM | |
ARUS LABRADOR | Arus Labrador ialah arus sejuk lautan yang bermula di Lautan Artik. Ia mengalir di sepanjang pantai Labrador, Kanada, sehingga ke suatu tempat yang berhampiran dengan pulau Newfoundland apabila ia bertemu dengan Arus Telukan. Pengaruh Arus Labrador dirasakan di selatan sejauh New England di Amerika Syarikat. Pelabuhan di Labrador terhalang oleh ais selama kira-kira setengah tahun, sebahagiannya disebabkan oleh arus sejuk ini. Tetapi pelabuhan-pelabuhan di Kepulauan British yang terletak pada latitud yang sama seperti Labrador, tetap dibuka kepada perkapalan sepanjang tahun. Pelabuhan-pelabuhan tersebut bebas daripada ais sebahagiannya disebabkan oleh Arus Telukan yang panas. Apabila udara sejuk di atas Arus Labrador bertemu dengan angin panas dan lembap di atas Arus Telukan, kabus tebal terbentuk di luar pantai. Lihat juga Kabut; Lautan (Bagaimana lautan bergerak). | UMUM | |
SINGAPURA | Singapura ialah sebuah negara pulau yang terletak di Asia Tenggara. Ia terletak di selatan Semenanjung Malaysia, tempat Laut China Selatan dan Lautan Hindi bertemu. Singapura terletak kira-kira 140 kilometer ke utara khatulistiwa. Jumlah keluasannya 639.1 kilometer persegi. Ia terdiri daripada sebuah pulau besar dan lebih daripada 50 buah pulau kecil. Pulau besar tersebut yang juga dikenali sebagai Singapura, seluas 573 kilometer persegi. Panjangnya 42 kilometer, dan ukuran bahagian paling lebarnya 23 kilometer. Kira-kira separuh daripada pulau-pulau kecilnya tiada penghuni. Beberapa buah pulau kecil telah dimajukan untuk rekreasi dan pelancongan. | UMUM | |
SUNGAI CONGO | Sungai Congo, dikenali juga sebagai Sungai Zaire, ialah sungai yang kelima terpanjang di dunia. Ia bermula di selatan Kabalo, Zaire, tempat Sungai Lualaba dan Luvua bertemu. Dari tempat ini hingga Air Terjun Boyoma (dahulu dikenali sebagai Air Terjun Stanley), sungai ini dikenali sebagai Sungai Lualaba. Selepas Air Terjun Boyoma, sungainya dikenali pula sebagai Sungai Congo. Di Zaire, ia dikenali sebagai Sungai Zaire. Sungai Congo (Zaire) mengalir sejauh 4667 kilometer melalui barat-tengah Afrika tengah. Sungai ini mengalirkan air yang terbanyak berbanding sungai-sungai lain kecuali Sungai Amazon. Sungai ini menyaliri kawasan seluas kira-kira 3 630 000 kilometer persegi. | UMUM | |