TUK PULAI CHONDONG | TUK PULAI CHONDONG (1792-1874), ulama. Dia lahir di Kampung Bukit, Pulai Chondong, Kelantan. Nama sebenarnya ialah Syekh Haji Abdush Shamad bin Haji Abdullah bin Imam Bira Patani. Tuk Pulai Chondong merupakan saudara dua pupu Syekh Daud bin Abdullah al-Fatani. Ayahnya Faqih Haji Abdullah bin Imam Haji Hasyim adalah imam di Kampung Bukit Pulai Chondong. Dia belajar di Pulai Chondong serta tempat lain di Kelantan dan sekali-sekala belajar di Patani. Ayahnya adalah ulama yang pakar dalam ilmu fikah, demikian juga dua orang saudara ayahnya iaitu Faqih Deramat dan Faqih Ali merupakan tokoh agama yang terkenal. Datuknya, Imam Haji Hashim merupakan pakar dalam bidang ilmu saraf, sehingga dia bergelar Tuk Saraf. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
MAKASAR | MAKASAR, pelabuhan terkenal pada abad ke-16. Makasar terletak di hujung barat daya Pulau Sulawesi Indonesia. Pada tahun 1525, pelabuhan Makasar dikunjungi oleh Portugis yang berminat dalam perdagangan rempah di Indonesia Timur. Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, ramai pedagang Melayu khususnya dari Pahang dan Johor, telah belayar untuk berdagang dan mencari suaka di Makasar. Kehadiran para pedagang Melayu ini memungkinkan orang Makasar menguasai perdagangan di beberapa pelabuhan seperti Bantaeng, Bira dan Selayar yang menjadi saingan Makasar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |