SITI FATIMAH | Puteri bongsu Rasulullah s.a.w. dan isteri Sayidina Ali bin Abi Talib, Khulafa' al-Rashiddin yang ke empat. | AGAMA | Tokoh |
PLEKHANOV, GEORGI VALENTINOVICH | Plekhanov, Georgi Valentinovich (1856– 1918) ialah pembela utama dan penterjemah gagasan Marxis di Rusia pada lewat tahun 1800-an dan awal tahun 1900-an. Dia ialah anak lelaki bongsu dalam keluarga bangsawan. Dia lahir di Gudalovka, berhampiran Tambov, Rusia. Sebagai seorang pemuda, dia menyertai gerakan revolusi yang mahukan pemerintahan sosialis di Rusia. Pada tahun 1880, dia melarikan diri ke Switzerland untuk mengelakkan daripada ditangkap kerana kegiatan politiknya. Di sana, dia menjadi pengikut Karl Marx, pengasas fahaman komunis, Jerman. | UMUM | |
SULTAN ABDULLAH MUAYAT SYAH | SULTAN ABDULLAH MUAYAT SYAH ( ? - 1623), Sultan Johor yang ketujuh (1615 – 1623). Baginda juga dikenal dengan panggilan Raja Bongsu, Raja Di Hilir, Yang Di Pertuan Hilir, dan Raja Seberang. Raja Abdullah adalah putera Sultan Muzaffar Syah Johor (1564 – 1570). Pada masa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah III, Raja Abdullah dipertanggungjawabkan menguruskan pentadbiran negeri. Raja Abdullah mendirikan kota kediamannya di Pangkalan Raya, Batu Sawar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
TITAN | Titan ialah dewa-dewa pertama dalam mitologi Yunani. Kebanyakan mereka, dilambangkan dalam bentuk manusia, mewakili fenomena semula jadi seperti bumi, langit dan matahari. Sebelum itu, mengikut mitologi yang sama, alam semesta ini hanyalah satu kekosongan yang dipanggil “Chaos”. Titan yang pertama ialah Dewi Gaea, iaitu bumi. Dewi ini terbit daripada Chaos dan melahirkan Dewa Uranus, iaitu langit. Gaea kemudian berkahwin dengan Uranus. Gaea dan Uranus mempunyai banyak anak. Yang bongsu dan yang paling penting ialah Dewa Cronus, yang berkahwin dengan adik perempuannya, Dewi Rhea. Cronus menggulingkan Uranus dan menjadi raja segala dewa. | UMUM | |
SULTAN ABDUL SAMAD | SULTAN ABDUL SAMAD (1805 – 1898), Sultan Selangor yang keempat (1857 – 1898). Baginda adalah putera Raja Abdullah dan tanak saudara kepada Sultan Selangor yang ketiga iaitu Sultan Muhammad (1826 – 1857). Raja Abdul Samad adalah orang yang bertanggungjawab melantik putera bongsu Sultan Muhammad Syah, Raja Mahmud sebagai raja muda (bakal sultan). Baginda berkahwin dengan puteri Sultan Muhammad Syah lalu dianugerahkan lembah Sungai Selangor dan bergelar Tengku Panglima Raja. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
CIK SITI WAN KEMBANG | CIK SITI WAN KEMBANG (1580-1677), pemerintah negeri bernama ‘Negeri Serendah Sekebun Bunga Cerang Tagayong’ dengan gelaran Seri Maharaja Puteri. Mengikut sejarah tempatan, Cik Siti Wan Kembang ialah puteri kepada Raja Ahmad, Yang Dipertua Kelantan dengan isterinya yang bernama Cik Banun, anak bongsu kepada Nara Diraja, seorang pembesar Kelantan. Semasa Cik Siti Wan Kembang berusia lebih kurang empat tahun, Raja Ahmad mangkat. Baginda digantikan oleh Raja Hussin dari Johor dengan gelaran Sultan Hussin. Raja Hussin ialah satu-satunya putera kepada Raja Umar, iaitu Sultan Johor yang bergelar Sultan ‘Ala Jalla Abdul Jalil II yang memerintah Johor dari tahun 1570 hingga tahun 1597. Sultan Hussin memerintah Kelantan selama 26 tahun, dari tahun 1584 hingga tahun 1610. Cik Siti Wan Kembang yang masih kecil itu diasuh oleh Sultan Hussin sebagai puteri angkat baginda. Apabila Sultan Hussin mangkat pada tahun 1610, Cik Siti Wan Kembang, ketika itu berusia lebih kurang 30 tahun, ditabal sebagai Raja Pemerintah Kelantan. Cik Siti Wan Kembang dikatakan bersemayam di Gunung Besar yang kemudian dinamai Gunung Cintawangsa yang sekarang ini terletak di sempadan Kelantan-Terengganu. Baginda tidak bersuami. Di bawah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang negeri Kelantan bertambah maju dan terkenal sehingga ramailah pedagang termasuk yang datang dari luar negeri seperti dari negeri China, India dan Arab berniaga di Kelantan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
BAHA ZAIN, DATO' | BAHA ZAIN, Dato’ (1939 - ), penyair dan pengkritik kesusasteraan. Dia lahir pada 22 Mei 1939 di Batu 15, Hutang Melintang, Perak. Nama sebenarnya ialah Baharuddin bin Zainal. Anak bongsu daripada satu keluarga sederhana ini, mula bersekolah Melayu di Sabak Bernam, Selangor hingga tamat Darjah Empat pada tahun 1949. Ketika berusia 11 tahun, dia memasuki Anglo-Chinese School, Teluk Anson hingga lulus Sijil Persekolahan pada tahun 1957. Dari tahun 1958 hingga tahun 1959, dia belajar di Sekolah Anderson, Ipoh dalam Tingkatan Enam. Dia memasuki Universiti Malaya pada tahun 1960 dan berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963. | SASTERA | Konsep |
RAJA OMAR | RAJA OMAR ( ? -1721), Sultan Jembal (1675/1686-1721). Mengikut sumber sejarah Kelantan, pada awal abad ke-17, ada sebuah negeri atau kerajaan bernama Jembal di Kelantan. Pada tahun 1638, Jembal diperintah oleh seorang raja bernama Raja Sakti. Baginda mempunyai empat orang putera, iaitu Raja Loyor, Raja Bahar, Raja Omar dan Raja Sungai serta tiga orang puteri, iaitu Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor dan Puteri Cempaka Bongsu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
ISKANDAR THANI | ISKANDAR THANI (1611-1641), Sultan Aceh. Dia lahir pada tahun 1611 di Pahang. Nama asalnya ialah Raja Mughal bin Raja Ahmad. Semasa berusia tujuh tahun, dia merupakan salah seorang daripada 10 000 tawanan Sultan Iskandar Muda Aceh. Dia dibawa ke Aceh dan dijadikan anak angkat oleh Sultan Iskandar Muda. Dia mendapat pendidikan di istana dan digelar sebagai Raja Bongsu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SAFAWIYYAH, KERAJAAN | Safawiyyah, Kerajaan (906–1148 H. / 1500–1735 M.). Kerajaan Safawiyyah muncul di Iran. Pengasasnya ialah al-Shah Isma’il daripada keturunan Syeikh Safiy al-Din al-Ardabiliy (650–735 H./1252–1334 M.). Safiy al- Din dan anaknya Sadr al-Din ialah pengikut ahli Sunnah, begitu juga kumpulan agama yang ditubuhkannya di al-Ardabil. Manakala cucunya, al- Khawaja ‘Ali yang dilantik mengetuai jemaah pada tahun 802 H./1399 M. merupakan penganut fahaman Syi‘ah sederhana. Anak al-Khawaja ‘Ali, iaitu al-Syeikh Ibrahim yang menggantikannya telah menyebabkan berlakunya pertelingkahan antara ahli jemaah (Syi‘ah) dengan pengikut ahli Sunnah di al-Daghistan. Syeikh Haydir yang dilantik menggantikan ayahnya, Syeikh Ibrahim, pada tahun 859 H./1455 M., juga menggunakan pendekatan yang sama. Syeikh Ibrahim telah digantikan oleh tiga orang anak dan anaknya yang bongsu, Isma‘il (908–931 H./1501–1524 M.) ialah pengasas sebenar kerajaan Safawiyyah (dinisbahkan kepada Safiy al-Din al-Ardabiliy). | UMUM | |