MESIN BASUH | Mesin basuh ialah alat membasuh pakaian, linen, dan barangan lain dengan cepat. Sebelum mesin basuh dicipta, manusia menghabiskan masa berjam-jam membasuh pakaian dengan tangan. Sesetengah orang merendam pakaian mereka di dalam sungai dan kemudian memukulnya dengan batu untuk mengeluarkan kotoran. Kemudian, orang menyental basuhan mereka di atas papan basuhan. Sesetengah orang masih lagi menggunakan kaedah tersebut sehingga ke hari ini. | UMUM | |
MESIN PEMBANTING | Mesin pembanting ialah mesin yang digunakan oleh petani pada masa dahulu untuk membanting (memisahkan) bijian dari tangkainya. Mesin ini juga menganginkan (meniup) sekam dari bijian. Andrew Meikle dari Scotland membina mesin pembanting praktikal yang pertama pada tahun 1780-an. Sebelum itu, petani membanting dan menganginkan bijian dengan tangan – iaitu, kerja yang berat dan lambat. Mesin pembanting membolehkan petani memproses bijian dengan lebih cepat lagi daripada yang dilakukan dengan tangan. Sejak tahun 1930-an, mesin penuai kombin telah menggantikan kebanyakan mesin pembanting (lihat Mesin penuai kombin). | UMUM | |
SCARLATTI, DOMENICO | Scarlatti, Domenico (1685–1757), penggubah Itali. Dia menjadi masyhur kerana sonatanya untuk alat keyboard awal yang dikenali sebagai hapsikord. Scarlatti menggubah hampir 550 sonata hapsikord. Dia juga menulis opera, kantata, konserto, dan fiug. Scarlatti sangat mempengaruhi permainan keyboard yang terkemudian. Gubahannya mungkin yang pertama memenuhi teknik yang masih digunakan kini. Teknik ini termasuk penyilangan tangan dengan kerap, arpeggio (turutan pantas not dalam kord), dan ulangan not dengan cepat. | UMUM | |
KAIN SELERANG | KAIN SELERANG, kain sarung yang dihasilkan tanpa berkampuh. Kain ini ditenun menggunakan kek Melayu kecuali kain corak Pahang yang menggunakan kek siam. Kek siam digunakan kerana lebih cepat dan boleh menghasilkan dua hingga tiga helai sarung dalam sehari. Kain sarungnya juga lebih lebar dan panjang daripada kek Melayu. | BUDAYA | Kraf Tangan |