Safawiyyah, Kerajaan (906–1148 H. / 1500–1735 M.). Kerajaan Safawiyyah muncul di Iran. Pengasasnya ialah al-Shah Isma’il daripada keturunan Syeikh Safiy al-Din al-Ardabiliy (650–735 H./1252–1334 M.). Safiy al- Din dan anaknya Sadr al-Din ialah pengikut ahli Sunnah, begitu juga kumpulan agama yang ditubuhkannya di al-Ardabil. Manakala cucunya, al- Khawaja ‘Ali yang dilantik mengetuai jemaah pada tahun 802 H./1399 M. merupakan penganut fahaman Syi‘ah sederhana. Anak al-Khawaja ‘Ali, iaitu al-Syeikh Ibrahim yang menggantikannya telah menyebabkan berlakunya pertelingkahan antara ahli jemaah (Syi‘ah) dengan pengikut ahli Sunnah di al-Daghistan. Syeikh Haydir yang dilantik menggantikan ayahnya, Syeikh Ibrahim, pada tahun 859 H./1455 M., juga menggunakan pendekatan yang sama. Syeikh Ibrahim telah digantikan oleh tiga orang anak dan anaknya yang bongsu, Isma‘il (908–931 H./1501–1524 M.) ialah pengasas sebenar kerajaan Safawiyyah (dinisbahkan kepada Safiy al-Din al-Ardabiliy). |