PANCUTAN AIR PANAS | Pancutan air panas ialah mata air yang memancutkan air panas dengan tekanan yang kuat dari semasa ke semasa. Air panas sering kali memancut dari lubang pancutan air panas dalam lajur yang besar. Pancutan air panas menarik ramai pelancong. | UMUM | |
MIALGIK ENSEFALOMIELITIS (ME) | Mialgik ensefalomielitis (ME) juga dikenali sebagai sindrom lesu kronik ialah sejenis gangguan yang menimpa kebanyakan orang dewasa. Ia dicirikan oleh lesuan teruk yang boleh berlaku berulang kali dari semasa ke semasa ataupun terjadi berterusan untuk berbulan-bulan lamanya ataupun lebih. Semasa tempoh itu, pesakit biasanya kekurangan tenaga untuk menjalankan kebanyakan kegiatan harian yang ingin mereka lakukan. Tanda-tanda lazim lain termasuklah sakit dalam otot-otot dan sendi, sakit kepala, kecelaruan mental, kemurungan, resah dan rasa jengkel. Suatu diagnosis diperlukan bagi mencari gejala-gejala dan mengetepikan sebab-sebab lain yang mungkin menyebabkan keadaan itu. | UMUM | |
ADAT PERTABALAN SULTAN KELANTAN | ADAT PERTABALAN SULTAN KELANTAN, upacara menabalkan Sultan Kelantan yang baharu untuk menggantikan sultan yang mangkat. Adat pertabalan Sultan Kelantan yang diamal hingga sekarang bermula semenjak zaman pemerintahan Sultan Long Yunus (m.m. 1763-1798). Walau bagaimanapun, adat istiadat pertabalan ini berubah dari semasa ke semasa, terpulang kepada pihak istana. | BUDAYA | Konsep |
TUK LUKUS | TUK LUKUS, orang yang dianggap berwibawa, dihormati dan berpengaruh dalam masyarakat Iranun. Perkataan ‘lukus’ bererti tua atau sudah tua. Oleh itu telah menjadi satu tradisi dalam budaya Iranun, untuk menjadikan orang tua tempat mengadu dan menyelesai masalah yang timbul dari semasa ke semasa dalam masyarakat. Biasanya, masalah yang dirujuk kepada tuk lukus untuk penyelesaian adalah yang berkaitan dengan hukum adat, jenayah, pertengkaran suami isteri, pembahagian harta pusaka dan harta sepencarian dan sebagainya. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Jawatan/Gelaran |
KITARAN PERNIAGAAN | Kitaran perniagaan ialah pola aktiviti perniagaan bagi ekonomi sesebuah negara. Aktiviti ini meningkat atau menurun dari semasa ke semasa. | UMUM | |
DARI AVE MARIA KE JALAN LAIN KE ROMA | DARI AVE MARIA KE JALAN LAIN KE ROMA, kumpulan cerpen, sketsa dan drama Idrus, setebal 168 halaman diterbitkan pada tahun 1948 oleh Balai Pustaka, Indonesia dan pernah diulang cetak sebanyak lima kali. Cetakan kelima, iaitu pada tahun 1975 diberi kata pendahuluan oleh H.B. Jassin. Karya ini terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama, “Zaman Jepun” adalah hasil tulisan Idrus pada waktu awal kedatangan Jepun ke Indonesia. Bahagian kedua “Corat-coret di Bawah Tanah” ditulis semasa pendudukan Jepun di Indonesia. Bahagian ketiga mengandungi “Kisah Sebuah Celana Pendek” dan “Surabaya dan Jalan Lain ke Roma”, dihasilkan sesudah 17 Ogos 1945, iaitu setelah Jepun menyerah kalah dan ketika api revolusi menuntut kemerdekaan sedang marak. | SASTERA | Karya |
SIROCCO | Sirocco ialah nama Itali bagi angin panas yang bertiup ke arah utara dari Gurun Sahara atau Gurun Arab yang panas dan kering. Tiupan angin ini kerap berlaku semasa musim bunga di negara Eropah, di bahagian utara Laut Mediterranean. Angin sirocco mungkin membawa bersamanya lembapan semasa melintasi Laut Mediterranean dan tiba di pantai Eropah sebagai angin yang panas dan lembap. Semasa bertiup ke arah utara, angin ini menghasilkan kabus dan hujan. Kadangkala angin ini membawa bersamanya debu gurun. Apabila angin sirocco yang kering bertiup, butir pasir yang halus menjadikan langit gelap. Angin ini menyebabkan selaran matahari pada kulit dan mengeringkan tekak. Istilah sirocco kadangkala digunakan untuk merujuk kepada apa-apa angin panas yang tidak bermusim yang bertiup dari selatan di kawasan Mediterranean. | UMUM | |
SUNGAI PO | Sungai Po ialah jalan air yang terbesar di Itali. Sungai Po bermula berhampiran Monte Viso di Cottian Alps dan mengalir ke arah timur kira-kira 652 kilometer ke delta besar di Laut Adriatik. Hampir semua sungai di utara Itali adalah cabang kepada Sungai Po. Tasik Maggiore, Como, Lecco, Iseo dan Garda mengalir ke Sungai Po. Aliran sungai ini adalah deras di bahagian atas tetapi beransur perlahan sebelum tiba di laut. Sungai Po juga sering menyebabkan banjir. Kira-kira pada tahun 300 M., kaum Etruscan telah membina benteng dalam usaha untuk mengawal banjir. Mendapan lanar-lanar meningkatkan lagi paras Sungai Po. Dari semasa ke semasa, benteng-benteng ini ditinggikan melebihi aras sungai. Untuk lokasi, lihat Itali (peta fizikal). | UMUM | |
TASIK GEORGE | Tasik George, terletak di New South Wales, Australia iaitu 32 kilometer di timur laut Canberra. Tasik ini terletak kira-kira 600 meter di atas aras laut. Apabila tasik tersebut dipenuhi air, panjangnya kira-kira 25 kilometer dan lebarnya 10 kilometer dan meliputi suatu kawasan yang seluas 96 kilometer persegi. Tasik tersebut menjadi kering dari semasa ke semasa. Ketika paras hujan tinggi dan penyejatan rendah, Tasik George dipenuhi ikan dan boleh digunakan untuk perlumbaan bot. Pada ketika lain, tebingnya merupakan dataran berumput yang boleh dibajak untuk bercucuk tanam. Untuk lokasinya, lihat New South Wales (peta). | UMUM | |
SPOONBILL | Spoonbill ialah burung randuk yang kelihatan seperti burung sekendi. Burung ini mempunyai paruh berbentuk sudu, yang dihayun dari sisi ke sisi dalam air semasa ia mencari ikan, serangga air, dan ketam kecil. | UMUM | |