Arteri ialah nama tiub atau salur darah yang melaluinya darah dipam keluar dari jantung ke berbagai-bagai bahagian tubuh. Darah yang dibawa oleh kebanyakan arteri itu merah terang kerana darah ini telah mengambil oksigen semasa melalui paru-paru. Akan tetapi darah yang mengalir melalui arteri yang menghubungkan ventrikel sebelah kanan jantung dengan paru-paru belum lagi mengambil oksigennya. Darah ini berwarna kecoklat-coklatan. Jika arteri itu terpotong, darah akan memancut keluar secara bersamaan dengan degupan jantung. Vena berbeza daripada arteri oleh sebab vena membawa darah balik ke jantung, bukannya membawa darah keluar dari jantung. Jika vena terpotong maka darah mengalir daripadanya dalam aliran yang sekata. |