EJAAN BAHARU BAHASA INDONESIA | EJAAN BAHARU BAHASA INDONESIA, sistem ejaan yang digubal oleh sebuah jawatankuasa kebahasaan yang dibentuk di bawah naungan Lembaga Bahasa dan Kesusasteraan Direktorat Djenderal Kebudayaan, Departemen Pendidikan dan Kebudayaan, Republik Indonesia. Penghasilan ejaan ini merupakan suatu perakuan tentang sistem ejaan untuk bahasa Indonesia pada 31 Ogos 1966. Sistem ejaan lebih praktis dicadangkan untuk melengkapkan sistem ejaan yang sedia ada. Sistem ejaan ini pada mulanya diberi nama Sistem Ejaan Praktis Bahasa Indonesia, kemudian ditukar menjadi Sistem Ejaan Lembaga dan Kesusasteraan (LBK). | BAHASA | Bahasa |
KAMUS BAHASA INDONESIA | KAMUS BAHASA INDONESIA, kamus yang disusun oleh sebuah kumpulan pekerja yang mengandungi 17 orang yang terdiri daripada seorang ketua, iaitu, Dra. Sri Sukesi Adiwimarta, tiga orang pakar perunding dan 13 orang anggota. Kamus ini diterbitkan oleh Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia pada tahun 1983. Kamus ini mengandungi dua jilid, iaitu jilid pertama setebal 891 halaman, jilid kedua pula mengandungi 1580 halaman dan berukuran 15 cm x 21 cm. | BAHASA | Penerbitan |
UMAR KAYAM | UMAR KAYAM (1932- ), budayawan dan penulis Indonesia. Dia lahir pada 30 April 1932 di Ngawi, Jawa Tengah, Indonesia. Dia mendapat pendidikan tinggi di Universitas Gadjah Mada sebelum menyambung pada peringkat sarjana di New York dan pada peringkat Doktor Falsafah di Cornell (1965). Setelah menamatkan pengajiannya di Amerika Syarikat, dia kembali ke Indonesia dan menjadi Direktor Jenderal Radio, Televisi dan Film Departemen Penerangan Republik Indonesia (1966-1969). Dari tahun 1969 hingga tahun 1972, dia menjadi Ketua Dewan Kesenian Jakarta dan Rektor Lembaga Pendidikan Kesenian Jakarta. Dari tahun 1975 hingga tahun 1976, dia menjadi Direktor Pusat Latihan Ilmu-ilmu Sosial Universitas Hasanuddin. Kini, dia menjadi Kepala Pusat Penelitian Kebudayaan Universitas Gadjah Mada, dan Guru Besar di Fakultas Sastera di universiti tersebut. | SASTERA | Tokoh |
DIAH HADANING | DIAH HADANING, (1940- ) penulis Indonesia. Dia lahir pada 4 Mei 1940 di Jepara, Jawa Tengah, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Sinaryu Indiah Hadaning, dan nama penanya yang lain ialah Diha. Dia mendapat pendidikan di Sekolah Pekerjaan Sosial Atas, Semarang pada tahun 1960. Selepas itu, dia bekerja di Bahagian Bimbingan dan Penyuluhan Sosial, Kanwil Departemen Sosial, Semarang (1960-1965). Dari tahun 1962 hingga tahun 1963, dia mengajar di Sekolah Tuna Netra ‘Dristarastra’ cawangan Semarang. | SASTERA | Tokoh |
SORI SIREGAR | SORI SIREGAR (1939- ), penulis Indonesia. Dia lahir pada 12 November 1939, di Medan, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Seri Sutan Sirovi Siregar. Dia mendapat pendidikan Sekolah Menengah Atas (SMA) pada tahun 1959 dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Pendidikan Pegawai Staf Departemen Penerangan Tingkat Atas di Medan. Sori pernah bertugas sebagai editor Waspada Teruna dan Duta Minggu di Medan, dan majalah Zaman dan Eksekutif di Jakarta. Sori menulis cerpen sejak tahun 1960. Kebanyakan cerpennya tersiar dalam akhbar dan majalah seperti Sastera, Horison, Budaya Jaya, Selecta, Kartini, Femina, Famili, Dewi, Sinar Harapan dan Kompas. Sori juga menyumbang tulisan kepada Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat di Malaysia. | SASTERA | Tokoh |