IKAT PINGGANG | IKAT PINGGANG, kain panjang yang dililit pada pinggang lelaki atau perempuan untuk mengukuhkan kedudukan samping atau sarung. Ikat pinggang juga disebut ‘bengkung’. Ikat pinggang yang dipakai di atas samping berfungsi sebagai penggalas keris atau senjata lain. Ikat pinggang yang panjang yang dililit beberapa kali di pinggang boleh melindungi pemakainya daripada tercedera semasa bertikam. | BUDAYA | Artifak/Mentifak |
IKAT | IKAT, teknik mengikat benang-benang loseng dan pakan sebelum dicelup warna bagi menghasilkan ragam hias dan corak tenunan. Teknik ini telah dikenal pasti sejak zaman kebudayaan dongson di kawasan Tongkin dan Annam Utara (Vietnam) yang meresap ke Alam Melayu pada sekitar tahun 500 S.M. Teknik ini mempunyai persamaan dengan tenunan orang gunung Siam, pua kumbu Iban, ulos Batak, tenunan Jawa, Bali, Sumbawa, Bima dan Sulawesi. | BUDAYA | Proses/Tindak Balas |
BENGKUNG | BENGKUNG, kain yang dililit di bahagian pinggang dan dipakai oleh lelaki dan wanita dengan fungsi dan tujuan yang tertentu. Bengkung bagi lelaki pada asasnya ialah ikat pinggang atau kain ikat pinggang. Pada masa itu, kain ikat pinggang merupakan sehelai kain punca potong sepanjang lebih kurang 200 cm panjang dan selebar 80 cm hingga 90 cm. Bengkung yang terbaik pada masa itu ialah kain cindai daripada sutera yang berjambul (berambu) kedua-duanya puncanya, buatan India dan coraknya berbelang-belang seperti kulit ular. Ada kalanya seseorang yang memakai bengkung disebut sebagai ‘bersayap sandang’ kerana kain ikat pinggangnya dipakai melintang pada dada untuk menusukkan pedang atau keris. | BUDAYA | Alat/Alatan |
KAIN LIMAR | KAIN LIMAR, kain tenun yang menggunakan benang-benang yang telah dicelup ikat. Kain limar dianggap sebagai warisan budaya yang telah berusia lebih satu abad. Berdasarkan beberapa contoh daripada himpunan Muzium Budaya Tekstil Melayu, didapati beberapa ciri khus wilayah asalnya. Limar dari Kelantan dan Terengganu misalnya, memilih warna cerah seperti hijau, kesumba dan ungu. Ada juga limar telepuk iaitu limar berhias perada. Limar juga dikenal sebagai kain tajoong di Lampung, limar bersongket di Kelantan dan Terengganu (iaitu gabungan tenun ikat dan songket kain Terengganu), dan cindai ‘aceh rosak’, ‘limar cuai’ dan ‘cindai kembang’ di Palembang. | BUDAYA | Kraf Tangan |
KAIN GERINGSING | KAIN GERINGSING, kain tenun yang ragam hiasnya dihasilkan dengan teknik ikat ganda. Kain geringsing berasal dari daerah Tenganan Pegeringsingan di Bali, iaitu satu-satunya daerah yang menghasilkan kain ikat ganda yang terbaik. | BUDAYA | Kraf Tangan |
KAIN SAMARINDA | KAIN SAMARINDA, kain tenunan ikat benang pakan yang lazimnya ditenun oleh orang Bugis di Sulawesi dan Kalimantan. | BUDAYA | Kraf Tangan |
KAIN PELANGI | KAIN PELANGI, kain yang ragam hiasnya dibuat dengan teknik ikat celup. Perkataan ‘pelangi’ merujuk teknik menghias permukaan kain berwarna natar. Kain yang sesuai digunakan untuk membuat kain pelangi ialah sutera creape dan kapas. Teknik ini dikatakan berasal dari India, China, Jepun, Jawa dan Bali walaupun cebisan kain pelangi terawal telah dijumpai di Peru. Teknik resis digunakan untuk membentuk ragam hias warna-warni seperti pelangi. | BUDAYA | Kraf Tangan |
SELENDANG | SELENDANG, sehelai kain yang dipakai untuk menutup bahagian kepala. Ada kalanya selendang dipakai sebagai pelengkap pakaian tradisional dengan disandang di atas bahu sebagai perhiasan sahaja. Ada juga selendang yang dipakai sebagai ikat pinggang. Selendang juga dikenal sebagai kain tudung kepala yang berbentuk tiga persegi atau empat persegi panjang. | BUDAYA | Kraf Tangan |
PAKAIAN BASAHAN | PAKAIAN BASAHAN, pakaian yang dipakai setiap hari seperti baju, seluar, kain sarung, kain ikat kepala dan segala jenis pakaian dalam. Pakaian basahan sering dikaitkan dengan pakaian yang agak lusuh, dipakai ketika berada di dalam rumah atau membuat kerja-kerja di sekitar rumah. Pakaian basahan juga merangkumi pakaian harian yang dipakai oleh orang kampung ketika pergi ke sawah, ke kebun, atau melakukan apa jua kerja harian yang lasak. | BUDAYA | Pakaian |
TENUNAN | TENUNAN, hasil kraf tangan utama yang menampakkan keragaman tekstil Melayu. Kain tenunan bererti kain atau tekstil yang dihasilkan dengan teknik tenunan yang dibuat daripada benang. Tenunan awal dihasilkan dengan menggunakan alat tenun duduk, yang masih kekal dalam budaya masyarakat Iban. Masyarakat Bajau Darat atau Iranun juga mewarisi alat tenun duduk, tetapi berkembang kemudian dengan alat tenun berkaki. Tenunan paling awal di Tanah Melayu telah dihasilkan di Terengganu dan Kelantan, dengan menggunakan ‘kei berkaki’. Masyarakat Iranun, Batak dan Toraja terkenal dengan tenunan ikat benang kapas. | BUDAYA | Kraf Tangan |