PEDOMAN EJAAN PAKATAN BAHASA MELAYU PERSURATAN BUKU DI RAJA JOHOR | PEDOMAN EJAAN PAKATAN BAHASA MELAYU PERSURATAN BUKU DI RAJA JOHOR, buku pedoman ejaan. Pedoman ini dikenaI juga sebagai Pedoman Ejaan P.Bm.P.B. Diraja Johor atau Pedaman Ejaan Pakatan. Pedoman ini disusun oleh Mejar Dato' Haji Muhammad Said Haji Suleiman. Tujuan diadakan pedoman ini adalah untuk menyeragamkan dan membakukan ejaan jawi yang digunakan dalam penerbitan bahasa Melayu, khususnya di Johor. Semasa pedoman ini disusun, perbincangan telah dibuat oleh Haji Muhammad Said dengan Pendeta Za'ba yang bertugas di Tanjung Malim pada ketika itu. Pada tahun 1937, pedoman ini diterbitkan oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku-buku Diraja Johor dengan judul Panduan Bagi Hejaan P.Bm.P.B. Diraja, iaitu sebagai pedoman rasmi bagi ejaan Jawi untuk kegunaan Pakatan dan ahli-ahlinya, serta juga penerbitan buku-buku bagi kerajaan Johor. Pedoman ini mengandungi 25 halaman. | BAHASA | Bahasa |
PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA | PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA, orang yang bertanggungjawab sebagai setiausaha kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu diwujudkan setelah termeterainya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Satu majlis yang mengandungi raja-raja Melayu yang dikenal sebagai Majlis Raja-Raja telah ditubuhkan dan setiausaha kepada majlis itu dinamakan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu. Apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, jawatan ini dikenal sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Malaysia. | BUDAYA | Jawatan/Gelaran |
KERABAT DIRAJA | KERABAT DI RAJA, jalinan atau hubungan saudara-mara raja termasuk saudara-mara terdekat dan saudara-mara yang jauh. Perkataan kerabat berasal daripada bahasa Arab dan merujuk kepada keluarga yang terdekat. Perkataan kerabat dalam bahasa Melayu turut merangkumi keluarga yang jauh. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
PUJANGGA ISTANA | PUJANGGA ISTANA, penulis teks raja-raja Melayu. Dalam sistem pemerintahan raja-raja Melayu zaman dahulu, istana menjadi pusat segala aktiviti termasuk penulisan. Raja melantik seseorang yang berkebolehan untuk menjadi jurutulisnya terutama apabila ada utusan hendak dihantar kepada raja di negeri lain. Biasanya jurutulis hanya menulis tetapi yang sebenar mengarang surat itu ialah orang lain yang cekap dalam penggunaan bahasa. Orang ini bergelar pujangga istana atau bujangga istana. | SASTERA | Konsep |
RAJA BOT RAJA JUMAAT | RAJA BOT RAJA JUMAAT (1849-1916), pentadbir daerah Lukut. Dia adalah putera Raja Jumaat bin Raja Jaafar dan ibunya ialah Senai, puteri Sultan Muhammad. Semasa berumur lapan tahun, dia telah khatam al-Qur’an. Tiga tahun kemudian dia dihantar ke Melaka untuk mendapat pendidikan di Sekolah Inggeris Melaka. Dia dijaga oleh Kolonel Ronald Macpherson, Residen Kauselor Melaka. Selepas itu, dia diajar hal-hal perniagaan oleh Baba Chee Yam Chuan, saudagar Melaka yang juga sabahat baik Raja Jumaat. Chee Yam Chuan banyak membantu pembangunan Lukut. Raja Bot kembali ke Lukut setelah berada di Melaka selama dua tahun. Dalam usia 13 tahun, dia membantu ayahnya menjalankan peniagaan, khususnya membeli keperluan seperti pakaian, candu dan makanan yang dijual kepada pekerja lombong. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
RAJA AISYAH RAJA SULAIMAN | RAJA AISYAH RAJA SULAIMAN (1889-1924), penulis. Dia lahir pada tahun 1889 di kompleks istana, tempat yang sekarang dikenal sebagai Kampung Baru, Pulau Penyengat. Dia ialah cucu Raja Ali Haji (1809-1870). Raja Aisyah mendapat pendidikan dan asuhan yang ketat dan sempurna daripada inang-inang yang terpilih. Selain mewarisi tabiat suka membaca buku sejak kecil, dia juga terdedah kepada suasana pembacaan hikayat dan pendendangan puisi di istana. Dari situlah juga Raja Aisyah mempelajari teknik bercerita. | SASTERA | Tokoh |
KEDAULATAN | Kedaulatan pada mulanya digunakan terhadap raja. Setiap penduduk di sesebuah negeri ialah rakyat kepada raja. Raja itu sendiri ialah seorang yang berdaulat, iaitu tidak berajakan kepada sesiapa . | UMUM | |
RAJA HAJI ABDULLAH RAJA HASSAN | RAJA HAJI ABDULLAH RAJA HASSAN ( ? - 1926), hakim, kadi dan penulis. Dia berketurunan bangsawan dari Kepulauan Riau-Lingga, Indonesia. Raja Haji Abdullah ialah anak Raja Hassan (m. 1882), cucu kepada Raja Ali Haji, serta sepupu Raja Khalid Hitam (m. 1914). Di Pulau Penyengat, Raja Haji Abdullah lebih dikenal sebagai Engku Haji Lah. Dia menggunakan nama pena Abu Muhammad Adnan Haji Abdullah al-Naqsyahamdi al-Khalidi dalam kebanyakan karyanya. | SASTERA | Tokoh |
RAZIYAH, SULTANA | Raziyah, Sultana ( ? –1240), raja di India yang memerintah dari tahun 1236 hingga tahun 1240. Baginda adalah wanita pertama dalam sejarah Islam yang menjadi raja sebuah negara. Namanya juga dieja sebagai Raziya. | UMUM | |
PERJANJIAN LIMERICK | Perjanjian Limerick ialah perjanjian yang menamatkan peperangan antara raja-raja England, William III dengan James II. Orang Inggeris telah menggulingkan James, yang bermazhab Roman Katolik pada tahun 1688 dan telah melantik William yang bermazhab Protestan sebagai raja. Penyokong James yang dikenali sebagai Jacobites , mula memberontak di Ireland pada tahun 1689. William III telah mengalahkan pihak Jacobites berulang kali sehingga pada tahun 1691, mereka hanya menguasai Limerick. Angkatan Jacobites membuat keputusan untuk menyerah diri dan kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Limerick pada 3 Oktober. | UMUM | |