LURAH | Lurah, kawasan tanah rendah yang diapit oleh dua buah bukit atau gunung. | GEOGRAFI DAN GEOLOGI | Bentuk Muka Bumi |
BAKUL | BAKUL, bekas untuk mengisi barang, yang dianyam daripada bahan yang senang dilengkung dan dijalin seperti rotan, buluh, mengkuang, purun, bemban dan lain-lain. Menganyam bakul bermula dari dasar membawa ke atas bagi semua reka bentuk. Apabila selesai ukuran yang dikehendaki, anyaman dikemaskan dan dimatikan dengan jalinan rotan halus atau bemban, ataupun diapit dengan gelang rotan atau buluh di mulut bakul dan kemudian dijalin untuk meneguhkannya. | BUDAYA | Kraf Tangan |
LAMBANG DEWAN | LAMBANG DEWAN, lambang korporat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lambang Dewan dilukis oleh Mohd. Hoessien Enas pada tahun 1957. Idea untuk mewujudkan Lambang Dewan adalah gabungan ilham Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP (1957-1969) dan Tuan Haji Abdul Samad Ahmad, Pengarang DBP (1957-1969). Lambang Dewan terdiri daripada unsur daun lontar yang bertangkaikan mata pena. Daun lontar ini pula diapit kiri kanan oleh daun resam yang pangkalnya juga berbentuk mata pena. Kedua-dua pangkal lambang tersebut diikat oleh lakar buku yang membawa nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Keempat-empat unsur yang membina reka bentuk Lambang Dewan ini mempunyai pengertian khusus yang mendukung dan melambangkan tugas DBP. | BUDAYA | Konsep |