SENJATA API GATLING | Senjata api Gatling merupakan mesingan tembakan laju praktikal yang pertama dicipta. Ia dicipta oleh Richard Jordan Gatling (1818–1903) seorang pencipta Amerika Syarikat dalam bidang peralatan pertanian. Gatling memperoleh paten senjata api ini pada tahun 1862 bagi kegunaan semasa Perang Saudara Amerika (1861–1865). Ia mengandungi sepuluh laras yang berputar dengan pantas di sekeliling aci pusat dengan menggunakan engkol kendalian tangan. Setiap lawas dapat diisi melalui graviti, tembakan dan berputar untuk memberi laluan kepada laras berikutnya. Model senjata api yang diperbaik menjadi peralatan piawai bagi Tentera dan Tentera Laut Amerika Syarikat semasa Perang Sepanyol-Amerika pada tahun 1898. Senjata api Gatling moden adalah peralatan piawai dalam angkatan tentera banyak negara. Lihat Mesingan. | UMUM | |
KAEDAH MONTESSORI | Kaedah Montessori ialah satu sistem pendidikan yang dicipta untuk membantu kanak-kanak membangunkan kecerdasan berfikir dan keupayaan berdikari. Sistem ini dicipta oleh Maria Montessori, pendidik dan doktor Itali pada awal tahun 1900-an. | UMUM | |
NEPTUNIUM | Neptunium ialah unsur yang dicipta secara artifisial dengan simbol kimia Np. Nombor atomnya ialah 93. Isotopnya yang paling stabil mempunyai berat atom 237 dan separuh hayat dua juta tahun (lihat Sinaran ). Neptunium ditemui oleh Edwin M. McMillan dan P.H. Abelson di University of California, Amerika Syarikat, pada tahun 1940. Ia mula-mula dihasilkan dengan membedil uranium dengan neutron perlahan. Neptunium yang dihasilkan dengan cara ini adalah tidak stabil dan mereput untuk membentuk isotop yang boleh digunakan untuk pembelahan nuklear. Ahli sains mencipta banyak neptunium dalam reaktor nuklear dan mengkaji sifat-sifat fizikal dan kimia. Logam neptunium mempunyai ketumpatan 20.25 gram per sentimeter padu pada 20 ° C. Ia melebur pada 639°C. | UMUM | |
SINTETIK | Sintetik ialah bahan yang dicipta secara artifisial apabila dua unsur atau lebih digabungkan secara kimia untuk membuat sebatian baru. Sintetik termasuk semua plastik dan serat buatan seperti akrilik, asetat dan nilon. Kebanyakan bahan sintetik telah dimajukan semasa keluaran asli berkurangan atau tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan perindustrian tertentu. | UMUM | |
KALENDAR JULIAN | Kalendar Julian dicipta pada tahun 46 S.M. atas arahan Julius Caesar. Sebelum itu pegawai agama Rom mengubah kalendar tersebut supaya berbeza tiga bulan berbanding tahun suria. | UMUM | |
MENDELEVIUM | Mendelevium ialah unsur radioaktif yang dicipta secara artifisial. Simbol kimianya ialah Md, dan nombor atomnya ialah 101. Mendelevium mempunyai 13 isotop yang diketahui. Isotopnya yang paling stabil mempunyai nombor jisim 258 dan separuh hayat 58 hari. Isotop mendelevium yang paling berat mempunyai nombor jisim 260 dan separuh hayat 32 hari. | UMUM | |
SENI CAROLINGIAN | Seni Carolingian ialah gaya seni yang dicipta pada akhir 700-an M. dan 800-an M. di Perancis dan barat Jerman. Seni Carolingian mengambil sempena nama Charlemagne, yang menjadi raja orang Frank dari tahun 768 M. hingga tahun 814 M. Arkitek Carolingian memberi sumbangan yang besar dari segi reka bentuk gereja dan perancangan biara. Jurutulis Carolingian mencipta jenis tulisan yang baru. Pada abad yang lalu, pelukis telah memberi tumpuan kepada pola geometri abstrak dan haiwan hebat. Pelukis, pengarca, dan artisan Carolingian memperkenalkan figura manusia pada latar belakang semula jadi ke dalam seni tampak. | UMUM | |
KAPAL TANGKI | Kapal tangki ialah kapal yang dicipta khas untuk membawa kargo cecair. Kebanyakan kapal tangki membawa petroleum tetapi ada juga yang membawa barangan seperti molases, wain, bahan kimia, batu arang, bijirin, dan bijih besi. | UMUM | |
SARINGAN ERATOSTHENES | Saringan Eratosthenes ialah satu kaedah yang dicipta oleh ahli matematik Yunani, Eratosthenes untuk mengenal pasti nombor perdana . Nombor perdana ialah nombor selain nombor 1 yang hanya boleh didarabkan secara genap dengan 1 dan dengan nombor itu sendiri. Kini, komputer elektronik boleh digunakan untuk mengenal pasti nombor perdana, tetapi sistem itu masih sama dengan kaedah yang digunakan oleh Eratosthenes. | UMUM | |
REALITI MAYA | Realiti maya ialah persekitaran tiga dimensi, artifisial yang dicipta oleh komputer dan pelbagai alat lain. Alat ini dan perisian khas memanipulasi deria manusia – terutamanya deria penglihatan dan pendengaran – untuk mencipta perasaan seolah-olah berada di dalam dunia janaan komputer. | UMUM | |