MEMBRU | Membru ialah proses yang digunakan untuk membuat sesetengah minuman alkohol, terutamanya bir. Ramuan utama yang digunakan untuk membuat bir yang biasa ialah barli, hop, ragi, dan air. Kadang-kadang bijian yang lain juga digunakan. Semua pembuat bir menggunakan proses asas yang sama, iaitu mempelbagaikan ramuan atau masa membru dan suhu untuk memperoleh beberapa jenis bir. Enam langkah pertama ialah: (1) membuat malt, (2) melecek, (3) merebus, (4) penapaian, (5) pematangan, (6) proses akhir. | UMUM | |
ANTIMONI | Antimoni, unsur kimia, ialah logam yang rapuh, berwarna putih kebiru-biruan. Ia digunakan untuk mengeraskan dan menguatkan plumbum. Aloi antimoni – plumbum digunakan dalam sesetengah kabel elektrik, bateri, dan logam huruf taip dalam percetakan. Sebatian yang mengandungi antimoni digunakan untuk menghasilkan bahan-bahan yang digunakan dalam peti sejuk, penyaman udara, penyembur aerosol, cat, dan agen pengalis api. | UMUM | |
SESENDAL | Sesendal ialah silinder berongga yang digunakan sebagai lapik boleh tanggal dalam bahagian-bahagian bergerak pada mesin dan alat elektrik. Dalam jentera, sesendal mungkin digunakan sebagai bering bagi gandar atau pangsi untuk mengurangkan geseran dan haus. Ia juga mungkin digunakan untuk menyambungkan paip dengan aksesori paip yang lebih besar saiznya. Sesendal bagi jentera biasanya dibuat daripada plastik, gangsa, atau logam Babbit atau logam antigeseran yang lain. Dalam bahagian-bahagian alat elektrik, sesendal mungkin digunakan untuk menebat sambungan litar. | UMUM | |
MODAL | Modal adalah istilah ekonomi bermaksud kekayaan, selain daripada tanah, yang digunakan untuk menambahkan kekayaan. Wang simpanan adalah modal, kerana digunakan untuk menambah kekayaan menerusi faedah atau dividen. Tanah dan sumber-sumber semula jadi tidak dikira sebagai modal kerana bukan dikeluarkan oleh manusia. Kebanyakan aset yang digunakan dalam perniagaan adalah modal, kerana ia digunakan untuk mendapatkan keuntungan. Barang-barang peribadi seperti makanan, perabot, dan pakaian dianggap sebagai harta, tetapi bukannya modal. Barang-barang ini tidak menambahkan kekayaan. Terdapat dua jenis modal perniagaan, modal tetap dan modal kerja. | UMUM | |
MINYAK JARAK | Minyak jarak ialah minyak tidak berwarna yang digunakan sebagai julap. Minyak yang baru adalah jernih dan melekit. Minyak jarak merengsakan dinding usus dan menyebabkannya berfungsi. Jika digunakan terlalu kerap, ia boleh menyebabkan sembelit. Minyak jarak digunakan sebagai ubat, tetapi banyak proses perindustrian menggunakan kebanyakan bekalan minyak ini. | UMUM | |
SAWAI | Sawai ialah istilah yang umumnya digunakan untuk menerangkan sebarang keadaan separuh sedar atau lena yang luar biasa. Istilah ini juga boleh digunakan untuk menerangkan keadaan orang yang dipukau, menurun, dan orang yang mengalami gangguan mental. Kadangkala, sawai berlanjutan untuk jangka waktu yang agak panjang. Walau bagaimanapun, biasanya sawai hanya berlaku dalam tempoh waktu yang pendek. Perkataan sawai, pada mulanya digunakan bagi keadaan roh yang dipercayai telah meninggalkan tubuh bagi tempoh waktu tertentu. | UMUM | |
AMPERE | Ampere ialah unit yang digunakan untuk mengukur kadar aliran arus elektrik. Ia adalah salah satu daripada tujuh unit asas dalam sistem metrik, dan simbolnya ialah A. Ampere digunakan untuk mengukur elektrik sebagaimana unit gelen per minit digunakan untuk mengukur air. Arus elektrik mengalir pada kadar 1 ampere apabila 1 coulomb (unit caj elektrik) mengalir melepasi satu bahagian litar elektrik dalam masa 1 saat (lihat Coulomb ). Oleh itu, 1 ampere bersamaan dengan 1 coulomb per saat. Ahli fizik mentakrif ampere dari segi daya magnetik, yang diukur dalam newton, yang dihasilkan oleh arus. | UMUM | |
NAPALM | Napalm ialah serbuk yang digunakan untuk memekatkan petrol yang digunakan dalam peperangan. Apabila Napalm dicampurkan dengan petrol, petrol menjadi seperti agar-agar. Hasil daripada pemekatan petrol ini juga biasanya dirujuk sebagai napalm. | UMUM | |
DADU | Dadu ialah kiub kecil yang digunakan dalam permainan judi seperti ‘craps’. Dadu juga digunakan dalam permainan ‘backgammon’, monopoli dan permainan papan yang lain. Sebiji dadu dinamakan die. Setiap die mempunyai enam permukaan dan ia dicetak dari satu titik hingga ke enam titik. | UMUM | |
TAN | Tan ialah nama tiga unit berlainan yang digunakan untuk mengukur berat dan kapasiti. Unit-unit itu ialah tan panjang , tan pendek , dan tan metrik . Tan panjang dan tan pendek sering digunakan di Amerika Syarikat, tetapi tan metrik digunakan oleh hampir semua negara lain. Tan panjang bersamaan 1016 kilogram, tan pendek bersamaan 907 kilogram, dan tan metrik bersamaan dengan 1000 kilogram. Lihat juga Pengukuran (Mengukur berat); Sistem metrik; Timbangan dan ukuran. | UMUM | |