SERPIHAN PELURU | Serpihan peluru ialah sejenis kelongsong peluru meriam yang dicipta oleh Leftenan (kemudiannya Leftenan Jeneral) Henry Shrapnel (1761–1842). Kelongsong peluru ini mengandungi sejumlah bebola dan serbuk peletup yang memecahkan kelongsong peluru. Tentera British menggunakan peluru pertama jenis ini di Surinam pada tahun 1804. Semasa Perang Dunia I (1914–1918), serpihan peluru ini dianggap peluru pembinasa anggota yang paling boleh diharapkan dan berkesan. Semenjak Perang Dunia II (1939– 1945), perkataan ini biasanya merujuk kepada serpihan keluli pembalut kelongsong peluru meriam yang dilontar melalui letupan, walaupun sesetengah jenis kelongsong peluru yang dipenuhi dengan serpihan keluli masih digunakan. Lihat juga Meriam; Peluru. | UMUM | |
MALAY LITERATURE | MALAY LITERATURE, jurnal sastera dwibahasa. Jurnal ini mula diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan Julai 1988. Jurnal ini diharapkan dapat memperkenalkan kesusasteraan Alam Melayu, Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura kepada dunia luar. Malay Literature diterbitkan dua kali setahun iaitu pada setiap bulan Januari dan Julai dan diterbitkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. | SASTERA | Penerbitan |
SURAH AL-‘ANKABUT | Surah al-‘Ankabut ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-29 mengikut susunan surah dalam al-Qur’an dan mengandungi 69 ayat. Ia dinamakan Surah al-‘Ankabut (Labahlabah) kerana Allah S.W.T. membuat perbandingan penyembahan kepada berhala yang dipahat dan sangkaan berbilang tuhan dengan labah-labah, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 41 yang bermaksud: “Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain daripada Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya)...”. (Surah al-‘Ankabut 29:41) | UMUM | |
CERITA LIPUR LARA | CERITA LIPUR LARA, sastera rakyat berbentuk cerita yang diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi lain melalui bentuk lisan. Cerita lipur lara terkenal sebelum ini sebagai cerita penglipur lara kerana cerita ini dituturkan oleh seorang tukang cerita yang dipanggil penglipur lara. Istilah ini lahir daripada tugas yang dilekatkan kepada pencerita cerita ini kerana diharapkan cerita tersebut akan menghiburkan hati yang duka lara dan menimbulkan kegembiraan. Penglipur lara juga dikenal sebagai Tuk Selampit, Awang Belanga, Tukang Kaba dan sebagainya, mengikut daerah masing-masing dan juga alat bunyian yang digunakan untuk mengiringi penceritaan. | SASTERA | Konsep |
MAPHILINDO | MAPHILINDO, gagasan untuk menyatukan negara-negara rumpun Melayu. Gagasan ini merangkumi Tanah Melayu Persekutuan (Malaya), Indonesia dan Filipina dalam satu persekutuan yang besar. Gagasan MAPHILINDO (Malaya, Philippines, Indonesia) dikemukakan oleh Diasdado Macapagal, Presiden Filipina, di Persidangan Menteri-Menteri Luar, di Manila pada bulan Jun 1963. Persidangan ini dihadiri oleh pemimpin dari ketiga-tiga negara untuk berunding bagi menyelesaikan konflik antara negara berkaitan isu penubuhan Persekutuan Malaysia yang dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1961. Persekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Dato’ Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan; Indonesia diwakili oleh Dr. Subandrio, Menteri Luar; dan Filipina diwakili oleh Emmanuel Pelaez, Naib Presiden merangkap Setiausaha Luar Negara. Adalah diharapkan penubuhan gagasan ini dapat mewujudkan keamanan serantau dan ia dapat bertindak sebagai benteng kepada ancaman luar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
UDA | UDA, agensi berkanun. UDA ialah singkatan Urban Development Authority (Perbadanan Pembangunan Bandar). Ia berperanan sebagai pelaksana dasar-dasar kerajaan bagi menyusun semula masyarakat selaras dengan Dasar Ekonomi Baru melalui pembangunan dan penyusunan semula bandar. UDA ditubuhkan pada 1 September 1971 di bawah Akta Perbadanan Pembangunan Bandar 1971. Akta ini mengandungi fungsi-fungsi utama UDA iaitu bagi memajukan dan melaksanakan projek-projek di kawasan pembangunan bandar bagi pembangunan, pembangunan semula dan penempatan semula. Ia juga bertujuan supaya peluang dalam bidang perdagangan, perusahaan, perumahan dan lain-lain dapat diagihkan dengan sama rata dan adil antara berbagai-bagai kaum. Melalui program tindakan pembangunan yang dijalankan oleh UDA, diharapkan akan dapat membentuk dan menyusun semula masyarakat melalui pembangunan bandar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |