IKAT PINGGANG | IKAT PINGGANG, kain panjang yang dililit pada pinggang lelaki atau perempuan untuk mengukuhkan kedudukan samping atau sarung. Ikat pinggang juga disebut ‘bengkung’. Ikat pinggang yang dipakai di atas samping berfungsi sebagai penggalas keris atau senjata lain. Ikat pinggang yang panjang yang dililit beberapa kali di pinggang boleh melindungi pemakainya daripada tercedera semasa bertikam. | BUDAYA | Artifak/Mentifak |
SEMUTAR | SEMUTAR, sejenis kain panjang dan nipis yang dililit di kepala orang lelaki khasnya di pantai timur, Semenanjung Malaysia. Semutar menjadi penutup kepala basahan atau harian yang dipakai oleh golongan rakyat biasa yang bekerja sebagai nelayan, peladang, petani atau peniaga. | BUDAYA | Adat |
BENGKUNG | BENGKUNG, kain yang dililit di bahagian pinggang dan dipakai oleh lelaki dan wanita dengan fungsi dan tujuan yang tertentu. Bengkung bagi lelaki pada asasnya ialah ikat pinggang atau kain ikat pinggang. Pada masa itu, kain ikat pinggang merupakan sehelai kain punca potong sepanjang lebih kurang 200 cm panjang dan selebar 80 cm hingga 90 cm. Bengkung yang terbaik pada masa itu ialah kain cindai daripada sutera yang berjambul (berambu) kedua-duanya puncanya, buatan India dan coraknya berbelang-belang seperti kulit ular. Ada kalanya seseorang yang memakai bengkung disebut sebagai ‘bersayap sandang’ kerana kain ikat pinggangnya dipakai melintang pada dada untuk menusukkan pedang atau keris. | BUDAYA | Alat/Alatan |
PAKAIAN ZIARAH KEMATIAN | PAKAIAN ZIARAH KEMATIAN, pakaian yang dipakai oleh seseorang semasa menziarah kematian atau melawat jenazah. Dalam sesuatu istiadat ziarah dan penghormatan terakhir kemangkatan diraja, pakaian lelaki Islam adalah pakaian seragam atau uniform yang mirip kepada pakaian istiadat yang dipakai oleh pasukan beruniform. Pakaian lain iaIah sepasang baju Melayu yang lengkap tetapi tidak ditentukan warnanya. Keluarga diraja pula memakai baju Melayu berwarna putih dan bersongkok. Bagi orang kebanyakan dikehendaki memakai songkok yang dililit dengan kain putih, selebar lebih kurang 3.5 cm. | BUDAYA | Pakaian |