STAR-SPANGLED BANNER | Star-Spangled Banner ialah lagu kebangsaan Amerika Syarikat. Ia ditulis oleh Francis Scott Key dan dinyanyikan dengan muzik yang digubah oleh John Stafford Smith. Pada bulan Mac 1931, Kongres Amerika Syarikat secara rasmi meluluskan lagu ini sebagai lagu kebangsaan. Walau bagaimanapun, tentera darat dan laut telah mengiktiraf “ The Star- Spangled Banner” sebagai lagu kebangsaan sebelum Kongres meluluskannya. | UMUM | |
MADRIGAL | Madrigal ialah sejenis muzik yang dua atau lebih suara menyanyikan melodi yang berbeza, dari sebuah teks. Madrigal pada umumnya dinyanyikan dengan satu suara untuk satu bahagian tanpa diiringi sebarang alat muzik. | UMUM | |
DIKIR REBANA | DIKIR REBANA, nyanyian tradisional berunsur keagamaan yang terkenal di Pahang yang disebut juga dikir Pahang. Dikir ini dinamakan dikir rebana kerana orang yang berdikir menggunakan rebana sebagai alat pengiring. Dikir rebana dinyanyikan dalam upacara tertentu seperti perkahwinan, kenduri kesyukuran, majlis berkhatan dan perayaan maulid Nabi. | BUDAYA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
SURIRAM | SURIRAM, lagu buaian yang dinyanyikan oleh dayang dalam babak-babak pentas bangsawan untuk menidurkan anak raja. Perkataan ‘Suriram’ adalah rekaan semata-mata sebagai nama timang-timangan yang ditujukan kepada puteri atau putera raja yang diasuh oleh dayang. | BUDAYA | Karya |
OPERETA | Opereta ialah sejenis teater muzikal yang popular sejak pertengahan tahun 1800-an hingga tahun 1920-an. Opereta berkembang daripada opera komedi Perancis. Walau bagaimanapun, tidak seperti opera, opereta mengandungi dialog yang diucapkan, bukan dialog yang dinyanyikan, dan lagu, bukan aria. Overtur opereta sering kali lebih merupakan rangkai lagu daripada pertunjukan itu daripada gubahan yang berasingan, seperti dalam opera. | UMUM | |
RASA SAYANG | RASA SAYANG, sejenis lagu rakyat yang dinyanyikan secara beramai-ramai pada sesuatu majlis. Lagu yang berasal dari kepulauan Maluku, Indonesia ini juga dikenal dengan nama “Rasa Sayang Eh” tetapi nama asalnya ialah “Rasa Sayang”. Lagu ini terkenal di seluruh rantau Asia Tenggara dan pernah dinyanyikan dalam bahasa Tagalog, Thai, China dan Tamil. Lagu ini mengandungi unsur-unsur kasih sayang, keceriaan, kemesraan dan juga usik-mengusik di kalangan kumpulan yang sama-sama mendendangkan lagu tersebut. | BUDAYA | Karya |
IKAN KEKEK | IKAN KEKEK, lagu kanak-kanak. Lagu ini biasanya dinyanyikan oleh kanak-kanak dengan iringan tepukan mengikut rentak lagu. | BUDAYA | Karya |
ORFF, CARL | Orff, Carl (1895–1982) ialah penggubah dan pendidik muzik Jerman. Dia menghasilkan karya utamanya untuk pertunjukan pentas. Karyanya menggabungkan muzik instrumental, nyanyian, dan gerak isyarat dan tarian dalam suatu kesatuan persembahan. Muzik Orff menekankan sesuatu yang ringkas seperti melodi dan harmoni rakyat. Dia menggunakan peralatan perkusi untuk menghasilkan rangsangan irama yang bertenaga. Orff menggunakan skala Oriental dan Zaman Pertengahan serta teks dalam beberapa bahasa yang dinyanyikan secara serentak. | UMUM | |
AULD LANG SYNE | Auld lang syne ialah dialek orang Scotland yang bererti old long since (sejak lama dahulu) atau hari telah berlalu. Perkataan ini menjadi judul sebuah lagu yang digemari oleh semua orang yang dapat bertutur dalam bahasa Inggeris. Robert Burns menyatakan bahawa dia mencatat perkataan ini apabila mendengar seorang lelaki tua menyanyikannya akan tetapi orang menganggap Burns yang mencipta kata-kata tersebut. Lagu ini dinyanyikan dengan melodi Scotland lama. Ia adalah lagu tradisi untuk menyambut ketibaan Tahun Baru, terutama di Scotland. Lihat juga Burns, Robert. | UMUM | |
GELANG SI PAKU GELANG | GELANG SIPAKU GELANG, lagu rakyat yang berasal dari Padang, Sumatera, Indonesia. Gelang yang digunakan dalam konteks lagu ini bermaksud sejenis tumbuhan paku. Lagu ini biasanya dinyanyikan beramai-ramai sebagai lagu perpisahan setelah selesai sesuatu majlis atau perhimpunan. Muzik iringannya mengikut rentak inang. | BUDAYA | Konsep |