PERANG HITTIN | Perang Hittin berlaku pada akhir bulan Rabiulawal tahun 583 H., bersamaan bulan Julai 1187 antara kaum Muslimin yang dipimpin oleh Salahuddin al-Ayubbi dengan tentera Salib di daerah Syam yang kini terletak dalam kawasan takluk Israel, iaitu di sebelah barat tasik Tabariyah. | UMUM | |
SIMBOLISME | Simbolisme ialah gerakan kesusasteraan yang dimulakan oleh sekumpulan penyair Perancis antara tahun 1885 hingga tahun 1895. Gerakan ini dipimpin oleh Stéphane Mallarmé, tetapi puisi Paul Verlaine yang ditiru secara yang lebih meluas. Ahli-ahli teori simbolisme yang utama termasuk Réné Ghil, Gustave Kahn, Jean Moreás, dan Charles Morice. Gaya simbolisme menjadi ikutan banyak penyair Eropah pada awal tahun 1900-an. | UMUM | |
ABDULLAH FAHIM | Abdullah Fahim (1859-1961)tokoh politik dan ulama Malaysia. Dia merupakan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama di Seberang Perai, Pulau Pinang, iaitu semasa UMNO dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. | UMUM | |
ALLENBY, LORD | Allenby, Lord (1861–1936) ialah pemimpin tentera British. Semasa Perang Dunia I, dia memimpin tentera British di Mesir dan Palestin. Dengan menggabungkan secara mahir serangan tenteranya sendiri dan serangan gerila Arab yang dipimpin oleh Mejar T.E. Lawrence (Lawrence of Arabia), dia mengalahkan tentera Turki pada tahun 1917 dan 1918 (lihat Lawrence, T.E. ). | UMUM | |
PERANG YARMUK | Perang Yarmuk berlaku pada tahun 15 H./636 M. antara tentera Islam di bawah pimpinan Khalid ibn al-Walid dengan tentera Rom di bawah pimpinan Thiordas, pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar ibn al-Khattab. Pada awal pertempuran ini, tentera Islam telah berjaya mengalahkan tentera Rom di bandar Fahl. Mereka juga telah meneruskan penguasaannya sehingga ke sempadan Damsyik. Di sana, tentera Islam mengepung kota ini selama hampir setahun tujuh bulan. Kemudian pihak musuh telah menyerah diri. Hal ini berlaku pada tahun 14 H./635 M. Kesan daripada penawanan Damsyik daripada tangan tentera Byzantine Rom itu telah menyebabkan raja mereka, Hercules menggerakkan bala tentera yang dianggarkan seramai 200 000 anggota yang dipimpin oleh saudaranya, Thiordous menentang tentera Muslimin yang berjumlah 25 000 orang yang dipimpin oleh Khalid ibn al-Walid. Peperangan antara kedua-dua pihak tidak dapat dielakkan. Pihak tentera Islam telah memperoleh kemenangan. | UMUM | |
PERSETIAAN GENEVA | Persetiaan Geneva ialah suatu siri daripada empat perjanjian antarabangsa yang ditandatangani pada 20 dan 21 Julai 1954. Perjanjian ini menamatkan peperangan lebih daripada 7 tahun di bekas tanah jajahan Perancis, di Indochina. Dalam peperangan tersebut, kuasa tentera Kemboja, Perancis, Laos, dan negara Vietnam telah memerangi pasukan tentera Vietminh. Vietminh ialah gerakan nasionalis yang dikuasai oleh komunis dan dipimpin oleh Ho Chi Minh, pemerintah Republik Demokrasi Vietnam. Kerajaan Vietnam berpusat di Selatan Vietnam. Kerajaan Republik Demokrasi Vietnam berpangkalan di Utara Vietnam. | UMUM | |
HORISON | HORISON, majalah sastera di Indonesia. Horison pertama kali diterbitkan pada bulan Julai 1966. Majalah ini diterbitkan oleh Yayasan Indonesia yang dipimpin oleh Mochtar Lubis. | SASTERA | Karya |
PERANG GRANADA | Perang Granada berlaku pada tahun 897 H./ 1492 M. antara orang Islam di bawah pimpinan Bani Ahmar dengan orang Kristian Andalus. Peperangan ini disebabkan kemunculan kerajaan- kerajaan kecil Islam di kalangan bangsa Arab yang dikenali sebagai kerajaan-kerajaan kecil “zaman al- Tawa’if ”, selepas kejatuhan kerajaan Bani Umaiyyah di Andalus. Salah satu daripada kerajaan itu ialah kerajaan kecil Granada yang merdeka pada tahun 630 H./1232 M. dan dipimpin oleh Bani Ahmar. Perpecahan ini menyebabkan kelemahan orang Islam di Andalus. Orang Kristian telah mengambil kesempatan di atas kelemahan orang Islam dengan mengukuhkan wilayah-wilayah mereka di utara bagi menghadapi kerajaan-kerajaan Islam Arab ini yang kebetulan sedang berselisih untuk berebut kuasa. Selepas itu, satu demi satu kerajaan Islam jatuh ke tangan orang Kristian kecuali kerajaan Granada . Hanya kerajaan ini yang tinggal untuk orang Islam Andalus. | UMUM | |
ANNAPURNA I | Annapurna I , puncak gunung setinggi 8078 meter dan merupakan gunung yang kesebelas tertinggi di dunia. Puncak ini terletak di pergunungan Himalaya. Annapurna I terletak di bahagian tengah Nepal dan membentuk sebahagian daripada kumpulan gunung Annapurna. Orang Nepal menggelar puncak gunung yang diselubungi salji ini Dewi Penuaian, kerana mereka percaya puncak ini mengawasi ladang tanaman di penara subur di Pokhara yang terletak bersebelahan. Pada tahun 1950, satu ekspedisi 11 orang yang dipimpin oleh Maurice Herzog dari Perancis mendaki Annapura. Sebelum Puncak Everest didaki pada tahun 1953, Annapurna adalah puncak yang paling tinggi pernah didaki. Lihat juga Gunung (jadual gambar rajah). | UMUM | |
PERADUAN MENGARANG PUISI | PERADUAN MENGARANG PUISI, peraduan menulis genre puisi. Peraduan ini dimulakan pada tahun 1955 apabila ia pertama kali dianjurkan oleh penerbit Harmy di Singapura. Penerbit ini dipimpin oleh Harun Aminurrashid, yang memainkan peranan penting dalam menerbitkan akhbar dan majalah dari tahun 1940-an hingga tahun 1950-an. | SASTERA | Konsep |