PROSES OZALID | Proses Ozalid ialah kaedah mengeluarkan salinan dokumen. Kertas asal diletakkan di atas helaian kertas Ozalid yang dirawat secara kimia dan dimasukkan ke dalam mesin Ozalid. | UMUM | |
SIFILIS | Sifilis ialah penyakit yang berjangkit melalui hubungan seks dan dapat menimbulkan beberapa gejala yang teruk jika tidak dirawat. Sifilis disebabkan oleh spirochaete (bakteria dalam bentuk bergulung-gulung) dikenali sebagai Treponema pallidum. Organisma ini hidup hanya pada manusia dan biasanya berjangkit semasa hubungan seks. | UMUM | |
MINOT, GEORGE RICHARDS | Minot, George Richards (1885–1950), doktor Amerika yang sangat terkenal di dunia dalam bidang penyakit darah. Pada tahun 1926, dia memperkenalkan rawatan hati kepada pesakit anemia pernisius. Kajiannya menunjukkan bahawa apabila seseorang pesakit dirawat dengan memberinya diet yang mengandungi banyak hati, anemia akan hilang. Penemuannya ini telah memberi peluang kepada pesakit anemia untuk sembuh. | UMUM | |
SAKARIDA | Sakarida ialah karbohidrat – satu daripada tiga kelas utama makanan. Lemak dan protein membentuk dua kelas yang lain. Sakarida dikelaskan mengikut struktur kimianya. Monosakarida, yang mempunyai struktur paling ringkas, termasuk glukosa, iaitu gula yang didapati dalam darah. Tidak seperti sakarida lain, monosakarida tidak boleh terurai menjadi karbohidrat yang lebih ringkas apabila dirawat dengan asid cair atau melalui tindakan enzim tertentu. Disakarida , seperti sukrosa (gula meja), terdiri daripada dua molekul monosakarida yang disambungkan dengan satu atom oksigen. Polisakarida, seperti kanji dan selulosa, mungkin terdiri daripada beribu-ribu monosakarida yang bersambung. Untuk rajah molekul sakarida, lihat Karbohidrat. Lihat juga Kanji. | UMUM | |
KEKEJANGAN | Kekejangan ialah penguncupan satu otot atau lebih, yang menyakitkan dan tidak dapat dikawal. Kekejangan mungkin melibatkan sebarang bahagian otot tubuh. Mungkin hanya satu spasma (penguncupan otot) yang terjadi, tetapi biasanya ia diikuti oleh lebih banyak kekejanganan yang bermula dan berakhir dengan cepat dan mendadak. Spasma yang teruk mungkin berterusan selama beberapa jam, malah berhari-hari jika tidak dirawat. | UMUM | |
SEJUK KAKI | Sejuk kaki ialah keadaan penyakit di bahagian bawah kaki yang berpunca daripada terlalu lama terdedah kepada sejuk lembap. Keadaan ini dialami oleh ramai askar yang bertempur di parit pelindung semasa Perang Dunia I (1914–1918). Ia menyerupai reput fros yang ringan hinggalah kepada yang sederhana. Reput fros terjadi akibat terdedah kepada keadaan sejuk kering. Askar, pekerja luar, dan pemburu selalu mengalami sejuk kaki. Ia perlu dirawat seperti reput fros, dengan membersihkan kaki, berehat dan mengembalikan peredaran darah. | UMUM | |
ARGENTUM NITRAT | Argentum nitrat ialah bahan kimia yang digunakan dalam ubat dan industri. Formula kimianya ialah AgNo 3 . Bahan kimia ini mudah larut dalam air. Ia boleh membakar kulit dan menyebabkan keracunan yang teruk atau mengakibatkan maut apabila terminum. Doktor menggunakan argentum nitrat untuk melecuhkan (bakar) luka bagi mengelakkan pendarahan atau jangkitan, dan untuk membuang kutil. Doktor menggunakan larutan argentum nitrat cair untuk merawat penyakit mata dan kulit yang tertentu, dan sebagai antiseptik. Sesetengah negara mengehendaki setiap bayi yang baru lahir dirawat dengan larutan argentum nitrat untuk mengelak daripada buta. | UMUM | |
KUSTA | Kusta juga dikenali sebagai penyakit Hansen, ialah sejenis penyakit berjangkit yang kronik. Penyakit ini khususnya menyerang bahagian kulit; membran mukus, terutamanya dalam hidung; dan sistem saraf periferal, yang merangkumi saraf yang menghubungkan saraf tunjang dengan otot-otot. Pada peringkat lanjut penyakit ini, fungsi mata, hati, limpa, otot, dan sumsum tulang juga boleh terjejas. Kusta biasanya tidak membawa maut. Walau bagaimanapun, pesakit yang tidak dijaga atau dirawat boleh mengalami kecacatan pada bentuk tangan dan kaki. | UMUM | |