LIBEL | Libel ialah kenyataan bertulis, bercetak atau kenyataan lain dalam bentuk kekal yang merosakkan nama baik seseorang. Gambar, tanda dan maklumat yang disiarkan di radio atau televisyen mungkin mengandungi libel. Slander sama seperti libel. Walau bagaimanapun, slander melibatkan kata-kata yang diucapkan atau kenyataan yang dilafazkan yang merosakkan nama baik seseorang. Di negara-negara yang membenarkan kes-kes slander, mangsa slander mesti dapat membuktikan bahawa nama baiknya benar-benar tercemar. Dalam tindakan libel, bukti bahawa nama baik seseorang itu telah tercemar tidak diperlukan. Libel dan slander merupakan bentuk fitnah . Biasanya individu menjadi sasaran libel, tetapi syarikat atau perbadanan mungkin membuat dakwaan kerana menyebabkan nama syarikat atau perbadanannya terjejas. | UMUM | |
PRÉVERT, JACQUES | Prévert, Jacques (1900–1977), berkemungkinan penyair Perancis yang paling terkenal pada pertengahan tahun 1900-an. Puisinya, Paroles ( kata- kata yang diucapkan ), menjadi laris dengan serta merta apabila disiarkan pada tahun 1946. | UMUM | |
SANGKAR | SANGKAR, kumpulan cerpen karya Anwar Ridhwan. Sangkar diterbitkan pada tahun 1986 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Kumpulan cerpen ini pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia tahun 1986/87. Lima buah cerpen dalam Sangkar juga pernah memenangi hadiah yang sama bagi kategori cerpen eceran. Cerpen “Dunia Adalah Sebuah Apartment” memenanginya pada tahun 1973, cerpen “Sesudah Perang” memenanginya pada tahun 1971 manakala cerpen “Sahabat”, “Menjadi Tua” dan “Sasaran” memenangi hadiah tersebut pada tahun 1982/1983. Empat belas cerpen disiarkan sebelum tahun 1982, enam buah cerpen disiarkan pada sekitar tahun 1982 – 1983 dan dua buah cerpen disiarkan pada tahun 1986. | SASTERA | Karya |
PIALA MELBOURNE | Piala Melbourne ialah acara lumba kuda yang paling masyhur dalam kalendar perlumbaan Australia atau New Zealand. Perlumbaan ini merupakan acara handikap sejauh 3.2 kilometer di Balapan Flemington Melbourne pada hari Selasa pertama bulan November. Perlumbaan itu disiarkan melalui radio dan televisyen. Penduduk Melbourne mendapat cuti awam pada hari perlumbaan tersebut. | UMUM | |
CITRA | Citra, rancangan Radio Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang disiarkan di Radio 1. Rancangan ini merupakan suatu usaha kerjasama antara DBP dengan RTM. | BAHASA | Kegiatan |
TENNIEL, SIR JOHN | Tenniel, Sir John (1820–1914) ialah kartunis dan pengilustrasi buku Inggeris. Dia menghasilkan ilustrasi untuk buku Alice ’s Adventures in Wonderland (1865) dan Through the Looking-Glass (1871) karya Lewis Carrol. Dia juga terkenal dengan kartun politiknya yang disiarkan dalam majalah Punch . Dia bekerja dengan majalah tersebut selama 50 tahun mulai tahun 1850. Dia dikagumi kerana karyanya yang asli, bermartabat dan berteknik canggih. Tenniel dan beberapa artis lain yang sezaman dengannya membantu mengekalkan kedudukan penting Great Britain dalam bidang ilustrasi buku. Dia lahir di London. Lihat juga Carrol, Lewis (Buku-buku Alice) ; Kesusasteraan untuk kanak-kanak (gambar: Through the Looking-Glass ). | UMUM | |
TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK | TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK, novel karya HAMKA yang pernah disiarkan secara bersiri dalam majalah Pedoman Masyarakat pada tahun 1939. Tenggelamnya Kapal van der Wijck diterbitkan oleh M. Sjarkawi di Medan pada tahun 1939. novel ini telah diulang cetak pada tahun 1949. Cetakan ketiga (1951) hingga ketujuh novel ini dibuat di Jakarta oleh Balai Pustaka. Pada tahun 1976 hingga tahun 1986, novel ini telah diulang cetak sebanyak 10 kali oleh penerbit Bulan Bintang. Mulai tahun 1963, novel ini diterbitkan di Malaysia oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur. | SASTERA | Karya |
PERADUAN MENGARANG | PERADUAN MENGARANG, peraduan menulis genre sastera. Peraduan ini meliputi peraduan mengarang cerpen, novel, puisi dan drama. Semua karya daripada setiap genre yang diperadukan mestilah belum pernah disiarkan di mana-mana media cetak. Tema serta persoalan yang menjadi pemikiran pengarangnya hendaklah asli. | SASTERA | Konsep |
MINGGU BAHASA | MINGGU BAHASA, gerakan untuk menimbulkan kesedaran rakyat terhadap bahasa kebangsaan negeri ini serta menggalakkan penggunaannya. Pada 7 Januari 1958, suatu pengumuman telah disiarkan melalui Radio Malaysia (kini RTM) untuk mengadakan gerakan ‘Minggu Bahasa’ yang akan dijalankan serentak di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Tujuan diadakan minggu tersebut adalah untuk meluaskan lagi pemakaian bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi untuk menarik perhatian orang ramai, semua kaum dan bangsa dalam negeri ini kepada bahasa kebangsaannya dan untuk meninggikan semangat ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. | BAHASA | Kegiatan |
SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR | SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR, novel karya Sasterawan Negara Keris Mas. Novel ini pernah disiarkan secara bersiri dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman mulai 22 Mac hingga 8 November 1981. Novel ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 1982. Novel ini dihasilkan oleh penulis setelah dia bergelar Sasterawan Negara. | SASTERA | Karya |