MUHAMMAD AL-AMIN AL-‘ABBASIY | Muhammad al-Amin al-‘Abbasiy (170 H.–198 H./787 M.–813 M.), khalifah Bani Abbasiyyah. Nama penuhnya ialah Muhammad ibn Harun al-Rashid ibn al-Mahdiy ibn al-Mansur. Dia lahir di pinggir kota Baghdad, enam bulan selepas kelahiran abangnya al-Ma’mun. Ibunya bernama Umm Ja‘far Zubaydah bint Ja‘far ibn al-Mansur. Tidak terdapat seorang pun dari golongan Bani Abbasiyyah yang kedua-dua ibu bapa mereka daripada golongan Bani Hashim kecuali al-Amin. Dia dilantik menjadi khalifah selepas kematian ayahnya pada tahun 193 H./808 M. berdasarkan wasiat ayahandanya sendiri. Al-Ma’mun pula dilantik menjadi pemimpin di Khurasan dan wilayah di bawahnya. Dia dijanjikan jawatan khalifah selepas al-Amin. Walau bagaimanapun, pada tahun 195 H./810 M., al-Amin memecat al-Ma’mun daripada jawatan Putera Mahkota. Al-Ma’mun kemudiannya menyeru al- Amin meletak jawatan di Khurasan, manakala dia digelar Amir al-Mu’minin. Selepas itu berlaku peperangan antara dua orang bersaudara ini. Tentera al-Ma’mun mengepung kota Baghdad dalam tempoh yang lama. Peperangan tersebut berakhir dengan terbunuhnya al-Amin di bandar al- Salam. | UMUM | |
SIBERIA | Siberia merupakan sebuah rantau yang luas dan kurang berpenduduk, terletak di bahagian utara Asia. Siberia terletak di dalam Rusia, dan membentuk kira-kira 75 peratus daripada keluasan Rusia, tetapi hanya 20 peratus daripada penduduk Rusia yang mendiaminya. Sebahagian besar kawasan ini diliputi salji dan ais selama kira-kira enam bulan dalam setahun. Suhunya kadangkala berada di bawah –68° C. | UMUM | |
BUDU | BUDU, sejenis pekasam ikan untuk menambah kelazatan makanan, dan diperbuat daripada ikan bilis segar bercampur garam buku, serta diperap selama enam bulan. Budu popular di kalangan masyarakat Melayu pantai timur sepanjang Semenanjung Malaysia dan di beberapa wilayah Melayu lain. | BUDAYA | Makanan |
IBRAHIM HUSSEIN | IBRAHIM HUSSEIN (1936- ), pelukis. Dia lahir pada 13 Mac 1936 di Alor Setar, Kedah. Ibrahim mendapat pendidikan awal dalam bidang seni lukis dari Akademi Seni Halus Nanyang, Singapura pada tahun 1956 selama enam bulan. Kemudian dia melanjutkan pelajaran di Byam Shaw School of Drawing and Painting (1959-1963) dan di Royal Academy of Fine Arts (1963-1966), kedua-duanya di London. Pada tahun 1967, dia dianugerahi Fullbright Travelling Scholarship, diikuti dengan John D. Rockefeller III Fellowship yang membolehkannya belajar serta berkarya di New York. | BUDAYA | Tokoh |
TALASEMIA | Talasemia ialah penyakit darah secara keturunan yang menyebabkan anemia. Penyakit ini terjadi terutamanya pada kanak-kanak yang keturunannya berasal dari kawasan Mediterranean. Talasemia juga terjadi pada orang Amerika kulit hitam dan sesetengah orang Asia dan Timur Tengah. Tubuh kanak-kanak yang menghidap talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi, iaitu pigmen yang memberikan warna merah pada sel darah. Hemoglobin juga membawa oksigen ke tisu tubuh. Kekurangan hemoglobin menyebabkan organ mangsa kekurangan oksigen yang diperlukan. Gejala talasemia wujud semasa kelahiran atau muncul kira-kira enam bulan kemudian. Gejala ini termasuk kulit pucat, keletihan, kerengsaan, selera terjejas, dan pertumbuhan terencat. Kanak-kanak yang terlibat mempunyai jantung, hati dan limpa yang membesar. Penyakit ini juga mencacatkan dan melemahkan tulang tertentu, khususnya tulang di bahagian muka. | UMUM | |
MOHAMMAD SANY ABDUL GHAFFAR, TAN SRI | MOHAMMAD SANY ABDUL GHAFFAR, Tan Sri (1926- ), Ketua Turus Angkatan Tentera yang keenam (1977-1981). Dia lahir pada 19 Januari 1926 di Kampung Pinang Baik, Selayang, Selangor. Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu hingga Darjah Lima dan pendidikan menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Persekolahannya terganggu akibat Perang Dunia Kedua pada tahun 1941. Semasa pendudukan Jepun, dia bekerja di Jabatan Pelajaran Jepun dan ditugaskan sebagai Penjaga Kutub Khanah Kuala Lumpur. Semasa berkhidmat dengan Jepun, dia memasuki Marai Koa Kun Rengho di Melaka selama enam bulan. Apabila British kembali memerintah Tanah Melayu, dia menyambung semula persekolahannya di Victoria Institution, Kuala Lumpur hingga memperoleh Senior Cambridge. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
BULAN BAHASA KEBANGSAAN | BULAN BAHASA KEBANGSAAN, kegiatan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat selama enam tahun yang bermula dari 1960 dan berakhir pada tahun 1966. Tujuan utama pelaksanaan BBK adalah untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama, dan adat resam. Usaha mengadakan BBK ini menunjukkan keazaman kerajaan untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. | BAHASA | Kegiatan |
PERSIDANGAN LOCARNO | Persidangan Locarno, menghasilkan Pakatan Keselamatan Rhineland dan enam perjanjian lain. Pada bulan Oktober 1925, perwakilan daripada tujuh buah negara Eropah bertemu di Locarno, Switzerland untuk membincangkan rancangan mengekalkan keamanan di Eropah. Belgium, Czechoslovakia, Perancis, Jerman, Britain, Itali dan Poland menghantar wakil ke persidangan tersebut. Masalah yang paling penting dalam persidangan ini adalah untuk mencari penyelesaian antara Perancis dengan Jerman. Selepas Perang Dunia I, pertama kali persidangan itu menerima Jerman sebagai sebuah negara sahabat. Apabila persidangan ini tamat pada 16 Oktober 1925, para perwakilan bersetuju menandatangani tujuh perjanjian. | UMUM | |
ANTONIUS, GEORGE | Antonius, George (1892–1942) ialah penulis dan aktivis politik Palestin. Pada bulan Januari 1939, dia dipilih sebagai salah seorang wakil bagi mewakili negara Arab dalam persidangan mengenai masa depan Palestin. Antonius kemudian dilantik sebagai setiausaha agung bagi perwakilan Arab. Persidangan yang diadakan di London itu berlangsung selama enam hari dan berakhir dengan jalan buntu. | UMUM | |
MONTENEGRO | Montenegro ialah salah sebuah daripada dua republik di Yugoslavia. Yang satu lagi ialah Serbia. Pada tahun 1918, Montenegro menjadi sebahagian daripada kerajaan Serb, Croat, dan Slovena yang kemudian dinamakan Yugoslavia. Pada tahun 1946, Yugoslavia disusun semula sebagai sebuah negara persekutuan yang terdiri daripada enam buah republik. Di antara bulan Jun 1991 dan bulan Mac 1992, empat daripadanya, iaitu Bosnia- Herzegovina (juga dinamakan Bosnia dan Hercegovina), Croatia, Macedonia dan Slovenia mengisytiharkan kemerdekaan mereka. Pada bulan April 1992, Montenegro bersatu dengan Serbia untuk membentuk sebuah negara Yugoslavia baru yang lebih kecil. | UMUM | |