MURDOCH, DAME IRIS | Murdoch, Dame Iris (1919–1999), novelis British yang terkenal dengan novel-novel falsafah. Watak dalam semua novelnya menghadapi kemelut moral yang hebat dalam mengejar erti cinta sejati dan kebebasan; serta sering terlibat dalam pergolakan cinta yang kompleks. Ada pengkritik mengatakan bahawa watak dalam novel Murdoch merupakan patung bagi membayangkan idea-idea falsafahnya. Sebaliknya, ada juga yang memuji khayalan fiksyennya kerana kebijaksanaan dan pandangan falsafah yang terkandung dalam novelnya. | UMUM | |
SOFIS | Sofis ialah ahli pergerakan pendidikan di negara kota Greece pada separuh kedua tahun 400-an S.M. Sofis ialah guru yang berpindah-randah sambil mengajar tatabahasa dan pidato umum, iaitu perkara yang penting bagi demokrasi zaman kuno seperti Athens. Mereka tidak berminat dalam bidang pemikiran falsafah tentang sifat fizikal alam semesta. Sebaliknya, mereka mengkritik amalan moral dan agama yang menjadi kelaziman serta memerikan kebaikan sebagai kejayaan di dunia. | UMUM | |
ADDISON, JOSEPH | Addison, Joseph (1672–1719), penulis dan ahli politik Inggeris. Dia paling terkenal kerana gandingannya dengan Sir Richard Steele, menulis dan menerbitkan The Spectator, yang mengandungi satu siri 555 esei popular yang diterbitkan pada tahun 1711 dan pada tahun 1712. Esei ini bertujuan memperbaik moral dan tatatertib, mempertingkat tahap kebudayaan pembaca daripada golongan kelas menengah, dan memperkenalkan idea sains dan falsafah yang penting. Kebanyakan esei ini mengandungi huraian mengenai perilaku dalam masyarakat, percintaan dan perkahwinan, dan sastera. | UMUM | |
KESUSASTERAAN RUSIA | Kesusasteraan Rusia meliputi beberapa buah karya agung terunggul yang pernah dihasilkan. Penulis Rusia menggunakan semua bentuk kesusasteraan, tetapi terkenal kerana novel dan puisi. Gaya penulisan, isi, dan penganalisisan watak yang tajam adalah antara sifat yang menjadikan karya Rusia antara yang terbaik. Karya Rusia yang paling dikenali memperlihatkan keprihatinan yang mendalam terhadap masalah moral, keagamaan, dan falsafah. | UMUM | |