Abu al-Faraj, al-Asfahaniy (284 H.–356 H./ 897 M.– 966 M.), tokoh sastera yang terkenal pada abad ketiga Hijrah dan berasal daripada keluarga Umawiyyah. Nama penuhnya ialah Abu al-Faraj Aliy ibn al-Husayn ibn Muhammad ibn Ahmad al- Asfahaniy. Dia lahir di Isfahan dan kemudian berpindah ke Baghdad untuk menetap di sana. Di Baghdad, Abu al-Faraj berguru dengan para alim ulama dalam bidang bahasa dan periwayatan seperti Abu Bakar ibn Darid, Abu Bakar ibn al- Anbariy, al-Fadl ibn al-Hibab al-Jumhiy, ‘Ali ibn Sulayman al-Akhfashiy, Naftawayh, Muhammad ibn Jarir al-Tabariy, Ahmad ibn Ja‘far, Jahzah dan beberapa orang perawi lagi. Abu al-Faraj mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk syair, lagu, cerita-cerita rakyat, hadith sahih, ilmu keturunan, bahasa, nahu, ilmu tentang amalan khurafat, ilmu peperangan dan sejarah. Dia juga menguasai ilmu yang berkaitan dengan deria dan cara perubatannya, ilmu kedoktoran, astronomi dan farmasi. Oleh sebab kemampuannya menguasai pelbagai bidang ilmu ini, dia layak digelar sebagai seorang pakar, fasilitator, ahli sejarah dan hafiz. |