FIZIK NUKLEAR | | UMUM | |
YUKAWA, HIDEKI | Yukawa, Hideki (1907–1981), ahli fizik Jepun yang menjadi masyhur kerana sumbangannya terhadap teori fizik nuklear. Dia menerima Hadiah Nobel pada bidang fizik pada tahun 1949. Dia ialah orang Jepun yang pertama memenangi anugerah sedemikian. Yukawa menerima anugerah tersebut kerana teori yang diusahakannya pada tahun 1935. | UMUM | |
STRASSMANN, FRITZ | Strassmann, Fritz (1902–1980) ialah ahli kimia Jerman. Usahanya bersama Otto Hahn, ahli kimia Jerman, dan Lise Meitner, ahli fizik nuklear Austria, membawa kepada penemuan pembelahan nuklear (pemecahan nukleus atom). Pada tahun 1938, Strassmann dan Hahn mendapati bahawa pembedilan atom urnium dengan neutron menghasilkan unsur barium (lihat Barium). Meitner dan Frisch, ahli fizik Austria, Otto Frisch pada tahun 1939, menjelaskan bahawa neutron telah membelah nukleus uranium, menghasilkan nukleus barium dan unsur-unsur lain. | UMUM | |
TELLER, EDWARD | Teller, Edward (1908–2003) ialah ahli sains atom Amerika yang terkemuka, yang sering dikenali sebagai bapa bom hidrogen. Usahanya dalam bidang fizik nuklear telah membawa kepada pembuatan bom-H pada tahun 1952. Teller lahir pada 15 Januari 1908 di Budapest, Hungary. Dia menerima ijazah kedoktoran dalam bidang fizik dari University of Leipzig, Jerman, pada tahun 1932. Dia menyertai projek bom atom masa perang di Amerika Syarikat pada tahun 1941. Dia bekerja dengan Makmal Kebangsaan Los Alamos (New Mexico) sehingga tahun 1952. Kemudian dia menyertai Lawrence Livermore Laboratory, iaitu pusat penyelidikan di Livermore, California, yang khusus untuk mereka bentuk senjata nuklear. Teller juga bertugas sebagai profesor fizik di University of California dari tahun 1953 hingga tahun 1975. Dia adalah pengarah makmal Livermore dari tahun 1958 hingga tahun 1960 dan pengarah bersekutu dari tahun 1972 hingga tahun 1975. | UMUM | |
MAKMAL KEBANGSAAN LOS ALAMOS | Makmal Kebangsaan Los Alamos, di Los Alamos, New Mexico, adalah salah sebuah institusi penyelidikan yang terkemuka di dunia. Institusi ini terlibat terutamanya dalam penyelidikan penggunaan sains dan teknologi untuk menangani masalah yang berkaitan dengan keselamatan negara Amerika Syarikat. Aktiviti di makmal ini termasuklah pembangunan kepala peledak nuklear, pengeluaran dan pengujian bahan nuklear, dan penciptaan reka bentuk senjata baharu. Makmal ini juga bertanggungjawab membangunkan teknologi yang dapat digunakan dalam pengesahan bahawa negara-negara lain mematuhi perjanjian mereka untuk mengawal pengeluaran senjata. Penyelidikan lain yang dilaksanakan oleh makmal ini tertumpu kepada bidang seperti fizik nuklear, pembekalan tenaga oleh Amerika Syarikat, dan pembuangan sisa nuklear. | UMUM | |
SZILARD, LEO | Szilard, Leo (1898–1964) ialah ahli fizik Amerika yang merintis usaha dalam pembangunan perkembangan tenaga nuklear. Bersama Enrico Fermi, dia merintis kaedah menyusun grafit dan uranium yang memungkinkan terciptanya reaktor nuklear pertama mapan kendiri pada tahun 1942. Pada bulan Julai 1939, Szilard dan Eugene Wigner mengunjungi Albert Einstein. Einstein kemudiannya menulis kepada Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt dan memulakan sokongan kerajaan terhadap tenaga nuklear, yang membawa kepada pembinaan bom nuklear. Szilard lahir di Budapest, Hungary. Dia menjadi warganegara Amerika Syarikat pada tahun 1943. Dia dan Wigner berkongsi Anugerah Atom untuk Perdamaian (Atoms for Peace Award) pada tahun 1959. | UMUM | |
NIER, ALFRED OTTO CARL | Nier, Alfred Otto Carl (1911–1994), ahli fizik Amerika yang mendapat pengiktirafan setelah menghasilkan spektrografi jisim dan penggunaannya dalam penyelidikan nuklear. Dia mengkhusus dalam kajian isotop (atom yang mempunyai unsur yang sama dengan berat atom yang berbeza) dan penentuan jisim yang tepat. | UMUM | |
TING, SAMUEL CHAO CHUNG | Ting, Samuel Chao Chung (1936– ) ialah ahli sains China kelahiran Amerika menerima anugerah Hadiah Nobel bagi bidang fizik pada tahun 1976. Dia berkongsi hadiah tersebut dengan Bruton Richter, juga seorang ahli sains Amerika. Hadiah berkenaan ialah kerana penemuan mereka tentang zarah nuklear asas yang dikenali sebagai psi atau zarah J. Ting, yang juga dikenali dengan nama Ding Zhaozhong, lahir di Michigan, Amerika Syarikat. Dia menghabiskan masa mudanya di tanah besar China dan Taiwan. Pada tahun 1967, dia menjadi profesor fizik di Massachusetts Institute of Technology. Kemudian dia bekerja di European Organization for Nuclear Research (CERN) di Geneva , Switzerland dan di University of Columbia, Amerika Syarikat. | UMUM | |
PITCHBLEND | Pitchblend ialah sejenis uranit, iaitu mineral yang terdiri daripada terutamanya uranium dan oksigen. Bijih ini mengandungi radioaktif yang sangat tinggi. Pada tahun 1898, ahli fizik Perancis Marie dan Pierre Curie mendapatkan radium, iaitu unsur nadir yang digunakan dalam perubatan dan sains fizikal, daripada pitchblend. Pitchblend adalah sumber utama uranium, yang digunakan untuk menghasilkan tenaga nuklear. | UMUM | |
TIUB FOTOPENDARAB | Tiub fotopendarab ialah suatu pengesan cahaya elektronik yang amat sensitif. Kebanyakan tiub fotopendarab lebih sensitif kepada cahaya berbanding mata manusia, dan digunakan untuk mengukur keamatan cahaya yang terlalu lemah. Misalnya, ahli fizik menggunakannya dalam pembilang kelipan untuk menyukat cahaya yang dikeluarkan oleh sinar kosmik, zarah nuklear, sinar gama, atau sinar-x. Lihat Sinaran [Pembilang kelipan]. | UMUM | |