FROS | | UMUM | |
SEJUK KAKI | Sejuk kaki ialah keadaan penyakit di bahagian bawah kaki yang berpunca daripada terlalu lama terdedah kepada sejuk lembap. Keadaan ini dialami oleh ramai askar yang bertempur di parit pelindung semasa Perang Dunia I (1914–1918). Ia menyerupai reput fros yang ringan hinggalah kepada yang sederhana. Reput fros terjadi akibat terdedah kepada keadaan sejuk kering. Askar, pekerja luar, dan pemburu selalu mengalami sejuk kaki. Ia perlu dirawat seperti reput fros, dengan membersihkan kaki, berehat dan mengembalikan peredaran darah. | UMUM | |
AIS | Ais ialah air yang beku. Suhu sejuk menyebabkan ais terbentuk di tasik dan sungai, dan di atas jalan dan laluan jalan kaki yang basah. Salji, hujan beku, fros, dan hujan air batu ialah ais, begitu juga glasier. Ais terjadi apabila suhu air tulen jatuh kepada 0°C. Suhu ini dikenali sebagai takat beku bagi air. Ia juga dirujuk sebagai titik ais, satu daripada dua titik tetap pada termometer. Air yang mengandungi bendasing, seperti alkohol, garam, atau gula, membeku pada suhu lebih rendah daripada air tulen. Bendasing yang sedemikian boleh ditambah pada air untuk mengelakkannya daripada membeku. Apabila bendasing dicampur pada ais, ia menyebabkan ais cair. | UMUM | |
TAKAT EMBUN | Takat embun ialah suhu apabila lembapan dalam udara mula terpeluwap. Takat embun sama ada lebih rendah daripada suhu udara atau sama dengan suhu udara apabila kelembapan relatif adalah 100 peratus. Embun terbentuk apabila lapisan udara yang nipis, yang bersentuhan dengan permukaan, disejukkan di bawah takat embun. Penyejukan udara ini menghasilkan embun di permukaan atau kabut di udara, apabila takat embun di atas takat beku. Jika suhu udara dan takat embun di bawah takat beku, fros terbentuk di permukaan, atau hablur ais terbentuk di udara. Kabut dan awan terbentuk apabila banyak udara disejukkan di bawah takat embun. Lihat juga Embun; Fros; Kabut; Kelembapan. | UMUM | |
RANGKA SEJUK | Rangka sejuk ialah struktur bak kotak yang dibina di atas tanah untuk melindungi tumbuhan semasa cuaca sejuk. Pekebun menggunakan rangka sejuk pada musim bunga untuk melindungi anak benih lembut yang telah bercambah sebelum permulaan musim tumbuh. Rangka sejuk juga melanjutkan musim tumbuh-tumbuhan pada musim luruh dengan melindunginya daripada fros. | UMUM | |
OATES, LAWRENCE EDWARD GRACE | Oates, Lawrence Edward Grace (1880–1912) ialah pegawai tentera British dan ahli ekspedisi British ke Antartika yang diketuai oleh Kapten Robert Falcon Scott. Dia menyertai ekspedisi itu pada tahun 1910 dan pada tahun 1912 menganggotai kumpulan kereta luncur salji yang sampai di Kutub Selatan. Dalam perjalanan pulang, dia diserang reput fros dan mengalami kesukaran untuk meneruskan perjalanan bersama-sama ahli lain. Dengan semangat kepahlawanan yang sanggup berkorban, dia terus berjalan sehingga menemui maut dalam ribut salji. Semasa meninggalkan khemahnya, dia berkata, “Saya mahu keluar; mungkin agak lama.” Oates lahir di London. Dia menyertai pasukan tentera dan berkhidmat di Afrika Selatan, Mesir, dan India. | UMUM | |
MISTRAL | Mistral adalah angin utara yang sejuk, kering, dan bertiup kencang dari barat Alps dan penara di selatan Perancis dan keluar ke Mediterranean. Udara yang berat dan sejuk dari tanah tinggi bergerak semakin laju apabila menghampiri udara yang lebih panas dan ringan di atas permukaan laut pada musim sejuk. Keadaan ini menyebabkan wujudnya angin kencang secara tiba-tiba, apabila angin sejuk turun ke aras laut dan angin panas bergerak ke atas. Mistral menyebabkan fros berlaku dan menyebabkan kerosakan tumbuhan. Keadaan ini tidak sesuai bagi ladang anggur di selatan Perancis. Angin mistral lazimnya bertiup selama 100 hari dalam setahun. | UMUM | |
ASAP | Asap terdiri daripada zarah pepejal dan cecair yang terbahagi kepada bahagian-bahagian kecil yang terampai di dalam gas. Asap terbentuk terutamanya daripada zarah karbon yang terhasil daripada pembakaran bahan api. Asap boleh membahayakan paru-paru. Asap juga menghitamkan bangunan, menghakis logam, dan merosakkan tumbuhan. Semua ini mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar. Asap mempunyai sedikit kegunaan. Ini termasuklah mengawet daging, menghasilkan isyarat tentera berwarna, dan melindungi dusun daripada kesan fros. | UMUM | |