| MEMBRAN | Membran ialah istilah yang digunakan untuk menerangkan lapisan tisu biologi yang menutupi permukaan dan yang memisahkan ruang pada organisma. Misalnya, membran sel menyediakan sempadan luar bagi sel dan membahagikan sel ke dalam petak fungsinya. Membran ini bertindak sebagai sekatan kepada laluan molekul untuk masuk dan keluar dari sel dan di antara petak (lihat Sel [Di dalam sel hidup]). | UMUM | |
| ANUBIS | Anubis adalah tuhan alam ghaib yang penting di kalangan orang Mesir purba. Pusat ibadatnya yang utama ialah di Kynopolis, yang bermaksud Bandar Anjing di Yunani. Oleh sebab anjing atau serigala merupakan haiwan sucinya, Anubis sering kali digambarkan sebagai anjing atau serigala yang sedang mendekam. Fungsinya dikaitkan dengan Osiris, ketua tuhan alam ghaib, dan Thoth, pembantu Osiris. Tugas Anubis ialah menghadiri upacara ritual mempersiapkan mayat, menimbang hati setiap orang dengan neraca keadilan, dan mengadili perbuatan baik dan jahat seseorang di dunia ini. Lihat juga Mitologi; Osiris; Thoth. | UMUM | |
| SPERMASETI | Spermaseti ialah bahan melekit yang didapati daripada kepala paus sperma yang sangat besar. Bluber paus sperma juga mengandungi bahan ini. Spermaseti digunakan sebagai bahan untuk membuat beberapa jenis salap dan krim muka. Ia pernah digunakan untuk membuat lilin. Spermaseti juga didapati daripada paus “berhidung-botol” dan paus raksasa “berhidung-botol”. Spermaseti mungkin mempunyai fungsi untuk paus, tetapi tiada siapa pun yang tahu apa fungsinya. Lihat juga Paus sperma. | UMUM | |
| STROK | Strok ialah kehilangan fungsi otak dengan tibatiba. Ia adalah kecemasan perubatan yang boleh menyebabkan kelumpuhan, kerosakan otak yang teruk, atau kematian. Kebanyakan strok berlaku apabila darah beku atau sesetengah bahan lain menyekat aliran darah ke otak, lalu mengganggu bekalan oksigen dan nutrien ke otak. Jika sekatan ini berlanjutan lebih daripada beberapa minit, kecacatan otak yang kekal mungkin berlaku. Strok juga mungkin berlaku apabila pembuluh darah pecah dan menyebabkan pendarahan ke dalam otak, atau ke dalam bendalir di sekeliling otak. Pendarahan mendatangkan tekanan yang merosakkan tisu otak, menyebabkan kehilangan fungsinya. | UMUM | |
| SIMPOSIUM DIALEK MELAYU | SIMPOSIUM DIALEK MELAYU, simposium tentang dialek atau bahasa daerah. Simposium ini diadakan pada 2 hingga 3 Disember 1981, anjuran Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Persatuan Linguistik Malaysia. Simposium ini diberi tajuk Simposium Dialek: Penyelidikan dan Pendidikan dan bertemakan Ke Arah Mengenal Dialek dan Fungsinya. Tema tersebut menjadi pilihan pihak penganjur kerana dialek atau bahasa daerah adalah penting dan tidak dapat sama sekali dipisahkan daripada kehidupan dan pergaulan sehari-hari masyarakat Melayu. | BAHASA | Kegiatan |
| SURUHANJAYA PILIHAN RAYA | Kapsyen : Mengundi sebagai satu simbol demokrasi SURUHANJAYA PILIHAN RAYA, sebuah badan atau agensi bebas bertaraf perlembagaan dan menjadi pengawas serta penyelia satu proses dalam sistem demokrasi. Suruhanjaya ini ditubuhkan mengikut perintah Perlembagaan Malaysia (Fasal 114). Dalam menjalankan tugasnya, suruhanjaya bukan saja harus bersikap dan bertindak berkecuali, saksama dan adil, tetapi harus kelihatan demikian, kerana sifat-sifat itu sendiri sudah menjadi sebahagian daripada lunas-lunas demokrasi. Dalam mentadbirkan dan menjalankan fungsinya, Suruhanjaya Pilihan Raya dibekalkan dengan kuasa-kuasa berkanun seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia (Bahagian VIII) serta Jadual Kedua Belas, akta-akta khusus, dan peraturan-peraturan terbitan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |