Shiraziy, Abu Ishaq al- (393–476 H. / 1003–1084M.), ahli fiqh, sejarawan dan juga sasterawan. Nama penuhnya ialah Ibrahim ibn ‘Ali ibn Yusuf al- Shiraziy al-Shafi’iyy Abu Ishaq. Dia lahir di Fayruz Abad dan menghabiskan zaman kanak-kanaknya di sana. Kemudian dia berhijrah ke Shiraz dan Basrah serta Baghdad. Dia berguru daripada ulama-ulama terkenal di sana seperti Abu ‘Abdullah al-Baydawiy, Abu Hatim al-Qazwiniy, al-Zujjaj, Abu Bakr al-Barqaniy dan Abu al-Tayyib al-Tabariy. Walau bagaimanapun berlaku sedikit perselisihan antaranya dengan al-Tabariy dalam pengajiannya. Ramai tokoh yang berguru padanya. Antaranya ialah Abu ‘Abdullah al-Hamidiy, Abu al-Qasim al- Samarqandiy dan Abu al-Hasan ibn ‘Abd al-Salam dan ramai lagi. Al-Shiraziy sendiri pernah berkata: “Semasa saya pergi ke Khurasan, di sana saya tidak temui walau seorang kadi, mufti mahupun khatib melainkan semuanya terdiri daripada murid-murid dan sahabat saya”. Al-Shiraziy mengarang beberapa buah buku yang menjadi bahan rujukan dalam mazhab Syafi’i. Antaranya seperti al-Tabsirat fi Usul al-Fiqh, al-Lam ’ fi Usul al-Fiqh’ al- Nakt fi al- Khilaf wa al-Tanbih’ al-Muhadhdhib Tabaqat al- Fuqaha’. Al-Shiraziy meninggal dunia di Baghdad. |