Taman Negara Yellowstone di Wyoming, Amerika Syarikat ialah taman negara yang tertua di dunia. Taman ini terkenal kerana terdapat banyak keajaiban semula jadinya. Taman ini mempunyai lebih banyak geiser dan kolam air panas daripada mana-mana tempat di dunia. Antara tarikan pemandangan yang menakjubkan di Yellowstone ialah ngarai yang dalam, air terjun yang menderam, tasik yang berkilauan, dan kawasan rimba yang sentiasa menghijau, saujana mata memandang, yang diselang-seli dengan padang rumput yang luas. Taman ini meliputi kawasan seluas 900 000 hektar. Yellowstone juga ialah hutan simpan hidupan yang terbesar di Amerika Syarikat. Beruang, rusa, dan kerbau liar, bebas merayau-rayau di taman itu, helang botak, angsa, dan burung undan putih bersarang di sana. |