STYX | Styx ialah sungai yang suram dalam Alam Ghaib dalam mitologi Yunani dan Rom. Styx ialah perkataan Yunani yang bermakna terkutuk. Charon, seorang pendayung sampan, sering kali diperihalkan sebagai pembawa roh orang yang telah mati menyeberangi Styx. Dewa-dewa mengangkat sumpah suci mereka atas nama sungai suram Styx ini. Jika mereka melanggar sumpah tersebut, mereka akan menerima hukuman dengan menghabiskan masa selama sembilan tahun di Tartarus, satu lubang yang dalam di Alam Ghaib. Sungai Styx dikatakan bermula sebagai air terjun di kawasan Yunani purba yang dikenali sebagai Arcadia. Airnya yang dikatakan beracun mengalir terjun ke dalam gaung yang dalam dan terus masuk ke Alam Ghaib. Lihat juga Charon; Hades; Tartarus. | UMUM | |
ANUBIS | Anubis adalah tuhan alam ghaib yang penting di kalangan orang Mesir purba. Pusat ibadatnya yang utama ialah di Kynopolis, yang bermaksud Bandar Anjing di Yunani. Oleh sebab anjing atau serigala merupakan haiwan sucinya, Anubis sering kali digambarkan sebagai anjing atau serigala yang sedang mendekam. Fungsinya dikaitkan dengan Osiris, ketua tuhan alam ghaib, dan Thoth, pembantu Osiris. Tugas Anubis ialah menghadiri upacara ritual mempersiapkan mayat, menimbang hati setiap orang dengan neraca keadilan, dan mengadili perbuatan baik dan jahat seseorang di dunia ini. Lihat juga Mitologi; Osiris; Thoth. | UMUM | |
LETHE | Lethe ialah satu daripada lima batang sungai di alam ghaib dalam mitologi Yunani dan Rom. Sungai-sungai ini bertindak sebagai sempadan antara alam nyata dengan alam kematian. | UMUM | |
OSIRIS | Osiris ialah dewa kesuburan orang Mesir yang menjadi ketua dewa alam ghaib. Dia biasanya digambarkan sebagai mumia manusia yang berjanggut dan berkulit hijau atau hitam. Dia memegang tongkat gembala berkelok dan cemeti serta memakai mahkota putih berbentuk kon dengan bulu burung unta terselit di kedua-dua belah sisinya. | UMUM | |
USULUDDIN | Ilmu yang membicarakan tentang akidah agama Islam yang berhubung dengan ketuhanan, kenabian dan perkara-perkara ghaib seperti hari kiamat, syurga, neraka, serta qada' dan qadar. | AGAMA | Disiplin Ilmu |
OKULTISME | Okultisme ialah istilah yang merujuk kepada pelbagai kepercayaan dan amalan yang melibatkan ilmu ghaib atau kuasa di luar dunia tabii. Okultisme meliputi ilmu nujum, tilik nasib, ilmu sihir, dan spiritualisme, iaitu kepercayaan bahawa roh orang mati berkomunikasi dengan orang yang hidup. Orang yang mempercayai okultisme menganggap bahawa ia berasaskan ilmu halus yang tidak dimiliki oleh orang biasa. | UMUM | |
PERAMALAN | Peramalan ialah amalan mencuba mengenal pasti peristiwa yang tidak diketahui melalui cara magik atau ghaib. Seorang peramal dianggap dapat mempelajari tentang masa lampau, masa kini, atau masa depan. Sesetengah peramal percaya mereka boleh tahu sebab-musabab berlakunya kejadian masa lalu, seperti penyakit atau kematian seseorang. Peramal lain, dikenali sebagai dowser, mendakwa mereka boleh menentukan tempat air berada di bawah tanah. Malah ada yang percaya mereka boleh meramalkan peristiwa, seperti bila seseorang akan meninggal dunia atau orang yang akan dikahwini oleh seseorang itu. | UMUM | |
SHAMAN | Shaman ialah seseorang yang dianggap memiliki kuasa tertentu yang didapati daripada hubungan terus dengan kuasa ghaib, biasanya dalam mimpi atau bersawai. Istilah ini berasal daripada perkataan Mongolia, tetapi manusia di banyak kawasan mempunyai Shaman yang dipercayai boleh menghalau roh jahat atau membawa kebaikan terutamanya dengan merawat penyakit. Shaman ditemui dalam kalangan orang Eskimo, Maori, Mongolia, Polinesia dan sebagainya. Orang Asli Amerika turut mempunyai kepercayaan yang sama (lihat Orang Asli Amerika [Orang Shaman ]). | UMUM | |
NATURALISME | Naturalisme, dalam kesusasteraan, ialah percubaan untuk menerapkan teori dan kaedah saintifik ke dalam penulisan imaginatif. Ahli alamiah memberi tumpuan kepada dunia fizikal untuk menyingkirkan benda ghaib. Naturalisme berkembang pada akhir tahun 1800-an dan awal tahun 1900-an, dan menjadi paling penting dalam novel dan drama. | UMUM | |
SEWANG | SEWANG, upacara amal yang bersifat kolektif yang diadakan oleh suku kaum Orang Asli daripada rumpun Senoi dan Semang sempena dengan sesuatu kejadian atau peristiwa penting dalam masyarakat berkenaan. Sewang berkait rapat dengan kepercayaan animistik suku kaum Senoi dan Semang tentang pentingnya manusia menjalinkan hubungan yang harmonis dengan makhluk ghaib demi menjamin kesejahteraan sosial dan rohaniah ahli masyarakat. Menurut kepercayaan mereka, sungguhpun makhluk ghaib itu boleh mengganggu dan menjejaskan keselamatan manusia, mereka juga dapat menolong manusia. Upacara sewang diadakan bertujuan untuk menjalinkan hubungan baik dengan makhluk-makhluk ghaib. Melalui sewang, orang Senoi dan Semang menyatakan yang mereka sentiasa mengingati, menghormati dan berterima kasih kepada makhluk ghaib, khususnya para ‘gunig’, atas bantuan dan perlindungan yang telah diberikan. | BUDAYA | Perayaan/Upacara |