MAHAVIRA | Mahavira (599?–527? S.M.) ialah guru agama Jainisme. Dia tinggal di India. Para pengikutnya percaya bahawa dia ialah anggota ke-24 daripada jurai guru yang agung. Mahavira menganjurkan sikap tidak berkeras dan mendesak para pengikutnya menunjukkan belas kasihan kepada semua makhluk, dan menjadi vegetarian supaya haiwan tidak dibunuh untuk makanan. | UMUM | |
SOFIS | Sofis ialah ahli pergerakan pendidikan di negara kota Greece pada separuh kedua tahun 400-an S.M. Sofis ialah guru yang berpindah-randah sambil mengajar tatabahasa dan pidato umum, iaitu perkara yang penting bagi demokrasi zaman kuno seperti Athens. Mereka tidak berminat dalam bidang pemikiran falsafah tentang sifat fizikal alam semesta. Sebaliknya, mereka mengkritik amalan moral dan agama yang menjadi kelaziman serta memerikan kebaikan sebagai kejayaan di dunia. | UMUM | |
ZAINAL ABIDIN S.M. | ZAINAL ABIDIN S.M. (1898-1960-an), pendidik dan ahli politik. Dia lahir pada bulan Oktober 1898 di Pulau Pinang. Nama seberanya ialah Sultan Maidin Zainal Abidin. Zainal Abdidin S.M. mengajar di Penang Free School. Di sekolah inilah dia mendapat pendidikan rendah dan menengahnya. Dia menjadi guru di sekolah ini selama 20 tahun dan mengajar mata pelajaran Ilmu Alam, Kesihatan, Bahasa Inggeris, Bahasa Latin, Bahasa Perancis, Bahasa Melayu dan Ilmu Hisab. Kemudian dia dilantik sebagai Guru Besar Sekolah St. Francis selama 10 tahun. Sebelum bersara pada bulan Julai 1953, dia bertugas sebagai nazir Sekolah-Sekolah Pulau Pinang selama lima tahun. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
POERWADARMINTA W.J.S. | POERWADARMINTA W.J.S. (1903-1968), penyusun kamus Indonesia. Dia lahir pada 20 Julai 1903 di Yogyakarta, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Welfridus Joseph Sabariah Poerwadarminta. Dia pernah menggunakan sama samaran seperti Ajirabas, Semplak dan Sabariya. Poerwadarminta mendapat pendidikan di Hollandsch Inlandsche School (HIS) Sore, Normaalschool Missie di Muntilan dan Ambarawa pada tahun 1925. Walau bagaimanapun, dia banyak mendapat pengetahuan selepas tamat belajar di Normaalschool dan pada ketika dia bekerja sebagai guru. Poerwadarminta dapat menguasai bahasa Jepun, Belanda, Inggeris dan Jerman dengan baik. Bahasa tersebut dipelajarinya daripada Dr. van Rijkevorsel dan Dr. C. Coxs. | BAHASA | Tokoh |
NOOR S.M. | NOOR S.M. (1939 - ), penyair. Dia lahir pada 2 Disember 1939 di Masjid Tanah, Melaka. Nama sebenarnya ialah Sabtu bin Manap. Dia mendapat pendidikan sekolah rendah di Masjid Tanah sehingga tamat Darjah Tujuh pada tahun 1954. Selepas beberapa bulan, Noor S.M. dilantik sebagai guru pelatih. Kemudian dia meneruskan pengajiannya di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, Perak (1955 – 1957) dan setelah tamat dia bertugas sebagai pendidik di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Melaka. Dia belajar secara persendirian sehingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1964 dan dia pernah mengikuti kuliah bertulis dari Universitas Nasional Indonesia tetapi tidak selesai. | SASTERA | Tokoh |
BOEN S. OEMARJATI | BOEN S. OEMARJATI (1940- ), pengkaji kesusasteraan Indonesia. Dia lahir pada 11 Disember 1940 di Jakarta, Indonesia. Dia dibesarkan di tengah-tengah keluarga intelektual yang sangat terhormat di Indonesia. Ayahnya, Slamet Imam Santoso, bekas guru besar di Universitas Indonesia, juga terkenal sebagai budayawan dan pemikir pendidikan. Boen tamat pendidikan dasar, menengah, dan tinggi di Jakarta. Meskipun di Sekolah Menengah Atas (SMA) dia memilih bidang sains, pada peringkat perguruan tinggi dia memperdalam ilmunya dalam bidang sastera Indonesia. | SASTERA | Tokoh |
MORISON, SAMUEL ELIOT | Morison, Samuel Eliot (1887–1976) ialah ahli sejarah Amerika, guru sejarah, dan pemenang dua Hadiah Pulitzer. Bukunya Admiral of the Ocean Sea, tentang riwayat hidup Columbus, memenangi hadiah tersebut pada tahun 1943, dan bukunya John Paul Jones menerima hadiah pada tahun 1960. Buku-bukunya yang lain termasuklah History of United States Naval Operations in World War II yang ditulis dalam 15 jilid (1947– 1962), The Intellectual Life of Colonial New England (1960), One Boy’s Boston (1962), The Oxford History of the American People (1965), The European Discovery of America: The Northern Voyages (1971) dan The European Discovery of America: The Southern Voyages (1974). | UMUM | |
NUFAYR IBN MALIK | Nufayr ibn Malik (?–80 H./?–699 M.) ulama hadith. Nama sebenarnya ialah al-Imam al-Kabir Nufayr ibn Malik ibn Amir Abu Abd al-Rahman al- Hadramiy al-Himsiy. Dia sempat mengenali Rasulullah s.a.w. dan mengunjungi Baginda seperti yang disebut oleh Ibn al-Athir. Dia meriwayatkan hadith daripada Abu Bakar (dipercayai kemungkinan dia pernah berjumpa dengan Abu Bakar), ‘Umar, al-Miqdad, Abu Dhar, Abu Darda, Aishah dan sahabat-sahabat lain. Hadith-hadith Nufayr ibn Malik diriwayatkan pula oleh anaknya Abd al-Rahman, Makhul, Khalid ibn Mi dan beberapa orang lagi. Dia tergolong dalam kalangan ulama hadith yang pakar. Hadithnya terdapat dalam semua kitab hadith kecuali kitab Sahih al-Bukhariy . Ini adalah kerana Nufayr ibn Malik meriwayatkan hadith daripada sahabat-sahabat tanpa berjumpa dengan mereka, sedangkan al-Bukhariy tidak menerima sesuatu hadith kecuali guru yang meriwayatkan hadith berjumpa sendiri dengan perawinya. Nufayar ibn Malik dikatakan meninggal dunia pada tahun 75 H. | UMUM | |
OWEN, GORONWY | Owen, Goronwy (1728–1769?) ialah penyair dan paderi Wales. Dia paling diingati kerana puisinya yang berirama cywydd orang Wales (sejenis oda). Puisi ini menunjukkan kepakaran Owen dalam bahasa Wales dan keaslian gayanya. Karyanya yang paling dikenali ialah tulisan awalnya Calendr Y Carwr (The Lover’s Calendar) dan Cywydd Y Farn Fawr (Ode on the Last Judgement). Owen lahir di Rhos Fawr, Anglesey, Wales. Dia memasuki Oxford University dan berkhidmat sebagai pembantu paderi dan guru besar di Shropshire dan London. Owen mengajar di Williamsburg, di Virginia, Amerika Syarikat dari tahun 1760 sehingga kematiannya. | UMUM | |
MAKTAB PERGURUAN PEREMPUAN MELAYU MELAKA | MAKTAB PERGURUAN PEREMPUAN MELAYU MELAKA, maktab latihan perguruan bagi guru wanita yang pertama di Malaysia. Maktab ini dibuka secara rasmi pada 31 Januari 1935 dengan nama The Malay Women’s Training College (MWTC). Maktab ini terletak di kawasan kampus seluas 17 hektar di Jalan Tun Fatimah, Durian Daun, Melaka. Kerajaan kolonial memilih Melaka kerana sifat historikal dan kedudukannya yang strategi. Di samping itu terdapat sebuah bangunan hospital yang telah dikosongkan dan diubahsuai untuk dijadikan maktab tanpa perbelanjaan yang besar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |