J.E. TATENGKENG | J.E. TATENGKENG (1907-1968), penyair Indonesia. Dia lahir pada 19 Oktober 1907 di Kolongan, Sangiha (Sangir), Sulawesi, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Jan Engelbert Tatengkeng. J.E. Tatengkeng mendapat pendidikan di Hollandsche Inlandsche School (HIS) Manganitu, Christalijk Middagkwakschool Bandung dan Christalijik HKS Solo. Dia pernah menjadi guru bahasa Indonesia, Guru Besar Schakelschool Ulu-Siau, Guru Besar HIS Tahuna dan pengajar di Fakultas Sastra, Universitas Hasanuddin, Makasar. | SASTERA | Tokoh |
KAMUS MODEREN BAHASA INDONESIA | KAMUS MODEREN BAHASA INDONESIA, kamus ekabahasa: Indonesia-Indonesia, disusun oleh Sutan Mohammad Zain, Guru Besar Universitas Nasional di Jakarta, dan diterbitkan oleh Penerbit Grafica Jakarta tanpa menyebut tarikh penerbitannya. Kamus ini mempunyai 896 halaman dan berukuran 20.5 cm x 14.5 cm. Isi kandungannya padat, bahasanya ringkas tetapi jelas. | BAHASA | Penerbitan |
PESANTREN TEBUIRENG | PESANTREN TEBUIRENG, pesantren moden di Jombang, Jawa Timur, Indonesia. Pesantren ini terletak di desa Cukir, lebih kurang 8 km sebelah tenggara kota Jombang. Pesantren ini adalah lembaga pendidikan Islam yang didirikan pada tahun 1899 oleh Kiai Haji Muhammad Hashim Asyhari, seorang ulama (1871-1947) yang kemudian digelar Hadratus Syekh (Tuan Guru Besar). | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
OWEN, GORONWY | Owen, Goronwy (1728–1769?) ialah penyair dan paderi Wales. Dia paling diingati kerana puisinya yang berirama cywydd orang Wales (sejenis oda). Puisi ini menunjukkan kepakaran Owen dalam bahasa Wales dan keaslian gayanya. Karyanya yang paling dikenali ialah tulisan awalnya Calendr Y Carwr (The Lover’s Calendar) dan Cywydd Y Farn Fawr (Ode on the Last Judgement). Owen lahir di Rhos Fawr, Anglesey, Wales. Dia memasuki Oxford University dan berkhidmat sebagai pembantu paderi dan guru besar di Shropshire dan London. Owen mengajar di Williamsburg, di Virginia, Amerika Syarikat dari tahun 1760 sehingga kematiannya. | UMUM | |
BOEN S. OEMARJATI | BOEN S. OEMARJATI (1940- ), pengkaji kesusasteraan Indonesia. Dia lahir pada 11 Disember 1940 di Jakarta, Indonesia. Dia dibesarkan di tengah-tengah keluarga intelektual yang sangat terhormat di Indonesia. Ayahnya, Slamet Imam Santoso, bekas guru besar di Universitas Indonesia, juga terkenal sebagai budayawan dan pemikir pendidikan. Boen tamat pendidikan dasar, menengah, dan tinggi di Jakarta. Meskipun di Sekolah Menengah Atas (SMA) dia memilih bidang sains, pada peringkat perguruan tinggi dia memperdalam ilmunya dalam bidang sastera Indonesia. | SASTERA | Tokoh |
SIKHISME | Sikhisme ialah salah satu agama di India. Penganutnya menggelarkan diri mereka Sikh, yang bermaksud pengikut. Orang Sikh mengikuti ajaran 10 guru (guru kerohanian). Kitab suci orang Sikh, Guru Granth Sahib (Kitab Yang Dihormati) atau Adi Granth (Buku Pertama), mengandungi ajaran beberapa orang guru Sikh yang lain. Kira-kira 14 juta orang Sikh tinggal di India, iaitu sebahagian besar daripada mereka tinggal di bahagian utara Punjab. | UMUM | |
SEKOLAH MELAYU PRINCES' ROAD | SEKOLAH MELAYU PRINCES’ ROAD, antara sekolah Melayu lelaki yang tetua di Selangor. Sekolah ini mula dibina pada tahun 1938 dalam kawasan lebih kurang 3 hektar di Princes’ Road (kini Jalan Raja Muda Abdul Aziz) Kuala Lumpur. Sekolah ini mula dibuka pada 15 Mei 1939 dan guru besar pertamanya ialah Encik Abdul Manan Dato’ Betuah. Kini, sekolah ini mempunyai empat blok termasuk kantin dan lapan unit rumah kediaman guru. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
ZAINAL ABIDIN S.M. | ZAINAL ABIDIN S.M. (1898-1960-an), pendidik dan ahli politik. Dia lahir pada bulan Oktober 1898 di Pulau Pinang. Nama seberanya ialah Sultan Maidin Zainal Abidin. Zainal Abdidin S.M. mengajar di Penang Free School. Di sekolah inilah dia mendapat pendidikan rendah dan menengahnya. Dia menjadi guru di sekolah ini selama 20 tahun dan mengajar mata pelajaran Ilmu Alam, Kesihatan, Bahasa Inggeris, Bahasa Latin, Bahasa Perancis, Bahasa Melayu dan Ilmu Hisab. Kemudian dia dilantik sebagai Guru Besar Sekolah St. Francis selama 10 tahun. Sebelum bersara pada bulan Julai 1953, dia bertugas sebagai nazir Sekolah-Sekolah Pulau Pinang selama lima tahun. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
UMAR KAYAM | UMAR KAYAM (1932- ), budayawan dan penulis Indonesia. Dia lahir pada 30 April 1932 di Ngawi, Jawa Tengah, Indonesia. Dia mendapat pendidikan tinggi di Universitas Gadjah Mada sebelum menyambung pada peringkat sarjana di New York dan pada peringkat Doktor Falsafah di Cornell (1965). Setelah menamatkan pengajiannya di Amerika Syarikat, dia kembali ke Indonesia dan menjadi Direktor Jenderal Radio, Televisi dan Film Departemen Penerangan Republik Indonesia (1966-1969). Dari tahun 1969 hingga tahun 1972, dia menjadi Ketua Dewan Kesenian Jakarta dan Rektor Lembaga Pendidikan Kesenian Jakarta. Dari tahun 1975 hingga tahun 1976, dia menjadi Direktor Pusat Latihan Ilmu-ilmu Sosial Universitas Hasanuddin. Kini, dia menjadi Kepala Pusat Penelitian Kebudayaan Universitas Gadjah Mada, dan Guru Besar di Fakultas Sastera di universiti tersebut. | SASTERA | Tokoh |
ABU NU‘AYM AL-ASBAHANIY | Abu Nu‘aym al-Asbahaniy (336 H.–430 H./948 M.–1038 M.), penghafaz hadith, ahli sejarah dan ulama besar dalam bidang hadith yang diiktiraf oleh ramai guru. Nama sebenarnya ialah Ahmad ibn ‘Abdullah ibn Ahmad al-Mihraniy al-Asbahaniy. Dia sering bersendirian dalam usaha mendapatkan ijazah daripada gurunya sebagaimana dia bersendirian dalam mencari ilmu daripada para ulama. Ramai penghafaz hadith datang mencarinya untuk mendapatkan hadith kerana keilmuannya, kuat penjagaannya terhadap hadith dan ketinggian sanad-sanadnya. Ibn Mardawayh berkata “Tidak ada orang yang lebih tinggi hafalan serta ilmu sanad hadith selain daripadanya”. Antara karya hasil karangan Abu Nu‘aym al-Asbahaniy ialah: Hilyah al- Awliya’; al-Mustakhraj ‘ala al-Bukhariy; al-Mustakhraj ‘ala Muslim; Dala’il al-Nubuwwah; Ma‘rifah al- Sahabah; Tarikh Asbahan; Fada’il al-Sahabah; Sifat al- Hibnah wa al-Tibb dan al-Mu‘taqid . Abu Nu‘aym al- Asbahaniy hidup selama 94 tahun. | UMUM | |