SYARIKAT BERHAD | Syarikat berhad ialah pertubuhan perniagaan dengan setiap pemegang saham hanya bertanggungjawab terhadap saham yang dipegangnya. Sekiranya syarikat berhutang, orang yang memegang saham hanya akan hilang wang yang dilaburkan untuk membeli saham tersebut. Pihak pemiutang tidak boleh menyaman pelabur tersebut untuk mendapatkan kembali wang yang dihutang oleh syarikat berkenaan. Di Great Britain, dan banyak negara yang lain, perkataan Berhad (Bhd.) atau Limited (Ltd.) dalam bahasa Inggeris atau singkatan plc (“public limited company” atau syarikat awam berhad) yang digunakan selepas nama sesebuah syarikat menunjukkan bahawa tanggungan pelabur di dalam syarikat tersebut adalah terhad ke atas jumlah wang yang telah dilaburkan. | UMUM | |
TELEFON KUASA-BUNYI | Telefon kuasa-bunyi ialah peranti komunikasi yang beroperasi hanya dengan kuasa bunyi yang bergerak melaluinya. Telefon dan kebanyakan sistem telekomunikasi yang lain beroperasi dengan kuasa elektrik yang dibekalkan oleh bateri atau talian elektrik. Walau bagaimanapun, telefon kuasa-bunyi tidak mempunyai sumber kuasa luar selain yang dibekalkan oleh gelombang bunyi. Telefon kuasa-bunyi hanya dapat beroperasi pada jarak dekat, biasanya tidak melebihi 25 kilometer. Oleh sebab tiada penguat digunakan, penutur mesti bercakap dekat dengan telefon dan dengan suara yang kuat. Walau bagaimanapun, telefon kuasa-bunyi mempunyai kebaikan dari segi daya tahan, boleh diharap, dan menjimatkan. | UMUM | |
AMERIKA SYARIKAT | Amerika Syarikat ialah negara yang ketiga terbesar di dunia dari segi jumlah penduduk dan yang keempat terbesar dari segi luas kawasan. Hanya China dan India mempunyai jumlah penduduk yang lebih ramai daripada Amerika Syarikat. Hanya Rusia, Kanada dan China mempunyai kawasan yang lebih luas daripada Amerika Syarikat. Amerika Syarikat meliputi keseluruhan bahagian tengah Amerika Utara. Negara ini bermula dari Lautan Atlantik di timur hingga ke Lautan Pasifik di barat. Amerika Syarikat termasuklah Alaska yang terletak di barat laut Amerika Utara, dan Hawaii yang terletak jauh di Lautan Pasifik. Dalam bahasa Inggeris, Amerika Syarikat sering dikenali sebagai U.S ., U.S.A ., atau America . | UMUM | |
PLATIPUS | Platipus ialah satu daripada hanya dua mamalia yang membiak dengan bertelur. Satu lagi mamalia yang bertelur ialah ekidna atau tenggiling berduri. Platipus juga sering dikenali sebagai paruh itik kerana mempunyai muncung yang lebar, leper, dan tidak berbulu yang menyerupai paruh itik. | UMUM | |
UNSUR | Bahan paling ringkas yang mengandungi hanya satu jenis atom atau yang terdiri daripada atom yang sama jenis. | KIMIA | Konsep |
MENANDER | Menander (342?–291? S.M.) ialah penulis drama Yunani yang mengarang lebih 100 buah komedi. Karyanya hanya diketahui melalui fragmen lakonannya, adaptasi plotnya oleh penulis drama Rom, Plautus, dan Terence dan satu-satunya lakonan lengkap Dyscolos. Drama ini, yang mula-mula dipentaskan pada tahun 315 S.M., hanya dijumpai semula pada tahun 1959. | UMUM | |
MOLEKUL | Molekul adalah satu daripada unit asas jirim. Molekul ialah unsur terkecil sesuatu bahan dapat dibahagikan dan masih mempunyai sifat-sifat kimia bahan asal. Jika bahan ini dibahagikan lagi, hanya atom unsur kimia yang tinggal. Contohnya, setitis air mengandungi berbilion-bilion molekul air. Jika titisan ini boleh dibahagikan sehingga hanya satu molekul air yang tinggal, titisan yang terakhir ini masih mempunyai kesemua sifat kimia air. Tetapi, jika satu molekul air ini dibahagikan, hanya atom unsur hidrogen dan oksigen yang tinggal. | UMUM | |
AUTOKRASI | Autokrasi ialah bentuk kerajaan yang hanya seorang memegang kuasa tertinggi. Pemegang kuasa ini tidak boleh disekat, menurut undang- undang, oleh mana-mana institusi atau kumpulan rakyat daripada melakukan apa yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun, beberapa pemimpin telah menggunakan pertanggungjawaban umum dan pilihan raya untuk menyembunyikan sikap autokrasi mereka. | UMUM | |
MONOREL | Monorel ialah landasan kereta api yang hanya mempunyai satu landasan. Gerabak monorel bergerak di sepanjang landasan sama ada di atas atau di bawah. Gerabak yang di atas landasan mempunyai alat giroskop untuk mengimbangi atau memandu roda yang mencengkam sisi landasan untuk menahan gerabak daripada terbalik. (Lihat Giroskop). | UMUM | |
NAFTA | Nafta ialah mana-mana cecair yang hanya terdiri daripada atom hidrogen dan karbon yang mendidih di bawah 200°C. Nafta yang diperoleh semasa penapisan petroleum dicampurkan untuk membuat petrol. Sesetengah jenis nafta digunakan untuk melarutkan getah dan untuk mencairkan cat dan varnis. Yang lain digunakan sebagai bahan pembersih dan sebagai bahan dalam pembuatan gas artifisial. Nafta boleh dihasilkan apabila tar batu arang, iaitu bahan melekit yang dibuat daripada batu arang lembut disuling. Nafta tar batu arang digunakan sebagai bahan pelarut dan dalam pembuatan rebin sintetik (artifisial). Nafta tulen mudah meletup apabila terdedah kepada api. | UMUM | |