S O S | S O S ialah isyarat meminta pertolongan yang diterima dari kapal yang berada dalam kecemasan. Huruf ini tidak membawa makna tertentu dan dipilih hanya kerana huruf ini merupakan huruf paling mudah dihantar melalui wayarles. Ia terdiri daripada tiga titik, tiga sempang, dan tiga titik. | UMUM | |
SAND, GEORGE | Sand, George (1804–1876) ialah nama pena Amantine-Aurore-Lucile Dupin, seorang penulis wanita Perancis pada tahun 1800-an. Karyanya dikagumi oleh para penulis agung zamannya. Tulisan Sand sudah tidak lagi disukai selepas dia meninggal dunia dan dia dikenang hanya kerana cara hidupnya serta percintaannya yang mengejutkan dengan penggubah Frédérick Chopin dan penyair Alfred de Musset. Dia melanggar tatasusila sosial dengan menghisap cerut dan memakai pakaian lelaki. Semenjak gerakan wanita muncul pada pertengahan tahun 1900- an, karya Sand telah dijumpai semula dan dia menarik perhatian yang kritis sebagai novelis dan penulis autobiografi. | UMUM | |
SANDERLING | Sanderling ialah burung yang tergolong dalam famili yang sama dengan berkek dan kedidi. Ia berbeza daripada burung-burung ini kerana ia hanya mempunyai tiga jari kaki. Sanderling membiak di pantai Artik dan tundra dan mengembara ke selatan pada musim sejuk. | UMUM | |
SURAH YUSUF | Surah Yusuf ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-12 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 112 ayat. Surah ini dinamakan Yusuf kerana ia hanya menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf ibn Ya‘kub a.s. dan segala ujian yang dihadapi oleh baginda. | UMUM | |
ANAI-ANAI | Anai-anai ialah nama biasa bagi kumpulan serangga yang hidup dalam komuniti seperti semut. Ia telah lama dikenali sebagai semut putih. Nama ini tidak betul kerana anai-anai hanya sama dengan semut dari segi tabiat hidup bersama dan saiznya yang kecil. Sebenarnya, anai-anai lebih rapat berkaitan dengan lipas dan belalang. Bahagian-bahagian mulut, sesungut, pinggang yang besar, sayap primitif dan ciri-ciri lainnya sama seperti yang ada pada lipas. Semut mempunyai pinggang yang kecil dan sesungut bersiku. | UMUM | |
SAPSUCKER | Sapsucker adalah satu daripada sekumpulan burung dalam famili belatuk. Ia hanya tinggal di Amerika Utara. Burung ini dinamakan sapsucker kerana sebahagian daripada dietnya ialah sap daripada pokok. Ia memperoleh sap ini dengan membuat lubang kecil yang dinamakan perigi pada kulit pokok. Ia juga memakan serangga yang tertarik kepada sap, memakan semut dan buah liar. Sapsucker yang biasa didapati di timur Amerika Syarikat ialah sapsucker perut kuning . Burung jantannya mempunyai jambul dan leher berwarna merah marak (skarlet) dan bahagian atas berwarna hitam dengan tanda-tanda putih. Pada musim sejuk sapsucker terbang ke selatan sejauh Amerika Tengah. Ia bertelur dalam lubang di pokok. Burung betina bertelur tiga hingga tujuh biji telur berwarna putih bersih. Sapsucker dada merah barat tinggal di Pantai Pasifik. Burung dewasa kedua-dua jantina mempunyai jambul, leher dan dadanya, berwarna merah. Sapsucker mempunyai tabiat yang hampir sama dengan burung belatuk tetapi kadangkala ia merosakkan pokok. | UMUM | |
PERCERAIAN | Perceraian ialah mengakhiri perkahwinan secara sah. Undang-undang bagi kebanyakan bangsa membenarkan perceraian hanya dalam keadaan tertentu. Perceraian dilarang keras kerana ia memecahkan sesebuah keluarga, yang merupakan unit asas masyarakat. Beberapa negara, termasuk Ireland dan Filipina, yang agama Roman Katolik merupakan agama yang utama, melarang perceraian. | UMUM | |
PLATIPUS | Platipus ialah satu daripada hanya dua mamalia yang membiak dengan bertelur. Satu lagi mamalia yang bertelur ialah ekidna atau tenggiling berduri. Platipus juga sering dikenali sebagai paruh itik kerana mempunyai muncung yang lebar, leper, dan tidak berbulu yang menyerupai paruh itik. | UMUM | |
SELVON, SAMUEL | Selvon, Samuel (1923– ) ialah penulis Caribbean yang menjadi terkenal kerana menghasilkan gambaran tragikomik tentang golongan miskin dan terbuang di Trinidad dan United Kingdom. Karyanya menerokai kehidupan mereka yang meninggalkan Caribbean untuk masa depan yang lebih cerah di United Kingdom, tetapi mereka hanya menghadapi prejudis, pemulauan, dan eksploitasi. | UMUM | |
NIOBE | Niobe ialah permaisuri dalam mitologi Yunani yang terkenal kerana perkabungannya yang abadi atas kematian anak-anaknya. Niobe adalah anak Raja Tantalus dan Permaisuri Dione, dan berkahwin dengan Amphion, Raja Thebes. Dia bermegah mengatakan disebabkan enam atau tujuh anak lelakinya yang gagah dan enam atau tujuh anak perempuan yang cantik-cantik, dia berhak dimuliakan lebih daripada dewi Leto, yang hanya mempunyai dua orang anak, Apollo dan Artemis. Leto yang marah memerintahkan Apollo dan Artemis membunuh anak-anak Niobe menggunakan panah. Niobe sangat berdukacita dan menangisi kematian anak-anaknya tanpa henti. Dewa yang kasihan dengan keadaannya telah menukarkannya menjadi batu yang mengeluarkan air seperti air mata. Menurut sejarah, batu yang mempunyai air terjun di bawahnya terletak di Gunung Sipylon di tempat yang kini ialah Turki. | UMUM | |