OLYMPIAS | Olympias (375 S.M.–316 S.M.) ialah isteri Philip II dari Macedonia, dan ibu Iskandar Agung. Wanita yang angkuh dan terlalu mengikut perasaan ini banyak mempengaruhi Iskandar. | UMUM | |
KOTA BHARU | Kota Bharu (pend. 300 000), ibu negeri Kelantan semenjak pemerintah Sultan Muhammad II (Sultan Mulut Merah) yang memerintah Kelantan dari tahun 1839 hingga tahun 1886. Bandar ini terletak di pinggir Sungai Kelantan. | UMUM | |
PRAGUE | Prague (pend. 1 189 828) ialah ibu negara dan bandar raya terbesar di Republik Czech, dan pusat kebudayaan, dan ilmu pengetahuan yang penting. Prague, yang dikenali sebagai Praha dalam bahasa Czech, merupakan salah sebuah bandar yang tertua dan paling indah di tengah Eropah. Ia terletak di Sungai Vltava di bahagian tengah negara itu (lihat Republik Czech [ peta]). Prague juga dikenali sebagai “Kota Seribu Menara” kerana terdapat banyak gereja. Bandar raya ini merupakan salah sebuah daripada beberapa bandar di tengah Eropah yang terselamat daripada kerosakan besar dalam Perang Dunia II (1939–1945). | UMUM | |
THUTMOSE III | Thutmose III (memerintah dari tahun 1490 S.M.– 1436 S.M.), dianggap sebagai antara firaun terulung zaman Mesir purba. Dia juga dikenal sebagai Thothmes III. Thutmose menggantikan ayahnya, Thutmose II, tetapi telah diketepikan oleh ibu tirinya, Ratu Hatshepsut. Selepas kematian Hatshepsut, Thutmose III memerintahkan supaya nama ibu tirinya dipadamkan daripada semua tugu dan patung. | UMUM | |
PERSIDANGAN TEHRAN | Persidangan Tehran ialah mesyuarat pertama pemimpin utama negara Berikat semasa Perang Dunia II. Pemimpin-pemimpin ini dikenali sebagai Tiga Kuasa Besar, iaitu Perdana Menteri Great Britain , Winston Churchill; Presiden Amerika Syarikat, Franklin Delano Roosevelt; dan Perdana Menteri Kesatuan Soviet, Joseph Stalin. Mesyuarat ini juga ialah persidangan kemuncak yang pertama melibatkan ketua-ketua Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat. Persidangan ini diadakan dari 28 November hingga 1 Disember 1943, di Tehran, ibu negara Iran. | UMUM | |
MUHAMMAD AL-FATIH | Muhammad al-Fatih (833 H.– 886 H., /1429 M.– 1481 M.), sultan kerajaan Uthmaniyyah, iaitu putera Sultan Murad II. Pada tahun 855 H. (1451 M.), baginda menaiki takhta menggantikan ayahandanya. Baginda boleh bertutur dalam bahasa Parsi, Arab, Yunani, Salafi dan menjadi pembantu dalam mengembangkan ilmu Islam. Baginda dikunjungi oleh para ulama, sasterawan, penyair dan menganugerahkan sebaik-baik penghargaan kepada mereka. Ayahandanya mewasiatkan agar membuka kota Constantinople, lalu baginda berusaha merealitikan cita-cita ayahandanya dan berjaya membuka kota itu pada tahun 857 H./1453 M. Dengan itu, baginda dikenali sebagai (al-Fatih (pembuka)) kerana berjaya membuka kota Constantinople iaitu ibu kota kerajaan Byzantine. Baginda menamakan Islambul yang bererti bandar Islam dalam bahasa Turki. | UMUM | |
SCAPA FLOW | Scapa Flow ialah lembangan laut yang dikelilingi oleh Kepulauan Orkney, di utara Scotland. Panjangnya ialah 24 kilometer dan lebarnya 13 kilometer. Scapa Flow menjadi ibu pejabat skuadron Armada Utama British semasa Perang Dunia I. Pada 21 Jun 1919, tentera laut Jerman yang kalah membocorkan dan menenggelamkan kapal yang masih berada di lembangan itu. Ketika Perang Dunia II, kapal selam Jerman menenggelamkan kapal perang British, Royal Oak , semasa melabuhkan sauhnya di Scapa Flow. Pada tahun 1970-an dan tahun 1980-an, Scapa Flow menjadi terminal penting untuk saluran paip minyak dari Laut Utara. Lihat juga Orkney. | UMUM | |
ATWOOD, MARGARET | Atwood, Margaret (1939– ), penyair, penulis novel dan pengkritik Kanada. Atwood mula dikenali melalui bukunya The Circle Game (1966). Buku sajaknya yang lain termasuk The Journals of Susanna Moodie (1970), sebuah biografi mengenai seorang penulis Kanada; Power Politics (1971), sebuah kajian mengenai had-had antara hubungan lelaki dengan perempuan; dan Two-Headed Poem (1978), yang mengandungi sajak-sajak mengenai seorang ibu dan anaknya. Buku Selected Poems diterbitkan pada tahun 1978 dan Selected Poems II pada tahun 1986. | UMUM | |
MOTINGGO BOESJE | MOTINGGO BOESJE (1937- ), penulis Indonesia. Dia lahir pada 28 September 1936 di Kupangkota, Lampung, Sumatera Selatan, Indonesia. Dia mendapat pendidikan awal di sekolah dasar dan Sekolah Menengah Pertama (SMP) di Teluk Betung. Dia meneruskan pendidikan di SMP di Bukittinggi setelah ibu bapanya meninggal dunia. Setelah tamat Sekolah Menengah Atas C (SMA II), Motinggo menyambung pelajarannya di Fakultas Hukum, Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta. | SASTERA | Tokoh |