SHARBINIY, SYAMS AL-DIN AL- | Sharbiniy, Syams al-Din al ( ? – 977 H. / ? –1569 M.), ahli fiqh mazhab Syafi‘i, ahli tafsir dan juga pakar nahu. Nama penuhnya ialah Muhammad ibn Ahmad al-Sharbiniy al-Qahiriy yang lebih dikenali dengan nama al-Khatib al-Sharbiniy Syams al-Din. Dia lahir di Kaherah dan berguru dengan para sarjana Mesir pada zamannya. Dia mengeluarkan fatwa dan mengajar ilmunya semasa guru-gurunya masih hidup. Orang sezamannya memperakui kebaikan, kelebihan dan kezuhudannya dalam hal keduniaan. Antara buku karangannya ialah al-Siraj al-Munir fi al-I‘anah ‘ala Ma‘rifat ba‘du Ma‘aniy Kalam Rabina al-Hakim al-Khabir, al-Fath al-Rabbaniy fi Hilliy Alfaz Tasrif ‘Izz al-Din al-Zanjaniy dan Sharh Minhaj al- Din li al-Jurjaniy fi Sha‘biy al-Iman. | UMUM | |
SHARQAWIY, ‘ABDULLAH AL- | Sharqawiy, ‘Abdullah al- (1150–1227 H./1737– 1812 M.), ahli fiqh dan usul mazhab Syafi‘i daripada kalangan ulama al-Azhar. Nama penuhnya ialah ‘Abdullah ibn Hijaziy ibn Ibrahim yang lebih terkenal dengan nama al-Sharqawiy. Dia berasal dari kampung al-Tawilah di bahagian timur Mesir. Semasa kecil dia menghafaz al-Qur’an dan seterusnya memasuki Universiti al-Azhar dan mencapai kejayaan dalam bidang pengajiannya. Dia menuntut ilmu daripada al-Ajhuriy, al- Damanhuriy dan ‘Ali ibn al-‘Arabiy. Tahap kecemerlangan ilmunya amat tinggi sehingga dia diberi peluang mengajar di Universiti al-Azhar dan seterusnya dilantik sebagai Sheikh al-Azhar pada tahun 1208 H. | UMUM | |
NASAFIY, ABU AL-BARAKAT –AL | Nasafiy, Abu al-Barakat -al (meninggal dunia pada 710 H/1310 M), ahli fiqh Mazhab Hanafi, dan ahli tafsir. Nama sebenarnya ialah ‘Abdullah ibn Ahmad ibn Mahmud Hafiz al-Din Abu al-Barakat. Namanya dinisbahkan kepada nama tempat asalnya iaitu daerah Nasaf di Sind. Buku-buku bibliografi tokoh tidak menyebut tarikh kelahirannya. Al- Nasafiy belajar dari beberapa orang ulama pada zamannya, antaranya ialah Shams al-Din al-Kurdy dan Ahmad al-‘Itabiy. Al-Nasafiy ialah salah seorang ulama mutakhir yang zuhud dan beramal dengan ilmunya. Dia mempunyai banyak karya dalam bidang ilmu Fiqh, Usuluddin dan juga Tafsir. Antara karyanya yang terkenal ialah kitab tafsirnya Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil iaitu sebuah kitab tafsir yang sederhana bentuknya yang diringkaskan daripada kitab tafsir al-Kashaf dan tafsir al-Baydawiy. Al-Nasafiy meninggal dunia di negeri Izaj berdekatan Asbahan. | UMUM | |
ABU AL-ALIYAH RUFAY | Abu al-Aliyah Rufay (? –93 H./? –711 M.), imam yang hebat bacaan al-Qur'annya (qari), hafiz dan ahli tafsir yang ternama. Nama penuhnya ialah Abu al-Aliyah Rufay ibn Mahran al-Riyahiy al- Basriy. Sewaktu zaman Nabi Muhammad SAW, usianya masih muda dan dia memeluk Islam pada zaman Abu Bakar al-Siddiq dan mula tekun mempelajari Islam. Dia sering mendengar pengajaran daripada Umar, Ali, Ibn Mas’ud, Aisyah dan para sahabat besar yang lain. Dia hafaz al-Qur'an dan membacanya di hadapan Ubay ibn Ka’b. Dia amat bersemangat menyebarkan ilmunya lantaran suaranya yang lunak. Ramai yang telah belajar qira’at dengannya. Antara mereka ialah Su’ayb ibn al-Habhab, dan Abu ‘Amru ibn al-’Aka’. Dia mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan mengamalkan sunnah. Dia terkenal dengan sifatnya yang zuhud, warak dan mengelakkan diri daripada fitnah. | UMUM | |
SHAMSIAH FAKEH | SHAMSIAH FAKEH (1922- ), aktivis politik berhaluan kiri dan bekas Ketua Umum Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Dia lahir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Shamsiah adalah anak kedua daripada lapan orang adik-beradik. Bapanya bernama Sutan bin Sulaiman, seorang peniaga yang diberi gelaran ‘Fakih’ kerana ilmunya dalam bidang agama. Ibunya bernama Sa Asma binti Nonggok. Kedua-dua orang tuanya yang berasal dari Padang, Sumatera, berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dan menetap di Kuala Pilah. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
BOEN S. OEMARJATI | BOEN S. OEMARJATI (1940- ), pengkaji kesusasteraan Indonesia. Dia lahir pada 11 Disember 1940 di Jakarta, Indonesia. Dia dibesarkan di tengah-tengah keluarga intelektual yang sangat terhormat di Indonesia. Ayahnya, Slamet Imam Santoso, bekas guru besar di Universitas Indonesia, juga terkenal sebagai budayawan dan pemikir pendidikan. Boen tamat pendidikan dasar, menengah, dan tinggi di Jakarta. Meskipun di Sekolah Menengah Atas (SMA) dia memilih bidang sains, pada peringkat perguruan tinggi dia memperdalam ilmunya dalam bidang sastera Indonesia. | SASTERA | Tokoh |