NAMA SAMARAN | Nama samaran ialah nama rekaan yang digunakan oleh pengarang dan orang lain yang ingin menyembunyikan identiti sebenarnya, atau hanya ingin dikenali dengan nama lain. Satu nama samaran pengarang yang termasyhur ialah Mark Twain, iaitu nama yang digunakan oleh humoris Amerika, Samuel Langhorne Clemens. “Nama pentas” yang digunakan oleh pelakon lelaki dan pelakon wanita adalah juga jenis nama samaran. Lihat juga Nama (Nama-nama lain). | UMUM | |
SAMPUL SURAT | Sampul surat ialah lipatan kertas yang digam. Ia berfungsi sebagai sampul untuk mengisi surat dan kertas lain yang ingin dipos, atau ia juga bertindak sebagai pelindung daripada kehilangan atau kerosakan. Sampul surat diperbuat daripada helaian kertas tunggal yang dilipat, oleh itu hanya satu sahaja penutup yang terbuka. Penutup ini digam supaya sampul surat boleh ditutup setelah surat atau kertas dimasukkan. Sampul surat yang berperekat sendiri menggunakan gam yang tidak perlu lagi dilembapkan untuk dilekatkan. Mesin yang pertama berjaya membuat sampul surat telah dipatenkan pada tahun 1849 oleh J.K. Park dan C.S. Watsen dari New York City. Pada tahun 1898, John Ames Sherman telah mematenkan mesin pencetak sampul surat yang telah banyak diperbaik, mengurangkan kos membuat sampul surat bergam. | UMUM | |
MISTERI | Misteri ialah upacara secara sulit yang diadakan dalam upacara keagamaan. Ia hanya boleh disertai atau disaksikan oleh ahli atau orang yang ingin menyertai kumpulan yang mengamalkannya. Misteri telah menjadi sebahagian daripada kebanyakan agama. Misteri pada zaman awal begitu dirahsiakan sehingga pengetahuan tentangnya adalah tidak lengkap. | UMUM | |
ARISTIDES | Aristides (530?–468? S.M.) yang dikenali sebagai “Just” ialah negarawan dan pemimpin tentera Athens. Dia adalah pesaing kepada Themistocles, yang ingin menjadikan Athens sebagai satu kuasa tentera laut. Aristides berpendapat bahawa memang baik sekali Athens mengekalkan tentera darat yang berkuasa berbanding dengan tentera laut, kerana tentera darat mengalahkan tentera Parsi dalam pertempuran Marathon pada tahun 490 S.M. Isu antara mereka berdua telah diputuskan oleh orang ramai pada tahun 482 S.M. Mengikut adat, orang Athens mengundi sama ada Aristides atau Themistocles harus dinyahkan (dibuang negeri). Setiap pengundi menulis salah satu nama di atas ostrakan (sekeping tembikar). Aristides kalah undi dan dibuang negeri. | UMUM | |
KONSERVATISME | Konservatisme ialah sikap atau falsafah yang amat mengutamakan tradisi. Golongan konservatif ingin memelihara institusi, nilai, dan idea tradisional, dan mereka menjadikannya sebagai pegangan dan panduan untuk mencapai kebijaksanaan dan kebaikan. | UMUM | |
ABDUL RAHIM KAJAI (1894–1943) | Abdul Rahim Kajai (1894-1943) ialah tokoh sasterawan dan ‘Bapa Kewartawanan Melayu Moden’. Dia merupakan tokoh wartawan yang ingin memajukan nasib orang Melayu melalui penanya iaitu dari tahun 1930 hingga tahun 1943. Di dalam bidang sastera, dia juga dianggap sebagai ‘Bapa Cerpenis Melayu’ yang produktif. | UMUM | |
SUBSIDI | Subsidi ialah bayaran wang atau bentuk bantuan lain daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri, industri, syarikat swasta, atau individu. Terdapat pelbagai sebab bantuan ini diberi. Kerajaan ingin menggalakkan aktiviti atau industri supaya berkembang maju, menurunkan harga barangan, atau merangsangkan eksport. | UMUM | |
PUSAT SAINS NEGARA | Pusat Sains Negara ialah pusat pembelajaran informal tentang sains dan teknologi. Ia ditubuhkan berasaskan falsafah pembelajaran menerusi penerokaan dan penemuan demi meningkatkan kefahaman serta menimbulkan rasa ingin tahu tentang sains dan teknologi. | UMUM | |
PERSHING, JOHN JOSEPH | Pershing, John Joseph (1860–1948), mengetuai Pasukan Ekspedisi Amerika (A.E.F.) di Eropah semasa Perang Dunia I. A.E.F. merupakan Tentera Amerika Syarikat yang pertama dihantar ke Eropah. Jeneral Tentera Bersekutu ingin menggunakan tentera Amerika untuk menggantikan tenteranya yang diserang bertalu-talu, tetapi Pershing bertegas bahawa Tentera Amerika harus bertempur secara berasingan kecuali kerana kes tertentu. Dia percaya bahawa kesedaran tentang wujudnya Tentera Amerika yang semakin kuat akan melemahkan semangat tentera Jerman. | UMUM | |
ANTABUSE | Antabuse ialah nama dagang ubat yang digunakan secara meluas untuk merawat alkoholisme yang kronik. Nama generik ubat ini ialah disulfiram . Antabuse bukan penyembuh untuk alkoholisme. Ia dipreskripsikan untuk membantu mereka yang ingin berhenti meminum arak. | UMUM | |