ILMU KALAM | Ilmu kalam ialah ilmu yang menitikberatkan persoalan akidah Islam dan mempertahankannya, di samping menolak keraguan yang timbul mengenainya berpandukan logik akal dan bukti- bukti, dengan menggunakan istilah-istilah, kaedah analisa dan falsafah.
| UMUM | Umum |
MOOT | Moot ialah istilah lama Inggeris untuk sesuatu perjumpaan awam. Ahli-ahli pergerakan pengakap kini kadangkala menggunakan istilah tersebut untuk perjumpaan antarabangsa. Pelajar undang-undang menggunakan istilah tersebut untuk kes mahkamah olok-olok di mana pelajar berhujah antara satu sama lain bagi pihak klien rekaan mereka. ‘Hakim’ yang biasanya terdiri daripada tutor undang-undang atau peguam bertauliah, menghakimi dengan memberi komen terhadap perkara undang-undang yang dibangkitkan oleh para pelajar. Dalam percakapan biasa, perkara moot bermakna perkara yang boleh diragukan atau dipertikaikan. | UMUM | |
DAFTAR ISTILAH MBIM | DAFTAR ISTILAH MBIM, buku daftar istilah sumber berbahasa Inggeris dengan padanan dalam bahasa Melayu, diterbitkan pada tahun 1986 hasil kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam persidangan MBIM (Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia). Buku setebal 1601 halaman ini menghimpunkan lebih kurang 75 000 istilah sumber berbahasa Inggeris dengan padanan dalam bahasa Melayu bagi 65 bidang/ subbidang ilmu. Daftar istilah ini telah dikumpul semenjak persidangan MBIM yang ke-7 hingga ke-23 yang meliputi tahun 1974 hingga tahun 1985. Daftar ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka selaku urus setia Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia bagi negara Malaysia dalam majlis tersebut. | BAHASA | Karya |
MIKADO | Mikado ialah gelaran Maharaja Jepun pada masa silam. Istilah ini digunakan juga oleh orang-orang asing. Istilah ini asalnya ialah perkataan Jepun yang bermaksud pintu yang disanjungi. Penggunaan istilah memperlihatkan sanjungan orang Jepun terhadap pemerintah mereka. Selepas tamadun Cina sampai ke Jepun pada tahun 500-an M., orang Jepun mula menggelar maharaja mereka Tenno, yang bermaksud Maharaja dari Syurga. Maharaja tidak dipanggil dengan namanya sendiri. Maharaja dan pemerintahan mereka pada masa kini dikenali dengan nama yang dipilih khas untuk mereka. Maharaja Hirohito dikenal dengan nama Tenno Showa atau Maharaja Showa. | UMUM | |
NYANYUK | Nyanyuk ialah istilah umum yang digunakan untuk menerangkan masalah mental tertentu yang memberi kesan terutama kepada golongan yang berumur. Istilah nyanyuk sebenarnya merujuk kepada sebilangan besar keadaan dengan sejumlah penyebab yang besar. Kebanyakan pakar yang terlibat dengan masalah golongan berumur ini, mengelakkan daripada menggunakan istilah ini. Tiada satu keadaan yang dikaitkan dengan penggunaan istilah ini tidak dapat dielakkan dalam peningkatan usia, dan ramai yang boleh dibantu dengan rawatan perubatan secara spontan. | UMUM | |
TIMUR JAUH | Timur Jauh ialah istilah yang kadangkala digunakan untuk merujuk pada bahagian yang paling timur di Asia. Mengikut tradisi, istilah ini digunakan untuk merujuk pada negara China, Hong Kong, Jepun, Korea, Macao, Taiwan, dan timur Siberia di Rusia. Wilayah ini, tidak termasuk Siberia timur, kini sering disebut sebagai Asia Timur. Makna bagi istilah Timur Jauh kadangkala diperluas hingga merangkumi Asia Tenggara. Negara-negara Asia Tenggara terdiri daripada Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam. Istilah Timur Jauh dicipta oleh negara Eropah. Wilayah ini terbentang jauh ke timur Eropah. Lihat juga rencana tentang negara-negara dan unit politik lain yang dijelaskan dalam rencana ini. | UMUM | |
SAYAP KIRI | Sayap kiri ialah istilah yang bermaksud parti atau cabang kumpulan politik yang radikal. Istilah ini berasal daripada badan perundangan Perancis yang pertama selepas Revolusi Perancis. Perwakilan konservatif duduk di sebelah kanan speaker, sementara ahli majlis perundangan yang lebih bersifat radikal duduk di sebelah kiri. Kemudian, masyarakat seluruh dunia menggunakan istilah kiri dan kanan untuk menunjukkan dua pemahaman politik yang bertentangan, iaitu egalitarianisme radikal dan konservatisme. Pada umumnya, kumpulan berhaluan kiri menilai kesamaan lebih tinggi daripada kebebasan individu. Sebaliknya, kumpulan berhaluan kanan menganggap kebebasan lebih tinggi daripada kesamaan. Kini, kumpulan sayap kiri sering dikaitkan dengan sosialisme atau komunisme. | UMUM | |
PROTOPLASMA | Protoplasma ialah istilah yang bermakna bahan hidup dalam sel. Istilah ini tidak banyak digunakan oleh ahli biologi moden kerana sifatnya yang tidak spesifik. Johannes Purkinje, ahli fisiologi Czechoslovakia, pertama kali menggunakannya pada tahun 1839. Pada masa itu, ahli sains tahu bahawa semua benda hidup terdiri daripada sel yang kelihatan mengandungi bahan bak jeli. Purkinje menamakan bahan ini protoplasma – daripada perkataan Yunani yang bermakna mula- mula terbentuk atau teracu – untuk menunjukkan bahawa bahan ini adalah bahan paling asas pada hidupan. | UMUM | |
NEUROSIS | Neurosis ialah istilah yang digunakan dalam beberapa bidang kesihatan mental. Istilah ini merujuk kepada beberapa jenis gangguan mental dan sejenis mekanisme psikologi. | UMUM | |
KAMUS ISTILAH | KAMUS ISTILAH, kamus khusus yang membicarakan perkataan khas yang disebut istilah. Kamus ini juga dikenal sebagai kamus bidang kerana skopnya tidak mencakup keseluruhan aspek linguistik seperti yang di tangani oleh kamus umum, tetapi tertumpu pada satu atau sebilangan bidang ilmu yang berkait dengan pengalaman dan kegiatan manusia. | BAHASA | Penerbitan |