ATLANTIS | Atlantis ialah sebuah benua legenda yang dipercayai telah tenggelam ke dalam Lautan Atlantik beribu-ribu tahun dahulu. Atlantis mula- mula dikenali pada tahun 300-an S.M. dalam Critias dan Timaeus , dua buah karya ahli falsafah Yunani, Plato. Menurut Plato, satu tamadun yang gemilang pernah wujud di Atlantis. Tetapi, penduduknya menjadi jahat dan tamak, dan dewa telah menghukum mereka. Dalam masa sehari semalam letupan yang dahsyat menggegarkan Atlantis, dan benua itu pun tenggelam ke dasar lautan. | UMUM | |
PERLAK | PERLAK, kerajaan Islam yang pertama di Kepulauan Nusantara, Perlak terletak di Propinsi Daerah Istimewa Aceh, Sumatera, Indonesia. Menurut catatan sejarah, sebelum kedatangan agama Islam, Perlak diperintah oleh raja-raja keturunan Siam. Daripada catatan kitab Idhamul Hao karangan Abu Ishak al-Makarani, negeri ‘Peureulak’ adalah sebuah negeri yang tertua di Sumatera dan namanya terkenal sepanjang abad di kalangan para pedagang dunia dari China, Arab, Parsi, Hindustan, Itali, Portugis dan lain-lain yang melalui Selat Melaka. Di Perlak juga suatu masa dahulu banyak terdapat kayu yang dikenal sebagai kayu ‘peureulak’, yang sangat baik untuk dijaikan bahan binaan kapal, perahu, sampan dan bahtera. Oleh sebab kayu ini banyak dieksport, dan sempena nama kayu tersebut, maka tempat itu pun dikenal sebagai negeri Perlak. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |
SPENDER, SIR STEPHEN | Spender, Sir Stephen (1909–1995) ialah pemuisi British. Puisi-puisinya yang terkenal menggabungkan unsur romantik tradisional dengan subjek serta sikap yang benar-benar moden. Dengan itu, dalam sebuah kereta api ekspres pun dia mendapati kewujudan jenis keindahan yang penyair romantik awal temui pada air terjun dan matahari terbenam. | UMUM | |
MUHAMMAD SYAWQIY | Muhammad Syawqiy (1244 H.–1304 H./1828 M.– 1887 M.) ialah penulis khat agung Turki. Dia terkenal dengan bidang kesenian penulisan khat Arab. Selepas itu hasil kerjanya lebih dikenali dengan nama “Madrasah Syawqiy” (Sekolah Syawqiy). Muhammad Syawqiy lahir di Saiyidlar, Laut Hitam dan berpindah ke Istanbul semenjak kecil kerana bersekolah. Dalam masa itu juga dia mempelajari khat melalui bapa saudaranya Muhammad Khalusiy hingga dia mendapat ijazah pada tahun 1841 M. Selepas itu, dia menolak untuk belajar dengan sesiapa pun kerana mengiktiraf bapa saudaranya yang serba berkebolehan. Dia hanya belajar daripada penulis khat ternama seperti al-Hafiz Uthman, Ismail al-Zuhdiy dan Mustafa Raqim sehingga dia mampu mencipta cara tersendiri dalam penulisan dan diikuti orang lain selepasnya. | UMUM | |
TERUSAN CORINTH | Terusan Corinth, menyediakan laluan air di antara Teluk Corinth dan Teluk Saronic di bahagian tengah timur Greece. Panjangnya terusan ini ialah 6 kilometer. Ia merentasi sejalur tanah yang sempit yang menyambung Semenanjung Peloponnesus dengan tanah besar Greece yang lain. Sebuah syarikat Perancis mula membina terusan ini pada tahun 1882, dan Greece menyiapkannya pada tahun 1893. Satu percubaan untuk membina sebuah terusan seperti itu telah pun dibuat oleh Nero, Maharaja Rom, pada tahun 67 M. | UMUM | |
PERJANJIAN GHENT | Perjanjian Ghent menamatkan peperangan antara United Kingdom (UK) dengan Amerika Syarikat pada tahun 1812. Kedua-dua buah negara tersebut menandatangani perjanjian ini di Ghent, Belgium pada 24 Disember 1814 dan mengesahkannya pada 17 Februari 1815. Perunding dari Amerika ialah John Quincy Adams, James A. Bayard, Henry Clay, Jonathan Russell dan Albert Gallatin . Wakil United Kingdom terdiri daripada Sir James Gambier, Henry Goulburn dan William Adams . Walau bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian yang mencetuskan peperangan. Perjanjian itu hanya dapat mengembalikan semula suasana aman. Perjanjian itu tidak pun menyebut bahawa pelaut Amerika dipaksa berkhidmat dalam kapal United Kingdom. Perkara ini tidak dimasukkan kerana tidak begitu mustahak. Tiada sebab bagi orang Inggeris untuk melaksanakan perkara ini selepas kekalahan Napoleon pada tahun 1815. | UMUM | |
KAMUS BAHASA MELAYU-EROPAH PERTAMA | KAMUS BAHASA MELAYU-EROPAH PERTAMA, kamus yang disusun oleh Antonio Pigafetta, bangsawan Itali yang menyertai rombongan perdagangan Sepanyol di bawah pimpinan Fernando Magalhães. Setelah belayar selama tujuh belas bulan melewati Lautan Atlantik, Amerika Selatan dan Lautan Pasifik, rombongan Sepanyol itu berlabuh di Nusantara di Pulau Samar, Filipina) pada bulan Mac 1521. Sememangnya pada zaman itu bahasa Melayu sudah pun berfungsi sebagai bahasa pengantara se-Nusantara termasuk hujung Filipina Timur. Hal ini dapat diketahui apabila hamba peribadi Magalhães, seorang Sumatera yang mengikuti pelayaran Sepanyol itu, dapat berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Selama sembilan bulan rombongan Sepanyol itu mengunjungi beberapa buah bandar dan pulau di Filipina, Brunei dan Maluku, dan ke mana sahaja mereka belayar bahasa Melayu dituturkan. | BAHASA | Penerbitan |
MOTHER GOOSE | Mother Goose ialah suatu nama yang dikaitkan dengan kesusasteraan kanak-kanak beratus-ratus tahun lamanya. Mother Goose muncul sebagai pengarang yang mempunyai banyak koleksi cerita dan rima dalam pelbagai bahasa. Namun, tiada sesiapa pun yang tahu sama ada Mother Goose yang sebenar itu pernah wujud. | UMUM | |
TAURUS | Taurus, Lembu Jantan , ialah buruj (kumpulan bintang) yang membentuk tanda kedua zodiak. Dalam mitologi Yunani, Zeus mengubah dirinya menjadi seekor lembu jantan yang putih bersih supaya dia dapat menawan hati Europa yang dicintainya. Lembu itu dikagumi oleh Europa lalu ditungganginya. Zeus pun mendedahkan identitinya dan mengahwini Europa. Di langit, Taurus dapat dicamkan dengan kehadiran dua gugusan bintang yang terbuka. Gugusan bintang berbentuk V, iaitu Hyades , menandakan muka lembu. Pleiades, gugusan bintang yang agung dan lebih padat, membentuk bahu lembu itu. Bintang yang kemerah-merahan, Aldebaran, menandakan mata kanan. Dua butir bintang lagi, Beta dan Zeta Tauri, membentuk hujung tanduk lembu. Taurus juga termasuk Nebula Ketam, suatu jisim gas dan debu yang mengembang, dan yang berpunca daripada supernova (ledakan bintang) serta T. Tauri, bintang yang berubah-ubah. Lihat juga Astrologi; Supernova; Zodiak. | UMUM | |
MILES, JOHN CAMPBELL | Miles, John Campbell (1883–1965), pencari gali Australia yang menemukan singkapan bijih perak-plumbum di Queensland pada tahun 1923 dan menamakannya Mount Isa. Pada tahun 1925, Mount Isa Mines Limited mengambil alih semua pajakan di kawasan tersebut. Pada tahun 1942, syarikat itu menemukan sebuah kawasan lipit kuprum yang luas dan dalam, dan Mount Isa pun menjadi sebuah bandar yang kaya (lihat Mount Isa). Miles lahir di Melbourne, Victoria. Dia bekerja di ladang di barat Victoria, New South Wales, dan Queensland sebelum menjadi pencari gali emas pada tahun 1908. | UMUM | |