SMITH, ADAM | Smith, Adam (1723–1790), pengasas ekonomi moden. Buku Smith yang terpenting ialah The Wealth of Nations (judul penuh: An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations). Buku yang diterbitkan pada tahun 1776 ini ialah karya lengkap yang pertama tentang ekonomi politik. Buku ini membincangkan perhubungan antara kebebasan dan ketenteraman, menganalisis proses ekonomi, dan menyelar sekatan yang dibuat oleh sistem merkantil British terhadap perdagangan bebas (lihat Merkantilisme). Ketiga-tiga aspek ini disulam bersama untuk membentuk teori sosial yang seragam. | UMUM | |
AULD LANG SYNE | Auld lang syne ialah dialek orang Scotland yang bererti old long since (sejak lama dahulu) atau hari telah berlalu. Perkataan ini menjadi judul sebuah lagu yang digemari oleh semua orang yang dapat bertutur dalam bahasa Inggeris. Robert Burns menyatakan bahawa dia mencatat perkataan ini apabila mendengar seorang lelaki tua menyanyikannya akan tetapi orang menganggap Burns yang mencipta kata-kata tersebut. Lagu ini dinyanyikan dengan melodi Scotland lama. Ia adalah lagu tradisi untuk menyambut ketibaan Tahun Baru, terutama di Scotland. Lihat juga Burns, Robert. | UMUM | |
BINGKISAN MELAYU | BINGKISAN MELAYU, buku yang mengandungi contoh-contoh surat kiriman dan jawapan dalam bahasa Melayu yang diterbitkan pada tahun 1952. Buku bertulisan Rumi ini asalnya diberi judul “Persuratan Melayu’’ dikarang oleh Mansor bin Sanusi. Penukaran judul buku ini dibuat kerana penulis merasakan bahawa judul asalnya tidak sesuai dengan isi kandungannya, tanpa membuat sebarang pindaan. Bingkisan Melayu diterbitkan oleh Sinaran Bros, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan dicetak oleh Syarikat Percetakan Qalam, Jalan Geylang, Singapura. Kata pengantar buku ini ditulis oleh S.M. Zainal Abidin B.A dan diulang cetak sebanyak tujuh kali. | BAHASA | Kitab |
HIKAYAT QAMAR AL-ZAMAN | HIKAYAT QAMAR AL-ZAMAN, sastera hikayat berunsur Islam. Judul yang dicatat oleh penterjemahannya ialah Hikayat Qamar al-Zaman bin Malik Syahriman. | SASTERA | Karya |
KAMUS JAWI-MELAYU-INGGERIS | KAMUS JAWI-MELAYU-INGGERIS, kamus yang disusun dan dihasilkan oleh R.J. Wilkinson, pegawai pentadbir British di Lumut, Perak pada tahun 1903. Judul asal kamus ini ialah A Classic Jawi-Malay-English Dictionary dan diterbitkan semula oleh Penerbit Baharudinjoha, Alai, Melaka pada tahun 1985 dengan judul Manuskrip Klasik Kamus Jawi-Melayu-Inggeris. Kamus Jawi-Melayu-Inggeris setebal 785 halaman ini menggunakan dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam aksara Jawi dan Rumi. Pada tahun 1932, edisi kedua kamus ini diterbitkan dengan judul A Malay-English Dictionary tanpa tulisan Jawi. | BAHASA | Penerbitan |
SIYAR AL-SALIKIN | SIYAR AL-SALIKIN, kitab karangan Syekh Abdul Samad al-Falembani al-Jawi. Judul lengkap kita ini ialah Siyar al-Salikin ila Ibadat Rabb al-Alamin. Judul lengkap dalam bentuk lain ialah Siyar al-Salikin fi-Tariqat al-Sadat al-Sufiyah. Kitab ini disebut juga Siyarus Salikin atau Sairus Salikin atau Sirus Salikin. | SASTERA | Kitab |
HIKAYAT PATANI | HIKAYAT PATANI, sastera hikayat berunsur sejarah. Hikayat ini tidak menyebut nama pengarangnya. Hikayat ini dibukukan oleh A. Teeuw dan D.K. Wyatt dengan judul Hikayat Patani, Bibliotheca Indonesia 5 pada tahun 1970 dan diterbitkan oleh Martinus Nijhoff. | SASTERA | Karya |
RUMAH ITU DUNIA AKU | RUMAH ITU DUNIA AKU, novel karya Hamzah Hussin. Novel ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1951 dengan menggunakan tulisan jawi. Pada tahun 1958, ia dicetak dengan judul Anak Gundik. Pada tahun 1964, ia dicetak dengan menggunakan tulisan rumi oleh Penerbitan Pusaka Melayu Baru. Pada tahun 1989, Rumah Itu Dunia Aku diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama novel Hamzah yang lain dalam satu buku yang diberi judul Novel-Novel Hamzah yang diselenggarakan dan diberi kata pengantar oleh S. Othman Kelantan. | SASTERA | Karya |
PUISI BAHARU MELAYU III | PUISI BAHARU MELAYU III, antologi puisi yang memuatkan 554 buah puisi karya 156 orang penyair. Judul sebenar antologi ini ialah Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986. Puisi-puisi tersebut dihasilkan antara tahun 1961 hingga tahun 1986. Antologi yang disusun bersama oleh Ahmad Kamal Abdullah dan Ahmad Razali Haji Yusof ini diberi kata pengantar oleh Ahmad Kamal Abdullah. Puisi Baharu Melayu III diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1990. | SASTERA | Karya |
SILLITOE, ALAN | Sillitoe, Alan (1928 – ) ialah pengarang dan penulis drama British yang terkenal dengan novel pertamanya, Saturday Night and Sunday Morning (1958) yang mengisahkan perihal kehidupan masyarakat pekerja kelas bawahan. Kemudian, dia menghasilkan pula koleksi cerita The Loneliness of the Long Distance Runner (1959). Cerita utamanya, yang memberikan judul kepada buku ini, menonjolkan wawasan minda seorang budak lelaki yang berada di sekolah boarstal. Sillitoe seterusnya menulis drama, puisi, beberapa banyak cerita pendek, dan novel. Antaranya termasuk Three Plays (1978), The Rats and Other Poems (1960), The Ragman’s Daughter (1963), dan The Victory (1982). Saturday Night and Sunday Morning dan The Loneliness of the Long Distance Runner telah dijadikan filem dan diminati ramai. | UMUM | |