| PIAGET, JEAN | Piaget, Jean (1896–1980), ahli psikologi Switzerland yang terkenal dengan kajiannya tentang proses pemikiran kanak-kanak. Dia dan rakan kongsinya menerbitkan lebih daripada 30 jilid buku tentang tajuk ini. | UMUM | |
| MALINOWSKI, BRONISLAW | Malinowski, Bronislaw (1884–1942) ialah ahli antropologi British. Dia dikenali kerana kajiannya tentang kebudayaan penduduk Pulau Trobriand di barat daya Pasifik dan kerana sumbangannya yang berupa teori tentang kebudayaan manusia. | UMUM | |
| MOSELEY, HENRY GWYN-JEFFREYS | Moseley, Henry Gwyn-Jeffreys (1887–1915), ahli fizik yang terkenal dengan kajiannya tentang sinar-x. Pada sekitar tahun 1913, dia menemui hubungan yang sistematik antara spektrum sinar-x dan nombor atom bagi unsur yang memancarkan sinar-x tersebut. Penemuan ini membolehkan ahli sains menentukan nombor atom bagi elemen yang tidak diketahui dan menyusun unsur tersebut di tempat yang betul di dalam jadual berkala (lihat Unsur kimia). | UMUM | |
| MYRDAL, GUNNAR | Myrdal, Gunnar (1898–1987) ialah ahli sosiologi dan ekonomi Sweden. Dia terkenal melalui kajiannya tentang masalah utama dunia. Bukunya, An American Dilemma: The Negro Problem and Modern Democracy (1944) dianggap sebagai kajian yang luar biasa tentang hubungan ras di Amerika Syarikat. Kajian Myrdal tentang pembangunan sosial dan ekonomi negara-negara mundur telah menghasilkan penulisan berjudul Asian Drama: An Inquiry into the Poverty of Nations (1968). Buku itu cuba menghuraikan punca terlalu ramai penduduk miskin di bahagian selatan Asia dan tindakan yang boleh dilakukan. | UMUM | |
| TERMAN, LEWIS MADISON | Terman, Lewis Madison (1877–1956) ialah ahli psikologi Amerika yang menjadi terkenal kerana kajiannya tentang kecerdasan. Pada tahun 1916, ketika mengajar di Stanford University di California , Amerika Syarikat, Terman mengkaji semula ujian kecerdasan Binet-Simon yang ditulis dalam bahasa Perancis yang digunakan oleh para pelajar yang berbahasa Inggeris. Ujian yang dikaji semula ini, yang umumnya dikenal sebagai ujian Stanford-Binet, menjadi salah satu ujian yang digunakan dengan meluas untuk menguji keupayaan belajar. Terman bersama-sama dengan Maud A. Merrill, seorang lagi ahli psikologi dari Stanford, membuat dua lagi kajian semula ujian tersebut. Hasil kajian mereka diterbitkan pada tahun 1937 dan tahun 1960. | UMUM | |
| DE SITTER, WILLEM | De Sitter, Willem (1872–1934) ialah ahli astronomi Belanda yang terkenal. Daripada kajiannya tentang satelit Musytari dan pengiraannya tentang unsur dan jisim Musytari dia menyumbang kepada kefahaman teoretikal tentang satelit. | UMUM | |
| RICHARDSON, SIR OWEN W. | Richardson, Sir Owen W. (1879–1959), menerima Hadiah Nobel dalam bidang fizik pada tahun 1928 bagi kajiannya tentang pancaran termionik . | UMUM | |
| MAITLAND, FREDERIC WILLIAM | Maitland, Frederic William (1850–1906), ahli sejarah Inggeris yang merintis pengajian sejarah hukum Inggeris yang awal. Kajiannya melahirkan banyak bahan yang kini diketahui sejarah hukum Anglo-Saxon. Maitland dapat menyaring pelbagai bukti yang bertentangan serta membingungkan dan seterusnya mencari yang benar. Karya- karyanya yang penting termasuklah History of the English Low (1895), yang ditulis bersama dengan Frederick Pollack, dan Domesday Book and Beyond (1897). | UMUM | |
| MORGAN, THOMAS HUNT | Morgan, Thomas Hunt (1866–1945), ahli genetik Amerika, menerima Hadiah Nobel pada tahun 1933 bagi bidang fisiologi atau perubatan atas kajiannya mengenai keturunan sebagaimana yang tercatat dalam buku The Theory of the Gene (1926). Dia menunjukkan melalui eksperimennya bahawa ciri-ciri tertentu diturunkan dari satu generasi ke satu generasi melalui gen (lihat Keturunan [Kelahiran genetik]). | UMUM | |
| MEYER, JULIUS LOTHAR | Meyer, Julius Lothar (1830–1895) ialah ahli kimia Jerman yang membuktikan perhubungan antara berat atom dengan sifat sesuatu unsur. Hasil kajiannya bersama-sama dengan seorang lagi ahli kimia Rusia, Dmitri Mendeleev telah membuka jalan ke arah perkembangan carta berkala unsur, yang mengelaskan unsur menurut tertib berat atom masing-masing di samping membuktikan bahawa kumpulan unsur tertentu mempunyai sifat-sifat yang serupa. Dalam jadual berkala yang moden, unsur dimasukkan ke dalam kumpulan menurut tertib nombor atom (bilangan proton dalam setiap nukleus). Lihat Unsur kimia (Jadual berkala). | UMUM | |