Surah al-Ikhlas adalah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-112 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi empat ayat. Surah ini dinamakan dengan al-Ikhlas (ikhlas) kerana ia menceritakan tentang kebenaran iman yang tidak diselit oleh sifat riya’. Diriwayatkan bahawa golongan musyrikin datang bertemu Rasulullah s.a.w., lantas berkata: “Wahai Muhammad, gambarkan kepada kami tentang Tuhan kamu. Adakah ia daripada emas ataupun perak, atau batu delima ataupun batu jed? Maka turunlah ayat yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Allah itu Maha Esa. Allah tempat bergantung”. (Surah al-Ikhlas 112:1–2) |