Terusan Kiel adalah jalan air yang merupakan jalan pintas bagi kapal-kapal yang belayar dari Laut Utara ke Laut Baltik. Pada suatu masa dahulu, ia dikenali sebagai Terusan Kaiser Wilhelm. Nama Jerman yang rasmi ialah Nord-Ostsee-Kanal (Terusan Laut Utara-Timur). Ia memendekkan pelayaran mengelilingi Denmark dengan jarak melebihi 480 kilometer. Terusan ini terletak di utara Jerman. Ia bermula dari Brunsbüttelkoog di muara Sungai Elbe hingga Holtenau berhampiran Kiel, iaitu bandar pelabuhan Baltik. Terusan ini dinamakan serupa nama bandar pelabuhan Kiel. Pembinaan Terusan Kiel dimulakan oleh kerajaan Jerman pada tahun 1887, dan siap pada tahun 1895. Semenjak itu, terusan ini telah diperluaskan. Julat kelebaran terusan ini ialah antara 102 meter hingga 162 meter, dalamnya 11 meter dan panjangnya 98.5 kilometer. Bom-bom tentera Berikat merosakkan terusan ini semasa Perang Dunia II (1939–1945). |