SEMBAHYANG | rukun islam ke dua, ibadat yang wajib dilaksanakan oleh umat islam | AGAMA | Konsep |
SHORAN | Shoran (kependekan bagi short range navigation) ialah sistem elektronik yang digunakan untuk pandu arah udara julat dekat. Kapal terbang yang menggunakan shoran menghantar isyarat radio ke dua stesen bumi, yang menyiarkan semula isyarat itu kepada kapal terbang berkenaan. Alatan elektronik merekodkan jeda masa antara penghantaran dengan penerimaan isyarat. Shoran mengira jarak ke stesen berdasarkan jeda masa tersebut. Shoran dicipta semasa Perang Dunia II oleh Tentera Udara Amerika Syarikat dan industri swasta. Lihat juga Loran; Pandu arah. | UMUM | |
ANTIPOD | Antipod ialah dua tempat yang betul-betul bertentangan kedudukannya antara satu dengan yang lain pada glob. Kata ini asalnya kata Yunani yang bermaksud kaki ke kaki . Dua orang yang berdiri di antipod akan bertemu tapak kaki masing- masing. Kawasan yang terletak di sekitar Australia dan New Zealand biasanya dikenal sebagai antipod. Orang Inggeris adalah yang mula-mula sekali menggunakan istilah antipod kerana kedua- dua negara itu terletak hampir bertentangan dengan England. | UMUM | |
SHOVE-HALFPENNY | Shove-halfpenny, sejenis permainan dalam untuk dua orang pemain atau dua buah pasukan. Permainan ini dimainkan di atas papan yang berukuran 610 milimeter panjang dan 368 milimeter lebar. Garisan yang ditandakan pada sudut tegak pada dua sisi yang panjang, membahagikan papan kepada dua petak. Pemain menggunakan lima cakera logam yang bergaris pusat lebih kurang 25 milimeter (1 inci). Mereka meletakkan cakera terjuntai di hujung papan. Mereka cuba memenuhkan semua petak dalam sebarang tertib dengan menyorong cakera tiga kali ke dalam setiap petak, dengan ibu jari tangan atau telapak tangan. Selepas giliran setiap pemain, mata ditandakan dengan kapur di bahagian tepi papan bagi setiap cakera yang berhenti sepenuhnya di dalam petak. | UMUM | |
MERIDIAN | Meridian ialah garisan yang dilukis di atas glob dunia dari kutub utara ke kutub selatan. Setiap garisan mengelilingi separuh glob dan bersambung dengan garisan yang satu lagi pada kedua-dua kutub. Garisan ini dipanggil meridian. Dua garisan meridian bersambung pada kedua-dua kutub membentuk edaran meridian. Garisan meridian digunakan untuk mengukur longitud, iaitu jarak timur atau barat daripada garisan yang melalui Greenwich, England. | UMUM | |
STANLEY DAN LIVINGSTONE | Stanley dan Livingstone ialah dua orang penjelajah British yang menjadi perintis kepada dunia Barat untuk meneroka perjalanan ke benua Afrika. Henry Morton Stanley (1841–1904) pergi ke Afrika untuk mencari David Livingstone (1813–1873) pada tahun 1869. Livingstone terkenal sebagai penjelajahan ke kawasan pedalaman benua itu. Namun tiada sesiapa yang mendengar cerita tentang dirinya dalam beberapa tahun, dan oleh itu, New York Herald menghantar Stanley untuk mencarinya. Pencarian Stanley berakhir pada 10 November 1871, apabila dia bertemu Livingstone di bandar Ujiji, di Tasik Tanganyika. Stanley menyambutnya dengan perkataan yang terkenal pada masa kini: “Dr. Livingstone, I presume?” (“Dr. Livingstone saya agak?”) | UMUM | |
SUNGAI JUMNA | Sungai Jumna, di utara India, membentuk salah sebuah anak Sungai Ganges yang paling penting. Sungai Jumna bermula dari Himalaya dan mengalir ke arah tenggara sepanjang hampir 1400 kilometer. Ia mengalir ke Sungai Ganges di bandar Allahabad. Dua terusan, satu menghala ke sebelah barat Sungai Jumna dan satu lagi menghala ke sebelah timur, mengairi seluas 30 000 kilometer persegi kawasan ladang di lembah sungai ini. | UMUM | |
PERANG SALIB | Perang Salib ialah nama sempena serangan askar-askar Kristian yang tersusun membentuk satu gagasan untuk menguasai Palestin. Serangan ini berlaku antara abad ke-5 dan abad ke-8 H./ 11–14 M. Serangan ini disebabkan oleh dua faktor utama, iaitu bentuk muka bumi Palestin yang strategik dari segi geografi yang menyambungkan di antara timur dengan barat, dan keinginan menguasai tempat suci (Baitulmaqdis). Seterusnya mereka juga bertujuan menyekat usaha pembukaan negara- negara dan kejayaan orang Islam yang bersifat toleransi terhadap agama-agama samawi yang lain. Mereka telah menyusun tentera yang datang dari Eropah Barat dan melancarkan lapan serangan utama antara tahun 490 H. dan 669 H., 1096 M. dan 1270 M. Tahun tersebut dianggap sebagai tahun peluasan ekonomi bagi Eropah Barat dan peningkatan kekuatan senjata. | UMUM | |
SYDNEY OPERA HOUSE | Sydney Opera House di Sydney, Australia dianggap sebagai salah sebuah bangunan yang teragung pada tahun 1900-an. Ia terletak di Bennelong Point, sebuah semenanjung yang menganjur ke Pelabuhan Sydney. Dua buah bumbungnya yang seperti layar kapal itu dengan cangkerang yang tindih-menindih, serta kejuruteraannya yang mengagumkan telah menjadikannya terkenal ke seluruh dunia. Gedung opera ini dapat menampung lebih 6600 orang penonton. Dewan-dewannya menyediakan kemudahan untuk konsert simfoni, opera, drama, balet, filem, resital solo, pameran dan konvensyen. Bumbung cangkerang itu meliputi dua buah dewan pertunjukan yang terbesar dan sebuah restoran. | UMUM | |
SPRINGBOK | Springbok, yang juga dikenali sebagai springbuck, ialah antelop yang hidup di dataran berumput terbuka di barat daya Afrika. Haiwan ini mendapat namanya kerana tabiatnya melompat-lompat berulang kali setinggi dua meter ke udara apabila ketakutan, dan kemudian memacu dengan kencang. Lompatan ini mengalih perhatian pemangsa seperti singa dan harimau kumbang. Springbok mempunyai sejalur bulu panjang berwarna putih di tengah belakangnya yang akan tertegak apabila ia dalam ketakutan. Oleh kerana sifat ini, orang Portugis di Angola menamakan antelop ini kambing kipas. | UMUM | |