TERNATE | TERNATE, sebuah kerajaan pada abad ke-13 dan pulau penghasil rempah. Di samping menjadi kota pelabuhan, Ternate adalah pusat penyebaran Islam di kawasan timur Nusantara. Dari abad ke-13 hingga abad ke-17, Ternate menjadi ibu negeri Kepulauan Maluku. Hasilan utama Ternate ialah rempah, kopra ikan dan sumber laut yang lain. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Kesultanan/Kerajaan/Pemerintahan |
MEYER, JULIUS LOTHAR | Meyer, Julius Lothar (1830–1895) ialah ahli kimia Jerman yang membuktikan perhubungan antara berat atom dengan sifat sesuatu unsur. Hasil kajiannya bersama-sama dengan seorang lagi ahli kimia Rusia, Dmitri Mendeleev telah membuka jalan ke arah perkembangan carta berkala unsur, yang mengelaskan unsur menurut tertib berat atom masing-masing di samping membuktikan bahawa kumpulan unsur tertentu mempunyai sifat-sifat yang serupa. Dalam jadual berkala yang moden, unsur dimasukkan ke dalam kumpulan menurut tertib nombor atom (bilangan proton dalam setiap nukleus). Lihat Unsur kimia (Jadual berkala). | UMUM | |
PERPUSTAKAAN | Perpustakaan . Perpustakaan merupakan suatu bahagian yang amat penting dalam sistem pendidikan di dunia dan dalam proses menyimpan dan mendapat kembali maklumat. Perpustakaan menyediakan pengetahuan yang telah dikumpulkan dari zaman ke zaman melalui buku, filem, rakaman, dan media lain. Manusia dari semua lapisan masyarakat, termasuk pelajar, guru, eksekutif perniagaan, pegawai kerajaan, para sarjana, dan ahli sains, menggunakan sumber yang ada di perpustakaan untuk kerja mereka. Sebilangan besar daripada orang awam turut mengunjungi perpustakaan untuk memenuhi keperluan menimba ilmu pengetahuan atau untuk mendapatkan bahan bagi kegiatan masa lapang mereka. Di samping itu, ramai orang menikmati perbincangan buku, pertunjukan filem, kuliah, dan kegiatan lain yang diaturkan oleh perpustakaan tempatan mereka. | UMUM | |
NUSAYBAH BINT AL-HARITH | Nusaybah bint al-Harith ialah Nusaybah bint al-Harith al-Ansariyyah. Ada mengatakan dia adalah Nusaybah bint Ka‘ab. Dia adalah seorang daripada golongan sahabat yang terkenal. Dia memeluk Islam dan memberi baiah kepada Rasulullah s.a.w. Nusaybah adalah orang yang diberi tugas memandikan jenazah Zaynab bint Rasulullah s.a.w. Kemudian para ulama mempelajari kaedah pemandian jenazah daripadanya. Nusaybah juga bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam tujuh peperangan. Dia bertugas sebagai jururawat tentera Islam yang tercedera di samping menyediakan makanan untuk mereka. Di samping itu, dia mengiringi para tentera di belakang dalam ekspedisi mereka. Nusaybah pada mulanya menetap di Madinah tetapi kemudiannya berpindah ke Basrah. | UMUM | |
HAJI WAN SULAIMAN WAN SIDEK | HAJI WAN SULAIMAN WAN SIDEK (1874 – 1935), ulama dan pendidik. Dia lahir pada tahun 1874 di Mukim Padang Kerbau, Kota Setar, Kedah. Dia mendapat pendidikan di Sekolah Melayu (1882-1885) di samping belajar mengaji al-Qur’an dan agama. Pada tahun 1889, dia melanjutkan pelajarannya ke Makkah untuk mendalami bidang bahasa Arab, fikah, tafsir (Ulum al-Qur’an) dan ilmu falak. Antara gurunya termasuklah Syekh Mohamad al-Bukhari dan Syekh Mohamad al-Khayar. Sekembalinya dari Makkah pada tahun 1910, dia dilantik sebagai kadi dan kemudian Kadi Besar (1916). Dia juga dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di Mahkamah Syariah Kedah di samping mengajar al-Qur’an kepada pegawai kerajaan, guru agama dan orang ramai di Masjid Zahir, di Madrasah Limbong Kapal, Alor Setar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
‘ABDULLAH IBN MAS‘UD | ‘Abdullah ibn Mas’ud (? –32 H./? –653 M.) ialah salah seorang daripada para sahabat besar dan berketurunan Huzaliy yang tinggal di Makkah. Dia termasuk dalam kalangan golongan yang terawal memeluk Islam. ‘Abdullah r.a. pernah berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali. Di samping itu, dia turut berjuang bersama-sama Rasulullah SAW dalam beberapa peperangan dan menjadi orang suruhan nabi yang setia serta sentiasa menemani Baginda sewaktu menyelesaikan sesuatu urusan dan perjalanannya. Dalam Perang Badar, dia berlawan dengan Abu Jahal. | UMUM | |
ZAINUDDIN LABAI EL-YUNUSI | ZAINUDDIN LABAI EL-YUNUSI (1890-1924), ulama Indonesia. Dia lahir di Padang Panjang, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Zainuddin Labai bin Syekh Muhammad Yunus Pandai Sikat. Ayahnya juga seorang ulama. Zainuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Gubernement, hingga Darjah Empat. Di samping itu dia mendapat pendidikan agama daripada ayahnya. Setelah kematian ayahnya pada tahun 1904, dia tidak meneruskan pelajarannya. Selepas itu dia pernah belajar dengan Haji Abdullah Ahmad di Padang,dan Syekh Abbas di Padang Japang, di samping menjadi guru bantu. Pada tahun 1913, dia pulang ke Padang Panjang dan mengajar di surau Jambatan Besi. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SAYYAF, ‘ABD RABB AL-RASUL | Sayyaf, ‘Abd Rabb al-Rasul (1365 H.– ?/1945 M. – ?) ialah pejuang Islam dan pengasas jemaah Islam pertama di Afghanistan. Dia lahir di Afghanistan dan mendapat pendidikan awal pada peringkat rendah di Madrasah Buqman. Kemudian dia melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Madrasah Ibn Sina. Seterusnya, dia menyambung pelajaran di Madrasah Abu Hanifah al-Thanawiyyah di Kabul dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1962. Dia berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang syariah daripada Universiti Kabul pada tahun 1967. Selepas itu, dia mendapat Ijazah Sarjana dalam bidang ilmu hadith daripada Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar dengan menulis sebuah tesis bertajuk ‘al-Wad’u fi al-Sunnah wa Juhud al-Ulama’ fi Muqawamatihi’ . Dia dilantik sebagai pensyarah ilmu hadith, ilmu pembahagian harta pusaka dan ilmu bahasa di Fakulti Syariah, Universiti Kabul. Di samping itu, dia juga pensyarah mata pelajaran hadith dan agama di Fakulti Pentadbiran di universiti yang sama. | UMUM | |
TUANKU JAAFAR IBNI TUANKU ABDUL RAHMAN | TUANKU JAAFAR IBNI TUANKU ABDUL RAHMAN (1922 - ), Yang di-Pertuan Agong ke-10 (1994 - ). Baginda diputerakan pada 19 Julai 1922 di Kelang, Selangor. Ketika itu ayahandanya bertugas sebagai pegawai tadbir di Kelang. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Seri Menanti, Kuala Pilah dari tahun 1928 hingga tahun 1933. kemudian baginda melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak hingga tahun 1941. semasa belajar di maktab ini, baginda dilantik sebagai pengawas, di samping mengetuai pasukan sukan sekolah. Tuanku Jaafar kemudian melanjutkan pelajaran ke Raffles College, Singapura. Bagaimanapun pengajian baginda tergendala apabila Perang Dunia Kedua meletus. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
TUK PULAU UBI | TUK PULAU UBI (1881-1955), ulama. Dia lahir di Kampung Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan. Nama sebenarnya ialah Haji Yusof bin Abdul Rahman bin Abdul Ghani. Dia digelar Tuk Pulau Ubi sempena nama pondoknya di Pulau Ubi, dekat Geting, Tumpat. Di samping mendapat asuhan dan didikan daripada keluarganya, dia belajar di pondok Haji Abdul Malek, seorang tuk guru ternama di Kelantan pada suku terakhir abad ke-19, yang kebetulan membuka pondok di kampungnya. Selepas itu, Tuk Pulau Ubi belajar di Patani dengan Haji Abdul Latiff, sepupu bapanya yang kemudian menghantarnya ke Makkah. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |